Sunday, April 25, 2010

Karangan SPM Langkah-langkah untuk Memajukan Mutu Sukan Negara Malaysia


Mutu sukan negara sudah jauh berubah berbanding dengan era 60an atau 70an.Pelbagai pihak mula mempamerkan rasa tidak senang mereka dengan situasi sebegini.

Huraikan tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk memajukan sukan di negara ini.

Sukan di negara ini mengalami zaman kemelesetan yang begitu ketara kerana tiada lagi kejayaan yang diraih seperti awa tahun 50-an, 60-an atau 80-an. Keadaan ini telah menimbulkan rungutan pelbagai pihak terutama peminat sukan di negara ini. Media massa pula asyik mengeluarkan pelbagai teori dan langkah untuk menangani masalah sukan di negara ini tanpa hasil jua. Jelaslah, ada pelbagai tindakan drastik yang boleh dilakukan oleh semua pihak.

Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka terhadap sukan. Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek ekonomi harus dikikis dengan segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan dengan betul, sistematik dan tabah berupaya menyumbangkan sumber kewangan yang lumayan kepada penggamalnya. Oleh itu, perubahan paradigma masyarakat hendaklah berubah selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan sukan di peringkat global.

Selain itu, kerajaan harus memberikan ganjaran yang setimpal kepada ahli sukan yang berjaya di dalam kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Sumbangan dalam bentuk kewangan atau pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli sukan untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih baik lagi. Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan muda terutama kanak-kanak untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu. Jadi, ganjaran kepada ahli sukan perlulah wujud dan usahlah kita menganggap pemberian ganjaran ini tidak penting dalam pembangunan sukan negara.

Jika kita mahu memiliki kelompok ahli sukan yang ramai dan baik, sudah pasti pembinaan kemudahan sukan ditingkatkan. Pembinaan stadium, gelanggang dan padang menjadikan acara sukan lebih mudah dan murah untuk disertai oleh masyarakat di negara ini. Keadaan ini menyebabkan kemahiran asas dalam sesuatu asas sukan itu sudah dimiliki oleh masyarakat di negara ini dan hanya perlu digilap sahaja oleh jurulatih negara apabila tiba masanya. Sesungguhnya, pembinaan kemudahan sukan menjamin negara memiliki satu kelompok ahli sukan yang berwibawa.

Tambahan pula, negara boleh menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia di negara ini. Penganjuran sukan sebegini memberi peluang kepada ahli sukan negara untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia yang sememangnya lebih baik. Persaingan yang hebat ini menjadikan ahli sukan kita lebih fokus dan menyedari kelemahan serta mampu meningkatkan kualiti diri mereka sejajar dengan pengalaman yang diperoleh. Maka, lebih banyak penganjuran acara sukan dunia di negara ini, semakin bertambahlah mutu ahli sukan kita.

Bagaimana dengan juruatih? Sudah pasti pengambilan jurulatih berpengalaman terutama dari negara luar berupaya menyuntik teknik baru kepada latihan ahli sukan kita. Jurulatih asing yang berpengalaman ini mampu melihat kelemahan dan mengatasi kelemahan ahli sukan kita dengan pantas kerana mereka berpengalaman. Dalam masa yang sama jurulatih asing ini boleh membuat program untuk melatih jurulatih tempatan atau berkongsi pengalaman dengan mereka untuk merangka satu sistem latihan yang baik. Jadi, jurulatih asing boleh membawa perubahan drastik terhadap mutu sukan kita.

Konklusinya, mutu sukan di negara ini boleh berubah. Cuma kegagalan persatuan-persatuan sukan untuk melihat secara positif dan masalah konflik dalaman persatuan yang menyebabkan mutu sukan kita terus menjunam. Masyarakat sudah muak dengan alasan demi alasan yang diberikan setiap kali ahli sukan kita mengalami kekalahan. Sikap 'menuding jari' membuktikan betapa kita banyak menyalahkan orang lain tanpa mahu berubah.

5 comments:

  1. kebaikan penganjuran sukan antarabangsa ada tak??
    bagi kat link ni http://www.toyinlife.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. cikgu,saya minta izin copy. terima kasih.

    ReplyDelete
  3. bagaimana pemberian insentif dapat meningkatkan mutu sukan negara ?

    ReplyDelete