Friday, April 9, 2010

Komunikasi Ibu Bapa Dengan Pelajar Penting.


Komunikasi Ibu Bapa Dengan Pelajar Penting.

Persoalan pelajar lemah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijawab. Pelbagai faktor boleh membawa masalah ini begitu sukar untuk diatasi terutama dalam suasana pendidikan kini yang begitu tertekan. Keadaan ini menyebabkan masalah ini sering disalah tafsirkan oleh mana-mana pihak terutama pelajar.

Sepanjang pembabitan saya dalam bidang pendidikan, pelajar yang lemah bermula dari rumah mereka. Maksud saya peranan ibu bapa dalam memastikan pendidikan anak mereka berjalan lancar. Mungkin saya perlu menjelaskan lebih lanjut keadaan ini.

Pelajar yang lemah dalam pelajaran biasanya berpunca daripada kegagalan mereka untuk mengaitkan diri mereka dengan ibu bapa. Mereka gagal untuk berkomunikasi dengan orang tua mereka terutama berkaitan dengan hal-hal peribadi dan pelajaran pula. Kegagalan komunikasi ini mungkin ada hubungan dengan pelbagai faktor yang berunsur peribadi atau sebaliknya.

Jadi, setiap kali saya berhadapan dengan pelajar yang lemah dalam pelajaran, saya akan melihat interaksi mereka dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Jika interaksi itu berjalan baik maka ada faktor lain yang harus pula saya beri perhatian. Namun, hampir kebanyakan kes pelajar lemah berhubung rapat dengan kegagalan komunikasi antara anak dengan ibu bapa mereka.

Kegagalan komunikasi ini selalunya boleh diungkaikan apabila kedua-dua pihak menyedari bahawa mereka tidak boleh membaca pemikiran yang wujud dalam minda diri masing-masing. Si anak tidak boleh membuat kesimpulan bahawa ibu bapa tidak bersetuju dengan semua tindakan mereka sahaja manakala si ayah dan ibu pula membuat rumusan awal bahawa anak mereka sudah sempurna lalu pengawasan yang diberikan itu sudah cukup baik.

Kesediaan untuk meluahkan perasaan antara kedua-dua pihak sebeginilah yang bakal mewujudkan satu hubungan yang rapat lalu menjadi pemangkin atau jalan awal untuk membawa pelajar itu mencapai satu tahap kecemerlangan yang baik.

No comments:

Post a Comment