Thursday, May 20, 2010

Isu Semasa: Masalah Sektor Perumahan Kos Rendah?


Orang Kaya Beli Rumah Untuk Disewakan Kepada Orang Miskin Lalu Orang Miskin Merempat

Kenyataan akhbar The Sun hari ini menarik yang memaparkan bahawa ada beberapa pengarah majlis bandaran yang mempunyai rumah flat kos rendah walaupun mereka pada masa yang sama memiliki rumah mewah. Kenapa kenyataan ini menarik perhatian saya ialah amalan ini sudah pasti berleluasa dalam kalangan pegawai kanan baik dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Ah, semua orang melakukan perkara itu, bukan!

Saya yakin semua pihak sedia maklum bahawa sektor hartaanah merupakan antara jalan mudah untuk memperoleh kekayaan. Lantaran itu banyak pihak yang berani membeli rumah kos rendah kerana mereka mempunyai wang lalu tidak perlu meminjam daripada pihak bank atau mungkin meminjam sedikit sahaja (dengan alasan untuk membuktikan betapa mereka ketiadaan wang kononnya). Kemudian rumah flat itu akan disewakan kepada rakyat yang memerlukannya dengan kadar sewa yang mampu pula menebus bayaran pinjaman bulanan yang mereka ambil dengan pihak bank pada awalnya itu.

Akibatnya, pemilik rumah flat yang sudah kaya rasa itu akan mampu memiliki rumah flat itu menerusi bayaran sewa yang dibayar oleh penyewanya. Kadangkala rumah ini kemudiannya akan dijual pula dengan harga yang masih mampu membawa keuntungan kepada mereka atau digunakan mereka sebagai usaha untuk mendapat pendapatan yang dikenali sebagai “pasif income”. Menarik bukan, rakyat yang miskin tidak mampu memperoleh rumah flat sedangkan golongan kaya dengan mudah sahaja memperolehnya.


Justifikasi semua yang melakukan perkara ini ialah bukan mereka seorang sahaja yang melakukannya tetapi banyak lagi pegawai lain atau pihak lain yang mampu melakukan tindakan yang serupa. Inilah konsep “broken window” yang selalu saya kaitkan dahulu yakni masyarakat kita kehilangan sikap kemanusiaannya kerana mengikut orang lain melakukannya. Kita melanggar lampu isyarat kerana pemandu di depan turut melakukannya. Kita membuang sampah kerana itu yang biasa dilakukan oleh masyarakat di sini. Kita tidak membersihkan tandas awam setelah menggunakannya kerana orang sebelum kita membiarkan najis bertaburan sahaja. Oleh itu, kita membeli rumah flat kerana semua orang lain yang kaya turut melakukannya.

Tapi kita semua lupa dalam usaha kita ghairah memiliki rumah kos murah ini, pada masa yang serupa juga kita menidakkan hak orang lain yang lebih berhak untuk mempunyai sebuah tempat yang boleh mereka panggil sebagai rumah. Kalau benar orang kaya ini semua mempunyai wang beli sahaja projek-projek perumahan di Sri Hartamas atau Solaris Jalan Dutan kemudian sewakan dengan harga puluhan ribu kepada golongan kaya lain pula.

Atau mungkin kalau sudah terlalu banyak rumah kos rendah begini dimiliki lebih baik disewakan sahaja secara percuma kepada golongan yang memerlukannya atau berikan kepada persatuan kebajikan sebagai tempat berteduh golongan terbiar. Bukankah itu lebih baik buat imej seseorang manusia?

No comments:

Post a Comment