Monday, May 10, 2010

Isu Semasa : Polis dan Masyarakat: Perlu Persefahaman Tinggi?


POLIS BERTINDAK MENGIKUT PERTIMBANGAN KETIKA KEJADIAN

Sebenarnya saya enggan mengulas kejadian ini kerana saya sedar kes ini sedang dalam penelitian pihak polis tetapi ada juga pembaca blog saya yang meminta saya memberikan pendapatnya. Bimbang kerana saya sedar keluarga remaja terbabit pasti berasa sedih kehilangan anak mereka dan perasaan risau atau bersalah anggota polis yang terbabit pula pasti begitu tinggi. Entah mengapa saya memberanikan diri pula kali ini untuk membuat ulasan ini sebaik yang mungkin dengan harapan mencetuskan perbincangan konkrit sesama pembaca dan bukannya jenis menghukum kerana setiap masalah yang berlaku itu pasti membuktikan wujudnya satu kelemahan dalam sesuatu sistem masyarakat tersebut.

Persoalan yang menarik di sini ialah adakah tindakan pihak polis itu wajar atau tidak? Adakah mereka mematuhi arahan atau prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak polis menerusi latihan yang telah mereka lakukan sebelum ini? Atau kejadian ini satu peristiwa tragedi yang berlaku kerana kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh semua pihak yang terbabit?

Kalau kita lihat laporan akhbar, remaja terbabit memang telah melakukan satu kesilapan asas yakni memandu tanpa lesen dan apabila pihak polis cuba menahannya, dia panik gara-gara bimbang tindakannya bakal menyusahkan keluarganya pula nanti kerana memandu kereta tanpa lesen itu. Pihak polis yang cuba menahan remaja ini tadi sudah pasti mengesyaki sesuatu yang tidak betul sedang berlaku sebaik sahaja remaja itu tidak mahu memberhentikan keretanya. Dalam keadaan sekelip mata, pihak polis terpaksa membuat keputusan sama ada remaja itu memberi ancaman atau tidak kepada mereka dan keputusan telah pun mereka ambil.

Sekiranya anda ternampak sebuah kereta yang menimbulkan curiga kepada diri anda,mampukah anda untuk menilai sipemandu itu remaja atau sudah dewasa? Mampukah anda untuk mengambil risiko jika kereta yang cuba ditahan itu sememangnya dipandu oleh penjenayah yang sedang dalam perjalanan untuk melakukan satu jenayah lain pula? Mungkin mereka tidak nampak sebarang senjata tetapi keputusan remaja itu untuk melanggar arahan pihak polis menyebabkan satu proses penilaian yang begitu pantas berlaku dalam minda anggota polis serupa seperti penilaian yang dilakukan oleh remaja tadi untuk menyelamatkan diri kerana tidak mahu menimbulkan masalah kepada keluarganya. Itulah persoalan yang saya yakin bermain dalam minda anggota polis itu sebelum mereka mengambil keputusan untuk bertindak mengejar lalu melepaskan tembakan ke arah remaja tersebut.

Pihak keluarga remaja memang mempunyai hak untuk membawa kemelut ini ke muka pengadilan kerana itulah hak mereka untuk menuntut keadilan tetapi pada masa yang sama kita harus sedar dan cuba memberi sedikit ruang kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan kerana saya yakin setiap kali seorang anggota polis kita terkorban ketika menjalankan tugas, diri mereka tidak akan mendapat perhatian yang sebegini. Keluarga mereka akan menangis bersendirian mengharungi kehidupan yang masih panjang buat mereka.

Mungkin kita tidak pernah memikirkan aspek ini, agaknya? Kerana kita suka bertindak mengikut perasaan, mengaut keuntungan dan sebagainya sehingga kita hanya suka melihat sesuatu itu berdasarkan satu pihak sahaja. Sebenarnya kejadian ini membuka mata kita akan peranan keluarga dalam mendidik anak, keberkesanan sistem latihan polis kita dan sikap masyarakat kita apabila berlaku sesuatu krisis itu.

No comments:

Post a Comment