Sunday, May 30, 2010

Karangan SPM Langkah-langkah Untuk Menerapkan Nilai-nilai Murni Dalam Diri Pelajar


Penghayatan nilai-nilai murni dapat membentuk pelajar yang berketerampilan.

Jelaskan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar.


Matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan satu lapisan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi. Kesemua matlamat ini menyebabkan pihak Kementerian Pendidikan melihat penghayatan nilai-nilai murni itu sebagai sesuatu aspek penting dalam pendidikan. Kemelut disiplin yang melanda pelajar kini telah menguatkan lagi hujah yang memerlukan kewujudan pelajar berketerampilan ini. Maka, pelbagai tindakan yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan mampu dilaksanakan untuk mencapai hasrat ini.

Tindakan awal ialah kementerian telah mewajibkan konsep penyerapan nilai merentas kurikulum. Dalam konsep ini semua guru tanpa mengira subjek yang diajarnya perlu memasukkan nilai-nilai murni kepada pelajar ketika melaksanakan tugas mereka. Tindakan ini amat bijak kerana sebelum ini hanya guru-guru tertentu sahaja seperti guru disiplin atau kaunseling yang perlu memupuk sikap positif dalam jiwa pelajar mereka. Jelaslah, tindakan ini memastikan semua pihak terutama guru melaksanakan tugas yang serupa yakni memupuk sikap pelajar yang terpuji.

Pada masa yang sama, guru-guru juga memberikan teladan yang baik kepada pelajar mereka. Kelakuan guru perlulah diawasi dengan baik sama ada ketika mengajar di sekolah atau beriadah di luar sekolah untuk dilihat oleh pelajar. Keadaan ini juga membuktikan kepada pelajar bahawa semua nilai-nilai positif yang dinyatakan oelh guru itu bukanlah sukar untuk dilaksanakan oleh mereka. Sesungguhnya, guru yang mampu memberikan contoh teladan yang baik berupaya menjadikan pelajarnya lebih bersikap mulia lagi.

Bukan sahaja pihak sekolah memperkenalkan konsep tertentu kokurikulum dan guru memberikan teladan yang baik tetapi Unit Kaunseling setiap sekolah turut boleh memainkan peranan tertentu. Mereka boleh melaksanakan kem peningkatan sahsiah pelajar secara berkala dan terancang. Semua pelajar yang dianggap mempunyai masalah disiplin akan menyertai kem ini untuk memulihkan jiwa mereka semula menjadi pelajar yang terbilang kelak. Justeru, kewujudan kem peningkatan sahsiah yang sistematik mampu menjadikan kewujudan pelajar yang beketerampilan ini sesuatu yang pasti.

Tambahan pula, aktiviti kokurikulum perlu ditingkatkan agar keterampilan pelajar dapat diketengahkan. Pada masa yang sama nilai murni dalam jiwa pelajar juga turut terbentuk menerusi aktiviti kokurikulum sebegini. Masalah yang timbul ialah banyak aktiviti kokurikulum ini yang dilaksanakan secara hangat-hangat tahu ayam sahaja. Sebenarnya, kokurikulum mampu melahirkan satu golongan pelajar yang bersikap positif dan murni jika dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Kesimpulannya, semua langkah yang disuarakan tadi boleh dilaksanakan dengan segera. Kerjasama semua pihak terutama pihak guru amat diperlukan untuk memastikan visi ini menjadi satu kenyataan yang sejati. Kegagalan untuk mendapatkan kerjasama yang jitu boleh menyebabkan jumlah pelajar yang bermasalah di negara ini terus bertambah saban tahun. Peribahasa orang tua-tua, kanak-kanak itu ibarat kain putih harus menjadi renungan kita semua untuk bersama-sama mendidik dengan baik golongan ini.

No comments:

Post a Comment