Tuesday, May 4, 2010

Karangan Usaha-usaha untuk Mengekalkan Keamanan Malaysia?


Semasa negara lain di dunia mengalami ketidaktenteraman berikutan masalah peperangan, Malaysia tetap berjaya mengekalkan keamanan sosial, ekonomi, dan politiknya. Keadaan itu banyak didorong oleh usaha pelbagai pihak dalam mengekalkan keamanan negara.

Berdasarkan pernyataan tersebut, berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan negara kita.


Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutama ancaman bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada negara sehingga menjadikan banyak negara cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak tindakan yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini untuk memastikan negara terus berada dalam situasi harmoni itu.

Tindakan yang paling ketara ialah negara telah meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya. Angkatan tentera negara ini telah cuba menarik lebih banyak remaja yang berkaliber untuk menyertai perkhidmatan mereka bersama-sama dengan pembelian peralatan ketenteraan yang serba canggih. Semua ini bertujuan memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi lalu menjamin keamanan negara yang stabil. Jelaslah, negara menjadi aman kerana memiliki satu ketumbukan tentera yang berkaliber dan berteknologi tinggi.

Selain itu, negara turut membuat kerjasama yang erat dengan Negara-negara jiran terutama negara-negara ASEAN. Kita semua sedia maklum bahawa ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau lalu memastikan perkembangan ekonomi boleh berlaku pada masa yang sama. Kerjasama yang erat ini juga memastikan setiap negara ASEAN tidak mahu menganggu urusan dalaman satu sama lain untuk memastikan tidak berlaku perselisihan faham yang boleh membawa permusuhan yang mengoyahkan keamanan pula. Jadi, kerjasama erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu tahap keamanan yang tinggi.

Malah, keamanan negara juga dikekalkan menerusi amalan demokrasi yang dilaksanakan di negara ini apabila tempoh pemerintahan kerajaan sebelumnya hamper tamat. Pilihanraya dan proses pertukaran pemimpin di negara ini masih berjalan secara rasional dan mengikut lunas-lunas perlembagaan negara yang mengutamakan hak asasi rakyat. Keadaan ini menjadikan keyakinan rakyat terhadap system pemerintahan kerajaan bertambah baik setiap kali proses demokrasi itu dilaksanakan. Jelaslah, proses demokrasi yang diamalkan menjadikan aspek keamanan itu sesuatu yang penting untuk dikekalkan di negara ini.

Malahan, pihak kerajaan juga telah meneruskan usaha pembasmian kemiskinan yang sudah mula menampakkan hasilnya. Jurang kekayaan antara golongan miskin dan kaya telah berupaya dikurangkan sehingga tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan sebarang masalah besar kelak. Perasaan kekitaan dan tidak berasa ditinggalkan menjadi asas penting untuk mengekalkan keamanan di negara ini untuk satu tempoh yang panjang kerana tidak timbul perasaan pilih kasih atau sebagainya dalam jiwa masyarakat berbilang kaum di sini. Maka, usaha mengikis perbezaan pengagihan kekayaan ini harus dilakukan secera berterusan untuk memastikan keamanan itu berkekalan.

Tambahan pula, pihak polis telah berjaya memerangi pelbagai gejala sosial yang melanda negara ini. Kejadian jenayah terutama jenayah berat telah dikawal dengan baik oleh pihak polis yang bertugas tanpa mengenal penat untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini bertambah baik. Kejayaan mengawal jenayah di negara ini turut sama memberikan satu suasana yang tenang dan meyakinkan kepada rakyat negara ini bahawa Malaysia sebuah negara yang baik untuk terus didiami. Justeru, kejayaan pihak polis menjalankan kewajipan mereka telah menjadikan aspek keamanan di negara ini terus wujud.

Kesimpulannya, keadaan keamanan yang sebegini perlu dikekalkan untuk selama-lamanya. Pada masa yang sama aspek pembangunan negara harus diberikan penekanan juga kerana inilah kemodenan yang harus dinikmati oleh semua. Kita harus sedar dan menghargai aspek keamanan ini dengan sebaik mungkin. Peribahasa “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” kerana keamanan ini memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua pihak.

No comments:

Post a Comment