Tuesday, June 22, 2010

Karangan Langkah-langkah Untuk Mengukuhkan Keluarga di Negara Ini


Kerajaan telah berusaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini ekoran peningkatan kes sosial pula.

Nyatakan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan untuk mengekalkan insititusi keluarga ini.


Institusi keluarga bolehlah dikategorikan sebagai satu unit manusia yang meliputi ayah, ibu dan beberapa orang anak. Ada juga keluarga yang mempunyai bilangan orang tua yang lebih banyak seperti datuk, nenek, dan pak cik serta mak cik pula. Tindakan media massa yang memaparkan peningkatan gejala sosial berkait rapat dengan keruntuhan institusi keluarga telah menyebabkan semua pihak berasa terkejut lalu pelbagai pendapat pula kedengaran pula. Jadi, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan institusi keluarga di negara ini terus utuh?

Tindakan awal yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah kerajaan menggubal satu perundangan baru yang boleh memastikan keuntuhan keluarga di negara ini terus berkekalan. Kewujudan akta yang lebih menyeluruh seperti mampu menangani masalah penceraian, penderaan anak dan isteri pasti mampu memberikan satu sinar baru kepada pembentukan keluarga yang sihat pula. Masyarakat akan lebih berhati-hati untuk bertindak mendera atau lari dari rumah begitu sahaja kerana sedar adanya peruntukan perundangan yang boleh member impak kepada diri mereka pula nanti jika dilakukan tanpa berfikir. Maka, tindakan mewujudkan satu perundangan yang lebih holistik mampu menghasilkan satu bentuk keluarga yang lebih baik di negara ini.

Selain itu, kerajaan boleh menjalankan satu kempen kesedaran tentang peri pentingnya institusi keluarga ini diberi penekanan di negara ini. Dalam kempen ini dihuraikan bahawa kebanyakan gejala sosial yang berlaku di Malaysia mampu dikurangkan jika negara ini memiliki persepsi kepentingan keluarga yang sebenarnya. Pada masa yang sama kempen itu juga berupaya untuk menerangkan cara-cara untuk memiliki satu keluarga yang baik dan sihat supaya masyarakat boleh melakukan sesuatu pula terhadap keluarga mereka sendiri. Jelaslah, langkah mengadakan kempen bukan sahaja mampu menerangkan kepentingan keluarga kepada masyarakat tetapi juga berupaya mendidik mereka untuk memproleh satu keluarga yang sempurna.

Bukan sahaja penggubalan perundangan dan menjalankan kempen tetapi kerajaan juga boleh menubuhkan satu agensi khas yang akan menguruskan semua aspek berkaitan dengan kekeluargaan di negara ini. Agensi ini akan merangka semua tindakan yang bersesuaian dengan perancangan kerajaan setelah mengadakan kajian mengenai keadaan keluarga di negara ini pula. Kewujudan agensi khas ini juga membuktikan kepada masyarakat bahawa kerajaan sememangnya bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menangani masalah sosial yang berlaku itu. Sesungguhnya, penubuhan sebuah agensi khas keluarga sebegini mampu menjadikan semua aktiviti yang dilaksanakan terancang dan tepat kea rah sasarannya.

Tindakan seterusnya ialah kerajaan boleh mewajibkan semua ibu bapa terutama pasangan yang baru berkahwin untuk menghadiri satu kursus keibubapaan. Kehadiran mereka dalam kursus sebegini memberikan mereka satu pengetahuan asas untuk mendidik anak sendiri apabila sampai masanya kelak. Pengetahuan mendidik sebeginilah yang bakal menjadikan keluarga itu lebih mantap kerana anak akan dididik dengan sempurna oleh ayah dan ibu mereka. Oleh itu, kursus yang dianjurkan ini menjadikan tugas untuk mendidik keluarga itu begitu mudah dan berkesan.

Malahan, keutuhan keluarga ini juga mampu ditingkatkan oleh kerajaan dengan menyediakan sistem perumahan yang selesa buat rakyat di negara ini terutama golongan yang berpendapatan rendah. Kita sedia maklum bahawa harga rumah di negara ini terutama di kawasan bandar begitu mahal sehingga ada keluarga yang tidak mempunyai rumah yang selesa untuk keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan anak-anak sering tiada di rumah lalu mereka mudah untuk terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di luar rumah pula. Justeru, kemampuan kerajaan menyediakan perumahan yang baik buat rakyat di negara ini bakal menyaksikan semua gejala sosial yang berlaku menjadi berkurangan pula.

Kesimpulannya, semua tindakan yang diutarakan tadi sememangnya mampu menghasilkan satu institusi keluarga yang utuh di negara ini. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapaamat diperlukan jika tindakan-tindakan ini ingin mencapai sasarannya. Kegagalan untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya pasti menjadikan gejala sosial yang melanda negara ini terus bertambah saban tahun. Slogan “Rumahku, Syurgaku” membuktikan betapa pentingnya keharmonian dan keutuhan keluarga itu buat pendidikan generasi masa depan negara ini.

No comments:

Post a Comment