Sunday, June 27, 2010

Karangan SPM: Tindakan-tindakan Kerajaan Untuk Memastikan Ekonomi Negara Terus Berkembang


Kegawatan ekonomi yang melanda negara telah membawa pelbagai impak negatif dalam masa beberapa tahun ini.
Pada pandangan anda, apakah tindakan-tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan ekonomi negara terus mengalami pertumbuhan.


Kegawatan ekonomi merujuk satu keadaan yang tidak positif yang membawa ekonomi sesebuah negara itu tidak berkembang lagi. Antara contoh kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara ialah pada akhir tahun 1990-an dan awal tahun 2006 sehinggalah sekarang yang impaknya masih terasa. Pihak media massa menggunakan isu kegawatan ekonomi ini untuk mengetengahkan pelbagai masalah kehidupan yang dialami oleh masyarakat kita terutama peningkatan kes jenayah. Jadi, kerajaan perlulah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kembali ke tahap yang asal.

Inisiatif yang utama perlu dilakukan oleh kerajaan dalam usaha untuk mengatasi masalah kegawatan ekonomi negara ialah Malaysia perlu menarik lebih banyak pelaburan asing masuk ke negara ini. Pelaburan asing itu boleh ditarik ke negara ini dengan kerajaan memberikan pelbagai insentif yang menarik kepada pelabur asing itu terutama aspek cukai keuntungan syarikat yang rendah dan proses melakukan perniagaan yang mudah serta lancar di Malaysia. Semakin banyak pelabur asing yang tertarik dengan insentif yang disediakan oleh kerajaan itu semakin banyaklah peluang perniagaan atau kilang akan didirikan di negara ini lalu memberikan peluang kerja yang luas pula. Maka, tindakan menarik lebih banyak pelabur asing datang untuk melabur di negara ini amat penting dilaksanakan segera.

Tindakan kedua ialah kerajaan melakukan lebih banyak projek pembangunan “mega” untuk memastikan aktiviti ekonomi negara menjadi lebih rancak. Kita sudah sedia maklum bahawa pertumbuhan ekonomi yang sihat banyak berkait dengan kadar kecairan wang dalam sesebuah ekonomi itu dan projek besar-besar yang dilancarkan sudah pasti menjadikan lebih banyak perbelanjaan dilakukan oleh kerajaan atau pihak swasta. Semua pihak akan lebih berani untuk mengeluarkan wang kerana mereka sedar negara memiliki pelbagai projek yang memerlukan modal yang tinggi untuk dilaksanakan bersama-sama tahap keyakinan ahli perniagaan juga akan bertambah. Justeru, semakin banyak projek mega dilakukan oleh kerajaan semakin pesatlah pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu.

Bukan sahaja tindakan menarik pelabur asing dan pelaksanaan projek mega tetapi kerajaan juga hendaklah memudahkan urusan pemberian pinjaman terutama kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana. Proses pemberian pinjaman kepada golongan perniagaan seperti ini hendaklah dimudahkan tanpa banyak proses pengisian boring atau kertas kerja yang berjela-jela. Kategori perniagaan kecil dan sederhana amat penting digiatkan kerana golongan inilah yang melibatkan lebih banyak pekerja yang memerlukan pekerjaan berbanding dengan syrikat-syarikat besar yang masih mampu beroperasi kerana mempunyai rangkaian atau cawangan di luar negara. Sesungguhnya, proses pemberian pinjaman hendaklah disenangkan buat semua pihak terutama ketika negara dilanda kemelut ekonomi ini.

Malahan, tindakan menghasilkan lebih banyak peluang ekonomi atau jenis ekonomi baru harus menjadi tumpuan kerajaan dalam menangani isu ini. Kewujudan teknologi terutama internet dan komputer telah menghasilkan pelbagai jenis perniagaan baru yang menjadi minat generasi muda lalu kerajaan harus bijak menggunakan teknologi untuk menggalakkan penghasilan ekonomi era moden pula. Kemampuan negara untuk mewujudkan satu perniagaan era moden akan menjadikan negara ini peneroka dalam perniagaan tersebut lalu mampu mengaut keuntungan lebih awal dengan banyaknya. Oleh itu, negara ini harus meneroka pelbagai perniagaan jenis baru yang boleh dikembangkan pula untuk memberikan nafas baru kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Tindakan lain ialah kerajaan haruslah memodenkan sistem pendidikan sumber manusianya supaya tenaga kerja kita lebih mampu untuk berdaya saing dalam dunia yang penuh persaingan ini. Perubahan dalam penekanan aspek teknikal, bahasa asing, intelek emosi dan kemudahan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menjadi antara tindakan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam membuat reformasi sistem pendidikan kita. Semua tindakan reformasi ini berupaya menjadikan sumber manusia kita lebih mahir dalam aspek teknikal, berupaya berbahasa asing dan juga mampu untuk menyelesaikan sesuatu masalah ekonomi dengan lebih baik serta menyeluruh pula. Jadi, pendidikan kita perlulah dirombak semula oleh kerajaan supaya sumber manusia kita lebih berdaya saing lagi.

Kesimpulannya, semua langkah yang diutarakn tadi memang mampu untuk dilaksanakan oleh kerajaan kita. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama daripada msyarakat sendiri untuk memastikan tindakan-tindakan ini membawa impak yang seharusnya. Kegagalan untuk bertindak segera akan menyebabkan masalah kegawatan ekonomi ini akan menjadi semakin teruk lalu sukar untuk dikawal sehingga menjadikan negara bankrup pula. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya” mampu memberikan peringatan kepada kita semua tentang betapa pentingnya bertindak lebih awal dengan menggunakan pemikiran yang rasional.

2 comments: