Monday, July 5, 2010

Isu Semasa: Tubuh Akademi Bola Sepak?


Tubuhkan akademi bola sepak

Keghairahan yang timbul ekoran perlawanan bola sepak pial dunia di Afrika Selatan mungkin telah membuka mata sesetengah ahli politik kita untuk melihat kualiti bola sepak negara kita. Kerajaan berhasrat untuk menubuhkan akademi bola sepak yang boleh memberi latihan asas kepada anak-anak muda di negara ini yang berminat untuk menjadikan sukan ini sebagai kerjaya mereka.

Pada saya cadangan kerajaan ini memang begitu bagus terutama jika cadangan ini mengambil kira konsep akademi bola sepak yang digunakan oleh Eropah. Kita sudah melihat bagaimana negara-negara Eropah menguasai pusingan bola sepak kali ini terutama Jerman yang sejak beberapa tahun lalu telah mengemaskinikan sistem akademi bola sepak mereka sehingga menyaksikan kelahiran begitu banyak muka baru dalam skuad bola sepak negara itu yang begitu berkaliber. Tahukah anda berapa kali Jerman memasuki perlawanan separuh akhir atau akhir piala dunia?
Masalah dengan Malaysia ialah kita terlalu bijak merancang tetapi tindakan susulan gagal mencapai tahap yang diharapkan. Lihat sahaja semua perkara yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memajukan sukan bola sepak kita. Setiap kali negara gagal memasuki pusingan akhir Sukan Olimpik atau Piala Dunia, pelbagai alasan akan diberikan bersama-sama dengan langkah susulan tetapi negara kita masih gagal untuk memasuki pusingan akhir Piala Dunia berbanding dengan Korea Selatan dan Jepun yang sudah menjadi satu kuasa bola sepak pula.

Lihat sahaja berapa kerat kemudahan suka bola sepak di negara ini yang benar-benar lengkap dengan padang bola sepak, asrama, bangunan pentadbiran dan sebagainya. Ketiadaan kemudahan sukan beginilah yang menyebabkan negara kita sukar untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam bola sepak kerana mereka tidak mudah untuk mengasah bakat tersebut. Sama ada kita mahu mengakui atau menolak kejayaan mutu bola sepak mana-mana negara bergantung erat dengan kemampuan mereka untuk melahirkan barisan pelapis dalam skuad bola sepak mereka.

Bagaimana pula dengan tenaga pengajar yang akan dilantik? Apakah kriteria mereka? Bagaimana pandangan mereka dalam mendidik generasi muda untuk mencapai potensi dalam diri mereka? Adakah mereka akan diberi kuasa penuh dalam menentukan pemilihan ahli akademik kelak atau terpaksa menurut arahan ahli politik sahaja? Sukan sama juga umpama bidang kreatif lain memerlukan masa, bakat dan paling penting jurulatih yang benar-benar memahami anak didiknya.

Kalau anda tanya saya secara peribadi adakah akademi kerajaan yang bakal diwujudkan ini akan berjaya, sudah pasti saya akan menjawab tidak akan berjalan dengan lancarnya kerana terlalu banyak pihak yang menggunakan bola sepak untuk kepentingan peribadi mereka. Namun, saya masih berharap sebelum saya meninggalkan kehidupan ini, pasukan bola sepak Malaysia mampu untuk memasuki pusingan akhir Piala Dunia. Itu sahaja harapan akhir saya.

No comments:

Post a Comment