Tuesday, July 20, 2010

Karangan SPM 2010. Impak Negatif Pertanian Moden di Malaysia?


Negara kita mula mengutamakan pertanian semula. Kerajaan telah memberikan banyak insentif untuk memajukan bidang ini.

Huraikan keburukan-keburukan mengutamakan pertanian moden.


Sektor pertanian mula diberi perhatian oleh kerajaan kita terutama ekoran kegawatan ekonomi yang menyaksikan sektor perindustrian negara mengalami masalah untuk mengekport produk ke luar negara. Sudah banyak program dilakukan oleh kerajaan untuk memberikan suntikan baru kepada sektor yang sudah lama dipinggirkan ini untuk hidup semula. Dalam keghairahan kerajaan menghidupkan semua sektor pertanian ini ada pihak yang beranggapan bahawa penekanan terhadap sektor ini mampu membawa impak yang negatif kepada negara untuk jangka masa panjang. Jadi, apakah kesan-kesan jangka panjang tersebut?

Kalau kita lihat secara umum pertanian moden lebih menekankan aspek teknologi yang menyaksikan penggunaan sumber manusia begitu kecil berbanding pertanian cara lama. Keadaan ini menyebabkan ramai pekerja sektor pertanian ini akan kehilangan kerja mereka terutama golongan muda kerana digantikan dengan jentera-jentera yang lebih moden dan produktif berbanding manusia. Penggunaan jenetra yang maksima juga membayangkan pelaburan kewangan yang tinggi untuk sesuatu projek pertanian itu yang menjadikan prospek untuk mencapai keuntungan dalam jangka masa pendek begitu gelap.Jadi, pertanian moden boleh menyebabkan pengangguran yang tinggi dan juga pelaburan kewangan yang terlalu tinggi untuk petani-petani kita.

Impak negatif yang kedua ialah penggunaan bahan kimia yang begitu keterlaluan sehingga mampu menjejaskan kesihatan manusia keseluruhannya. Sudah pasti pertanian moden menggunakan baja dan racun perosak dalam kuantiti yang begitu tinggi untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mampu untuk dieksport. Penggunaan bahan kimia yang tidak dikawal ini menyebabkan berlakunya pencemaran alam terutama terhadap sistem saliran yang melibatkan sungai-sungai dan kawasan tadahan air mengalami keracunan kimia toksik yang tinggi lalu membawa berlakunya masalah kesihatan yang kronik kepada kehidupan manusia. Maka, semakin banyak pertanian moden dibuka semakin tinggilah peluang untuk berlakunya penuruhan tahap kesihatan manusia di sesuatu kawasan tersebut dalam jangka masa yang tertentu.

Pertanian moden juga menggalakkan pembukaan tanah yang luas dan begitu intensif penggunaannya. Teknik yang sedemikian menyebabkan banyak kawasan baru terutama hutan terpaksa dibuka dan digunakan dengan begitu mneluas sehingga menjejaskan kemampuan tanah untuk menyuburkan diri mereka secara semulajadi.Aktiviti pembukaan tanah yang begitu meluas ini membawa banyak kawasan hutan negara ditebang dan dimusnahkan dalam sekelip mata bersama-sama dengan keadaan tanah yang mudah menjadi gersang kerana digunakan dengan begitu intensif. Sebenarnya, pertanian moden memusnahkan produktiviti tanah kerana teknik penanaman yang begitu intensif dan meluas itu.

Bukan sahaja pencemaran alam berlaku dan peluang kerja terjejas tetapi pertanian moden turut menjadikan negara akan bergantung kepada negara lain untuk produk berasaskan perindustrian. Negara kita memang menghasilkan produk makanan tetapi disebabkan ketiadaan industri perindustrian maka banyak bahan mentah makanan ini dieksport ke negara lain yang mengilangnya dan kemudian menjualnya semula kepada negara kita dengan harga yang lebih tinggi kerana mereka berjaya menjadikan bahan mentah itu dalam bentuk yang lain. Bayangkan negara terpaksa membeli sesuatu produk yang bahan mentahnya dihasilkan di Malaysia tetapi dikilang di negara lain. Oleh itu, pertanian moden menjadikan negara kita terlalu bergantung kepada negara lain untuk hidup di dalam dunia era globalisasi ini.

Kesimpulannya, semua pihak tanpa mengira sesiapa harus melihat usaha memajukan sektor pertanian moden ini dengan lebih teliti. Semua kajian perlulah dilakukan sebelum kerajaan membuat keputusan untuk memberi perhatian khusus kepada pertanian sahaja. Kegagalan untuk melihat sesuatu masalah itu secara holistik menyebabkan kita sering melakukan kesilapan dalam merangka sesuatu dasar yang sesuai dengan keperluan zaman. Mungkinkah konsep sederhana harus digunakan dalam hal ini yakni kedua-dua sektor iaitu pertanian dan perindustrian hidup sebelah menyebelah?

2 comments:

  1. memberi informasi untuk menyiapkan assgmnt kolej ..ty:)

    ReplyDelete
  2. terima kasih banyak2 boleh saya guna dalam perbahasan.
    =D

    ReplyDelete