Wednesday, July 28, 2010

Karangan SPM 2010: Kejayaan Anak Ditunjangi Sokongan Keluarga?


Kejayaan anak-anak dalam pelbagai bidang ditunjangi oleh sokongan keluarga.
Beri pendapat anda tentang pernyataan di atas.


Keluarga buat diri seseorang umpama akar tunjang sebatang pokok. Setiap kejayaan anak-anak, mesti wujudnya sokongan keluarga yang berterusan kepadanya. Pelbagai cerita sudah kita dengar tentang pngorbanan keluarga terhadap anak-anak mereka itu. Jelaslah, sumbangan keluarga terhadap anak-anaknya memang tidak boleh dinafikan.
Keluarga memainkan peranan untuk memotivasikan anak mereka ke tahap yang sewajarnya. Ibu dan ayah sering memberikan galakan dan sokongan kepada anak mereka untuk Berjaya dalam segala bidang yang diceburi. Galakan sebeginilah yang membezakan kejayaan seseorang anak itu daripada remaja yang lainnya. Jadi, keluarga yang memberikan motivasi berupaya merangsangkan semangat anak untuk berjaya dalam hidup mereka.

Selain itu, keluarga menyediakan keperluan kewangan bagi memastikan kejayaan anak mereka. Ada ibu bapa yang sanggup bersusah-payah mengikat perut semata-mata untuk melihat kejayaan anak mereka itu. Kemampuan anak untuk melihat tindakan ibu bapa mereka ini pasti memberikan satu lonjakan untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam hidup mereka terutama aspek pendidikan. Oleh itu, keperluan kewangan yang disediakan oleh keluarga menjamin penumpuan yang jitu terhadap pelajaran oleh diri pelajar itu.

Tambahan pula, ada ibu bapa yang sanggup menghabiskan masa merancang jadual pembelajaran anak mereka. Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah, tuisyen, dan kelas agama untuk memastikan kejayaan anak mereka itu. Walaupun sibuk dengan urusan kerjaya sendiri, mereka masih mampu mencari masa untuk menghantar anak mereka ke sekolah sepanjang tahun itu. Bukankah ini semua bakal membawa kejayaan kepada anak mereka kelak?

Ibu bapa turut menyediakan satu tempat belajar yang kondusif di rumah buat anak mereka. Usaha ibu bapa membeli computer, meja, buku dan sebagainya memudahkan seseorang anak untuk belajar dengan baik. Kewujudan rumah yang aman dan ceria menjadikan anak lebih mudah untuk belajar lalu mencapai kejayaan dalam peperiksaannya. Sesungguhnya, suasana rumah yang selesa, ceria dan baik ini menjamin kejayaan seseorang anak dalam kehidupannya.

Bukan sahaja ibu bapa tetapi ahli keluarga yang lain terutama abang dan kakak turut memberikan sumbangan kepada kejayaan ahli keluarga yang lainnya. Kejayaan yang dirintis oleh abang atau kakak sudah pasti menjadi pendorong kepada seseorang untuk mengikuti jejak langkah yang serupa. Seseorang itu juga boleh mempelajari pengalaman abang atau kakak mereka dalam usaha untuk mencapai kejayaan tersebut lalu menjadi satu pedoman pula buat seseorang anak yang lain. Maka, kejayaan abang dan kakak dalam sesebuah keluarga turut menjadikan seseorang anak yang lain pula turut berjaya.

Kesimpulannya, ungkapan yang mengatakan bahawa kejayaan seseorang banyak ditunjangi oleh keluarga merupakan sesuatu yang benar dan tepat. Ibu bapa sanggup berkorban masa, wang dan tenaga untuk memastikan anak mereka terus berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. Tanpa kewujudan keluarga terutama ibu bapa sudah pasti kejayaan yang diimpikan oleh seseorang itu tidak akan muncul dengan mudah. Bak kata cogan kata, “rumahku syurgaku” yang membuktikan kepentingan keluarga dalam kehidupan manusia itu.

1 comment:

  1. memang bagus dan dpt membantu pelajar utk lebih mengenali/mengetahui suatu karangan berkaitan keluarga...thank you....

    ReplyDelete