Wednesday, August 25, 2010

Karangan SPM 2010: Langkah-langkah Mengekalkan Bangunan Lama Negara?


Negara kita mempunyai banyak bangunan bersejarah yang makin pupus dihimpit arus pembangunan.

Cadangkan langkah-langkah untuk mengekalkan bangunan tersebut.


Bangunan bersejarah bolehlah ditakrifkan sebagai bangunan lama yang digunakan dalam urusan kerajaan atau agensi kerajaan. Banyak bangunan bersejarah ini berfungsi sebagai bangunan pentadbiran, mahkamah, balai polis dan penjara. Ada bangunan ini yang berusia ratusan tahun yang pasti ada nilai sejarah terutama buat generasi muda. Lantaran itu, usaha-usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan bangunan sebegini daripada hilang ditelan zaman.

Kerajaan boleh menjadikan bangunan itu sebagai satu daya tarikan pelancong. Sebagai contoh bangunan A Famosa, Penjara Pudu dan sebagainya boleh dipelihara untuk menarik kehadiran pelancong melihatnya. Tindakan ini menjadikan usaha pemuliharaan bangunan itu berjalan dengan baik kerana bangunan itu akan diselenggarakan atau diubahsuai demi tatapan pelancong asing. Jelaslah, tindakan menjadikan bangunan itu sebagai tarikan pelancong akan menjamin kewujudannya.

Selain itu, bangunan bersejarah ini juga boleh diubah menjadi bangunan muzium yang memaparkan sejarah tertentu. Contohnya, bangunan Balai Polis Bukit Kepong boleh dipulihara untuk memaparkan semangat perjuangan polis dan peristiwa tragis yang berlaku di kawasan itu suatu masa dahulu. Bukan sahaja bangunan lama ini akan terus wujud tetapi masyarakat muda akan dapat menghargai erti pengorbanan yang dilakukan oleh anggota polis demi kemerdekaan negara kita.

Malahan, bangunan yang lama ini sesuai juga dijadikan pusat beli-belah atau perniagaan. Secara am bangunan bersejarah ini masih selamat dan unik untuk digunakan dalam ekonomi masyarakat kita. Kewujudan bangunan ini memberikan satu kelebihan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka dalam suasana yang jauh berbeza lalu menarik kehadiran pelanggan yang banyak pula. Maka, bangunan lama boleh juga digunakan untuk menjana ekonomi negara ini.

Tambahan pula, bangunan bersejarah ini boleh ditukar untuk menjadi bangunan pentabdiran. Sebagai contoh Bangunan Sultan Abdul Samad telah ditukar menjadi bangunan mahkamah suatu masa dahulu. Penggunaan bangunan lama sebagai pusat pentadbiran bukan sahaja mengurangkan kos pembinaan bangunan baru tetapi juga boleh menimbulkan rasa bangga dan patriotisme dalam diri seseorang yang berurusan di pejabat kerajaan itu. Jelaslah, bangunan bersejarah boleh menjadi bangunan pentadbiran pula jika diuruskan dengan baik.

Malahan, bangunan lama itu juga boleh ditukar menjadi rumah kebajikan seperti anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya. Bangunan lama ini biasanya tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi lalu sesuai untuk badan-badan kebajikan menggunakannya untuk mengurangkan kos perbelanjaan mereka pula. Pada masa yang sama, nasib golongan yang kurang bernasib baik ini terus terjaga kerana mampu berteduh di bangunan yang sudah lama usianya itu. Sesungguhnya, bangunan lama ini sesuai digunakan sebagai bangunan kebajikan.

Konklusinya, bangunana lama wajar dikekalkan kerana bangunan sebegini masih mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Kita hanya perlu membuat pengubahsuaian tertentu bersama-sama penyelenggaraan yang mantap untuk memastikan bangunan itu selamat digunakan. Amalan memusnahkan bangunan lama harus dikikis kerana sikap ini seolah-olah memperlekehkan warisan sejarah negara kita yang penuh warna-warni itu.

Thursday, August 19, 2010

Karangan SPM 2010: Rancangan Hiburan Televisyen Jejaskan Budaya Tradisional


Ada pihak yang berpendapat bahawa rancangan hiburan yang disiarkan melalui televisyen menyebabkan masyarakat lupa tentang budaya seni tradisional.
Beri pendapat anda.


Televisyen sering dianggap sebagai satu ciptaan moden yang banyak membawa kebaikan kepada manusia pada zaman moden ini. Namun, penyiaran pelbagai rancangan berbentuk hiburan telah menyebabkan ada pihak beranggapan bahawa masyarakat mula meminggirkan budaya seni tradisional pula. Keadaan ini diperkuatkan menerusi kenyatan demi kenyataan pihak media massa yang melihat program hiburan sebegini menghancurkan kebudayaan tempatan seperti tarian dan permainan tradisional. Sesungguhnya, penyiaran rancangan hiburan menerusi televisyen membawa masyarakat melupakan kebudayaan tradisional mereka.

Kalau kita kaji secara mendalam kebanyakan rancangan hiburan yang disiarkan itu memaparkan cara berpakaian yang langsung tidak berunsur tradisional. Ada artis terutama dari Barat yang memakai pakaian yang mencolok mata kerana pada mata mereka pakaian sebegini mampu meninggikan lagi populariti seseorang artis itu. Generasi muda yang menonton rancangan hiburan sebegini sudah pasti akan tertarik lalu menganggap cara berpakaian artis itu sahaja yang betul lalu cuba memakainya dalam kehidupan seharian mereka tanpa memikirkan kesan sampingannya. Jelaslah, program hiburan yang disiarkan itu menyebabkan masyarakat kita melupakan cara berpakaian yang seiringan dengan kebudayaan tempatan.

Begitu juga penggunaan bahasa dalam rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen telah menyebabkan kebudayaan tradisional kita terjejas. Akibat aspek masa dan cuba menjadikan rancangan hiburan itu lebih menarik, penggunaan bahasa yang rojak dan tidak tepat digunakan secara meluas sehingga menjadikan masyarakat sukar hendak membezakan penggunaan bahasa yang betul. Keadaan ini menyebabkan ada pihak yang menganggap bahasa dalam televisyen itu lebih betul berbanding dengan tatabahasa yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di negara ini. Maka, kekeliruan sebegini menjadikan bahasa kebangsaan kita akan diperlekehkan penggunaannya oleh pihak-pihak tertentu sehinga menjejaskan imej kebudayaan tradisional negara kita pada jangka masa panjang pula.

Tambahan pula, program berbentuk hiburan itu turut memaparkan pemaparan kesopanan yang bertentangan dengan kebudayaan tradisional kita. Sudah banyak kali kita mendengar komentar masyarakat yang mengaitkan dengan kehilangan adat sopan generasi muda akibat terlalu terpengaruh dengan budaya yang mereka tonton di televisyen itu. Budaya memarahi ibu bapa, bergaduh dengan guru dan mengeluarkan bahasa kesat sudah dianggap biasa kerana masyarakat sering melihat adegan sebegini di televisyen. Jelaslah, masyarakat kita semakin melupakan adat sopan ketimuran yang suatu masa dahulu amat kita banggakan sudah hilang lantaran terlalu banyak menonton adegan yang kurang sesuai di televisyen pula.

Namun, penyiaran program hiburan di televisyen berupaya untuk menghalang pemikiran yang positif dalam diri seseorang itu. Pandangan yang melihat kebudayaan negara itu sendiri sebagai satu kebudayaan yang lemah dan tidak sesuai dengan peredaran zaman dipengaruhi menerusi sikap melihat program hiburan yang keterlaluan itu. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menimbulkan satu perasaan yang menolak kewujudan kebudayaan tempatan dalam jiwa seseorang tersebut. Jelaslah, program hiburan di televisyen menyebabkan pemikiran seseorang akan berubah lalu memandang rendah kebudayaan tradisional mereka sendiri.

Pada masa yang sama, tindakan menyalahkan televisyen seratus peratus bukanlah satu tindakan yang bijak kerana berlakunya sesuatu perkara itu sudah pasti banyak berkaitan dengan faktor yang lain juga. Pinggiran kebudayaan tradisional kita turut disebabkan sikap generasi muda kita yang tidak begitu memandang tinggi kebudayaan tempatan sehingga sanggup meniru kebudayaan lain pula. Kita menganggap kebudayaan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Barat itu lebih moden dan praktikal lalu segera menirunya tanpa merujuk dahulu aspek menghargai kebudayaan sendiri. Maka, kegagalan menghargai negara, bangsa dan kebudayaan sendiri turut menyebabkan kebudayaan tradisional itu semakin lama semakin hilang ditelan zaman.

Kesimpulannya, rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen itu memang menyebabkan kebudayaan tradisional kita mengalami kemerosotan daripada segi imejnya. Semua pihak terutama pihak berkuasa hendaklah lebih peka untuk membuat peraturan yang mengehadkan penayangan rancangan berbentuk hiburan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kebudayaan tradisional kita itu. Kegagalan berbuat demikian dengan segera akan menyebabkan kebudayaan kita terhakis sedikit demi sedikit lalu hilang akhirnya. Bak kata pepatah “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih” membuktikan semua yang berlaku itu berada dalam ketentuan diri kita sendiri.

Sunday, August 15, 2010

Karangan SPM 2010: Impak Negatif Perindustrian Terhadap Negara?


Sektor perindustrian sudah menjadi satu nadi ekonomi yang penting kepada negara ini sejak beberapa dekad yang lalu. Penubuhan beberapa kawasan perindustrian telah membuktikan bahawa sektor ini menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara. Namun, sudah ada beberapa pihak yang menganggap sektor ini membawa pelbagai impak negatif kepada masyarakat kita.

Jelaskan impak-impak negatif yang berlaku itu.


Sektor perindustrian merujuk sektor kilang yang menghasilkan pelbagai produk yang berguna buat manusia seperti menghasilkan kereta dan makanan. Negara kita memang telah menggunakan sektor ini sebagai satu tindakan untuk meningkatkan tahap ekonomi penduduk negara menjadi setanding dengan negara-negara lain terutama di sebelah rantau Asia. Kejayaan sektor perindustrian di negara ini juga sering menjadi bahan berita dalam media massa tempatan dan asing terutama sekitar tahun 80-an dan 90-an. Cuma, sejak akhir-akhir ini pelbagai komentar tentang impak negatif sektor ini mula mendapat tempat dalam perbincangan masyarakat setempat.

Impak yang paling ketara yang ditimbulkan oleh sektor perindustrian ialah kemusnahan kawasan hutan negara kita yang terkenal dengan flora dan faunanya yang tersendiri itu. Dalam usaha untuk membentuk satu kawasan perindustrian yang luas dan efisien serta berdaya saing, satu kawasan baru yang luas harus dibuka yang biasanya melibatkan penerokaan kawasan hutan negara. Penebangan kawasan hutan negara ini dikatakan telah memusnahkan habitat hidupan liar negara yang suatu masa dahulu menjadi kebanggan negara kita pula seperti harimau dan gajah serta badak sumbu sumatera. Maka, kewujudan sektor perindustrian telah membawa kemusnahan kawasan hutan negara yang luas dan sukar untuk dipulihkan semula.

Lantaran itu, kadar pencemaran alam turut meningkat kerana sektor perindustrian dikatakan sering menghasilkan sisa-sisa toksik yang tidak dibuang secara sistematik atau dengan baik. Kebanyakan bahan buangan sektor ini dialirkan begitu sahaja tanpa dilakukan sebarang rawatan yang sesuai untuk memastikan sungai dan udara negara tidak tercemar dengan mudah. Masalah ini diburukkan lagi dengan ketiadaan kawasan hijau negara yang sudah pun semakin berkurangan dengan pembukaan kawasan kilang yang besar ini. Sesungguhnya, kadar pencemaran alam menjadi begitu serius dengan bertambahnya kawasan sektor perindustrian kerana sektor ini mempunyai pembuangan sisa-sisa kimia yang berbahaya.

Bukan sahaja alam tercemar dan hutan negara hilang begitu sahaja tetapi kewujudan sektor perindustrian telah mengoyahkan sistem kekeluargaan di negara ini dengan begitu ketara. Banyak ibu bapa yang bekerja dengan sektor perindustrian terpaksa mengikut waktu kerja yang agak ganjil iaitu ada kalanya mereka terpaksa bekerja malam dan kerja lebih masa yang menyebabkan tumpuan mereka terhadap keluarga menjadi semakin kurang. Kekerapan mereka bekerja juga menjadikan diri mereka lebih tidak berupaya untuk mendidik anak dengan baik yang membawa peningkatan masalah sosial terutama di kawasan bandar yang banyak memiliki kilang-kilang moden. Jelaslah, sektor ini bukan sahaja memusnahkan alam tetapi turut menjadikan kehidupan sosial masyarakat menjadi porak-peranda dalam tempoh yang singkat.

Impak yang lain yang turut ditimbulkan oleh sektor ini ialah terpinggirnya sektor pertanian di negara ini. Dahulu sebelum pengenalan sektor perindustrian ini, kebanyakan penduduk negara ini terlibat dalam sektor pertanian yang begitu meluas. Kini, sektor pertanian semakin terpinggir kerana kadar upah dan cara kehidupan di ladang yang dikatakan tidak lagi menepati kehendak zaman yang membawa ramai tenaga kerja beralih bekerja di sektor perindustrian pula yang mendorong negara terpaksa menggunakan pekerja asing untuk bekerja di sektor peladangan. Maka, sektor perindustrian turut memusnahkan sektor pertanian negara yang dahulunya menjadi kebanggaan kita semua.

Konklusinya, sektor prindustrian membawa banyak impak negatif kepada negara dalam jangka masa panjang. Semua pihak harus menilai semula penekanan terhadap sektor ini dengan memikirkan kaedah-kaedah lain untuk memajukan negara kerana kita tidak mahu menjadi sebuah negara moden tetapi kehilangan budaya dan khazanah negara pula dalam masa yang sama. Keseimbangan harus dicari dalam usaha untuk menangani kemelut ini kerana faktor itulah yang bakal akan membawa negara kita terus mampu untuk bersaing dalam arena global kini. Mungkinkah kita harus mengetatkan syarat-syarat penubuhan kilang-kilang baru di negara ini?

Tuesday, August 10, 2010

Karangan SPM 2010: Langkah-langkah Galak Menyimpan Wang


Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.


Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.

Konlusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.

Thursday, August 5, 2010

Karangan SPM 2010: Peranan Media Massa Di Negara Ini.


Media massa dikatakan saluran komunikasi dan informasi yang penting buat masyarakat.

Apakah peranan yang mampu dimainkan oleh media cetak.


Media massa meliput media cetak seperti akhbar dan majalah manakaa media elektronik pula melibatkan televisyen, radio serta internet. Kedudukan media massa dalam masyarakat begitu penting terutama untuk memastikan masyarakat mengetahui semua perkara yang berlaku di dunia ini selaras dengan konsep masyarakat bermaklumat. Ada juga pendapat yang mengaitkan media massa terlalu banyak memaparkan informasi sehingga sukar untuk diterima dan difahamii oleh mereka yang melihatnya lalu menjadikan maklumat itu tidak berguna. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh media cetak harus difahami untuk mengetahui impak yang dibawanya itu.

Sudah pasti peranan paling ketara yang mampu dimainkan oleh media cetak seperti akhbar dan majalah itu iaah media ini melaporkan berita yang berlaku di negara dan seantero dunia untuk makluman kita semua. Pendedahan berita yang dibuat oleh media cetak menyebabkan masyarakat memahami perkara yang sedang berlaku di dunia dengan lebih mudah dan pantas berbanding masa dahulu yang mungkin mengambil sedikit masa. Pengetahuan mengenai berita semasa ini boleh menjadikan kehidupan masyarakat kita lebih bermakna kerana mereka sendiri berasa terlibat dalam setiap berita yang disiarkan itu. Maka, peranan mendedahkan sesuatu kejadian sebagai satu berita yang boleh menjadian masyarakat kita lebih berinformasi tentang keadaan sekelilingnya.

Pada masa yang sama media cetak berbeza dengan media elektronik mampu membuat analisa berita yang lebih mendalam untuk dbaca berulang kali oleh masyarakat. Pembacaan artikel yang sebegini kritis mampu membuka minda masyarakat menjadi lebih matang dalam menilai dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara tersebut. Rencana yang disiarkan juga biasanya ditulis oleh wartawan atau penulis yang berpengalaman luas tentang sesuatu aspek yang dibicarakan itu untuk memberikan pandangan yang berbeza buat masyarakat pula. Jelaslah, media cetak berupaya menyalurkan maklumat yang lebih kritis untuk tatapan masyarakat kita.

Selain itu, berita dan rencana yang disiarkan oleh media cetak mampu memberi pengajaran dan maklumat kepada kita semua. Semua perkara yang dilaporkan oleh media massa sudah pasti memberikan pelbagai pendapat yang wujud lalu menjadikan masyarakat kita sedar dan membuat perbandingan kehidupan mereka dengan berita yang didengar. Berta kejadian jenayah menjadikan kita lebih berwaspada manakala berita tentang kesihatan menjadikan manusia lebih peka akan aspek pemakanan dan berita tentang politik membuatkan rakyat negara in sedar akan hak mereka sebagai penentu pemerintahan negara. Maka, semua berita yang disiarkan oleh media massa membolehkan masyarakat menerimanya sebagai satu bentuk pengajaran dan peringatan kepada kita semua.

Media massa juga tanpa disedari menjadi alat yang memantu meningkatkan tahap bacaan atau celik huruf di negara ini. Kita sudah sedia maklum bahawa untuk menghayati berita media cetak ini seseorang itu perlulah mahir dalam pembacaannya dan semakin banyak berita yang dibaca maka semakin mahirlah aspek pembacaan seseorang itu. Media cetak menjadi satu saluran yang paling mudah untuk mendidik masyarakat kita supaya suka membaca dan menghargai bahan bacaan dengan efektif. Sesungguhnya, media cetak berupaya menjadikan seluruh rakyat negara ini mahir dalam bacaan mereka pada tempoh yang singkat.

Kesimpulannya, media cetak memang mempunyai banyak peranan yang boleh memajukan masyarakat kita. Usaha untuk memberi galakan supaya lebih banyak bahan media cetak dihasikan dinegara ini harus ditingkatkan dengan seberapa segera yang mungkin. Bukan sahaja masyarakat boleh menikmati faedahnya tetapi pelajar juga boleh menggunakan bahan dalam media cetak menjadi alat bantuan pendidikan mereka terutama untuk menulis karangan. Media cetak lambang kemajuan sesebuah negara dan masyarakatnya.

Sunday, August 1, 2010

Karangan SPM 2010: Punca-punca Kenaikan Harga Minyak Berlaku Kini?


Negara sedang menghadapi krisis kenaikan harga minyak.

Bincangkan punca-punca kenaikan ini berlaku.


Dunia kini sedang mengalami krisis kenaikan minyak yang begitu kronik. Kenaikan ini telah menyebabkan banyak negara mengalami masalah hutang yang begitu teruk sehingga mampu memusnahkan ekonomi yang sudah dipupuk sekian lama itu. Rakyat juga mula menerima tempias krisis ini yang menyaksikan banyak syarikat mula membuang pekerja mereka kerana ekonomi dunia mengalami kegawatan yang ketara. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya krisis kenaikan harga minyak ini?

Kemelut harga minyak ini banyak dipengaruhi oleh permintaan minyak yang begitu tinggi dari negara China dan India. Kedua-dua negara ini sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang rancak lalu memerlukan jumlah minyak yang banyak untuk memenuhi keperluan industri mereka yang sedang berkembang pesat itu. Permintaan yang terlalu banyak ini telah menyebabkan harga minyak melambung kerana situasi ini mewujudkan tekanan terhadap keperluan minyak begitu jelas. Pada masa yang sama, keperluan permintaan minyak dunia begitu tinggi berbanding dengan tahap pengeluaran minyak yang sedia ada lalu menyebabkan harga melambung tinggi. Ringkasnya, harga minyak meningkat kerana China dan India telah mewujudkan satu pasaran baru buat pengusaha minyak dunia.

Selain itu, keadaan politik yang tidak stabil di rantau Asia Barat telah menjadikan harga minyak melambung tinggi. Peperangan bersama-sama tunjuk perasaan, rampasan kuasa dan ketidakstabilan politik di Iraq, Iran, Syria, Kuwait dan sebagainya menyebabkan banyak negara pembeli minyak berasa risau lalu membuat pembelian awal yang lebih banyak daripada pembelian biasa. Keadaan yang tidak stabil ini menyebabkan negara-negara pengeluar minyak yang lain mengambil kesempatan untuk meninggikan harga minyak untuk mengaut keuntungan segera daripada ketidakstabilan politik yang melanda rantau itu. Maka, keadaan politik yang tidak stabil di Asia Barat telah menyebabkan harga minyak melambung tinggi dengan begitu mudah.

Penurunan kadar nilai mata wang Amerika Syarikat juga dikaitkan dengan peningkatan harga minyak ini. Sudah menjadi kebiasaan pembelian minyak dikaitkan dengan penggunaan mata wang Amerika Syarikat lalu sebarang penurunan mata wang negara ini pasti akan menjejaskan nisbah keuntungan yang bakal diterima oleh negara pengeluar minyak itu. Situasi ini membawa kepada negara pengeluar minyak tidak berminat untuk mengeluarkan minyak lebih banyak kerana pembelian minyak menggunakan mata wang Amerika Syarikat ketika ini tidak membawa kadar keuntungan yang banyak kepada mereka.

Tambahan pula, keperluan minyak negara-negara yang mengeluarkan minyak itu sendiri begitu tinggi. Situasi ini menyebabkan jumlah minyak yang dikeluarkan oleh mereka itu tidak banyak yang boleh dieksport untuk keperluan negara lain kerana sudah pasti mereka akan cuba memenuhi keperluan minyak negara mereka terlebih dahulu. Kekurangan jumlah penawaran minyak di pasaran antarabangsa menyebabkan harga minyak melambung kerana negara-negara lain turut memerlukan minyak dalam kuantiti yang banyak.

Konklusinya, harga minyak melambung disebabkaan oleh semua faktor yang dinyatakan tadi. Kerjasama yang lebih erat antara negara pengeluar dengan negara yang memerlukannya perlu dicapai kerana kegagalan membuat persetujuan bersama bakal menyaksikan harga bahan mentah utama dunia ini akan terus meningkat ke tahap yang begitu tinggi. Semua pihak perlulah memahami impak yang dibawa oleh kenaikan harga minyak ini terhadap pembangunaan dunia secara keseluruhannya.