Wednesday, August 25, 2010

Karangan SPM 2010: Langkah-langkah Mengekalkan Bangunan Lama Negara?


Negara kita mempunyai banyak bangunan bersejarah yang makin pupus dihimpit arus pembangunan.

Cadangkan langkah-langkah untuk mengekalkan bangunan tersebut.


Bangunan bersejarah bolehlah ditakrifkan sebagai bangunan lama yang digunakan dalam urusan kerajaan atau agensi kerajaan. Banyak bangunan bersejarah ini berfungsi sebagai bangunan pentadbiran, mahkamah, balai polis dan penjara. Ada bangunan ini yang berusia ratusan tahun yang pasti ada nilai sejarah terutama buat generasi muda. Lantaran itu, usaha-usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan bangunan sebegini daripada hilang ditelan zaman.

Kerajaan boleh menjadikan bangunan itu sebagai satu daya tarikan pelancong. Sebagai contoh bangunan A Famosa, Penjara Pudu dan sebagainya boleh dipelihara untuk menarik kehadiran pelancong melihatnya. Tindakan ini menjadikan usaha pemuliharaan bangunan itu berjalan dengan baik kerana bangunan itu akan diselenggarakan atau diubahsuai demi tatapan pelancong asing. Jelaslah, tindakan menjadikan bangunan itu sebagai tarikan pelancong akan menjamin kewujudannya.

Selain itu, bangunan bersejarah ini juga boleh diubah menjadi bangunan muzium yang memaparkan sejarah tertentu. Contohnya, bangunan Balai Polis Bukit Kepong boleh dipulihara untuk memaparkan semangat perjuangan polis dan peristiwa tragis yang berlaku di kawasan itu suatu masa dahulu. Bukan sahaja bangunan lama ini akan terus wujud tetapi masyarakat muda akan dapat menghargai erti pengorbanan yang dilakukan oleh anggota polis demi kemerdekaan negara kita.

Malahan, bangunan yang lama ini sesuai juga dijadikan pusat beli-belah atau perniagaan. Secara am bangunan bersejarah ini masih selamat dan unik untuk digunakan dalam ekonomi masyarakat kita. Kewujudan bangunan ini memberikan satu kelebihan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka dalam suasana yang jauh berbeza lalu menarik kehadiran pelanggan yang banyak pula. Maka, bangunan lama boleh juga digunakan untuk menjana ekonomi negara ini.

Tambahan pula, bangunan bersejarah ini boleh ditukar untuk menjadi bangunan pentabdiran. Sebagai contoh Bangunan Sultan Abdul Samad telah ditukar menjadi bangunan mahkamah suatu masa dahulu. Penggunaan bangunan lama sebagai pusat pentadbiran bukan sahaja mengurangkan kos pembinaan bangunan baru tetapi juga boleh menimbulkan rasa bangga dan patriotisme dalam diri seseorang yang berurusan di pejabat kerajaan itu. Jelaslah, bangunan bersejarah boleh menjadi bangunan pentadbiran pula jika diuruskan dengan baik.

Malahan, bangunan lama itu juga boleh ditukar menjadi rumah kebajikan seperti anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya. Bangunan lama ini biasanya tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi lalu sesuai untuk badan-badan kebajikan menggunakannya untuk mengurangkan kos perbelanjaan mereka pula. Pada masa yang sama, nasib golongan yang kurang bernasib baik ini terus terjaga kerana mampu berteduh di bangunan yang sudah lama usianya itu. Sesungguhnya, bangunan lama ini sesuai digunakan sebagai bangunan kebajikan.

Konklusinya, bangunana lama wajar dikekalkan kerana bangunan sebegini masih mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Kita hanya perlu membuat pengubahsuaian tertentu bersama-sama penyelenggaraan yang mantap untuk memastikan bangunan itu selamat digunakan. Amalan memusnahkan bangunan lama harus dikikis kerana sikap ini seolah-olah memperlekehkan warisan sejarah negara kita yang penuh warna-warni itu.

1 comment:

  1. Jazakallah khairan khathira :)
    Awak dah tolong saya siapkan folio karangan.
    Terima kasih!

    ReplyDelete