Tuesday, September 7, 2010

Karangan SPM 2010: Batasan-batasan Menjadikan Masyarakat Suka Membaca?


Kerajaan berusaha menjadikan amalan membaca satu amalan masyarakat kita. Usaha mereka ini mula membuahkan hasil terutama dalam kalangan pelajar.

Namun, apakah kekangan-kekangan yang timbul dalam merealisasikan impian ini?


Sudah acap kali isu membaca ini menjadi perbualan hangat masyarakat kita terutama dalam media massa. Pelbagai kajian telah dilakukan yang seolah-olah membuktikan bahasa amalan membaca dalam jiwa rakyat kita masih lagi tidak berubah yakni kita kurang membaca. Perbandingan yang dilakukan dengan masyarakat luar seperti orang Jepun dan Perancis seolah-olah menunjukkan bahasa kita tidak memiliki budaya membaca yang baik. Jadi, apakah kekangan-kekangan yang menyebabkan kita sukar sangat untuk memegang buku lalu membacanya?

Kekangan yang ketara ialah sikap ibu bapa itu sendiri kerana mereka tidak memaparkan teladan yang positif kepada anak-anak mereka. Berapa keratkah ibu bapa yang menjadikan buku sebagai hadiah hari jadi anak mereka atau membawa anak mereka ke perpustakaan setiap hujung minggu? Ketiadaan contoh teladan sebeginilah yang menyebabkan budaya membaca ini sukar untuk dipupuk dalam jiwa remaja terutama dalam arus kemodenan yang begitu pesat ini. Jelaslah, ketiadaan sokongan padu ibu bapa menyebabkan usaha memupuk sikap suka membaca ini masih gagal untuk mencapai tahap keberkesanannya.

Kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa seratus peratus kerana kalau kita kaji kekangan yang kedua ialah harga bahan bacaan di negara ini bolehlah dikatakan mahal berbanding dengan negara jiran. Situasi ini timbul kerana negara kekurangan pasaran pembaca yang banyak lalu industri penerbitan buku tidak begitu maju sehingga menyebabkan penerbit buku sukar untuk merendahkan harga bahan bacaan mereka gara-gara bimbang buku mereka tidak laris di pasaran. Ketiadaan persaingan dan pasaran pembaca yang luas inilah menyebabkan penerbit tidak berminat untuk merendahkan harga bahan bacaan untuk ditatap oleh pembaca sekalian. Maka, kekangan yang seterusnya ialah harga bahan bacaan yang terlalu mahal telah memadamkan minat membaca dalam jiwa rakyat kita.

Malah, sistem pendidikan yang terlalu rigid dan mengutamakan kelulusan akademik yang keterlaluan turut menjadikan minat membaca ini hilang ditelan zaman. Pelajar di sekolah telah ditanam dengan budaya perlunya mereka lulus dalam setiap peperiksaan lalu bahan bacaan yang diutamakan lebih tertumpu kepada bahan buku pihak sekolah sahaja tanpa membaca bahan-bahan bacaan berunsur sastera atau pengetahuan umum yang turut mampu meningkatkan minat membaca itu. Keadaan diburukkan lagi dengan masa belajar yang terlalu panjang terutama aktiviti kokurikulum yang menyaksikan pelajar tidak mempunyai masa untuk membaca bahan bacaan umum yang lain pula. Oleh itu, ketiadaan minat membaca terutama dalam kalangan pelajar banyak ditentukan oleh penumpuan terhadap peperiksaan dan bahan bacaan yang diluluskan oleh pihak sekolah sahaja.

Malahan, arus perdana media massa turut menjadikan minat membaca itu sesuatu yang lapuk pada mata masyarakat kita. Lihat sahaja media massa seperti internet yang memaparkan bahan-bahan yang lebih unik dan interaktif sehingga berupaya menarik perhatian seseorang itu berjam-jam berbanding dengan amalan membaca yang hanya melibatkan buku dan huruf-huruf yang tidak mampu berinteraksi dengan pembaca pula. Sudah pasti remaja akan memilih internet berbanding aktiviti membaca kerana membaca memerlukan fokus dan tumpuan fikiran yang begitu mendalam untuk memahaminya. Jadi, amalan membaca di negara ini dibayangi oleh kemodenan teknologi seperti internet yang lebih serasi dengan jiwa remaja yang mengutamakan rasa seronok daripada aspek memikirkan sesuatu secara mendalam dan saintifik itu.

Kesinmpulannya, semua kekangan itu telah menghalang kadar pembacaan di negara ini daripada terus meningkat terutama dalam kalangan pelajar. Kita masih enggan bekerjasama terutama antara kerajaan dan penerbit buku untuk mencari jalan untuk merendahkan harga serta menerbitkan lebih banyak judul buku di negara ini. Kalau masyarakat kita terus memandang sepi akan pentingnya amalam membaca ini maka masyarakat kita akan ketinggalan suatu masa nanti. Bak kata peribahasa, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

1 comment:

  1. terima ksh byk2 cg...u sgl mklmt yg cg bg nie..byk tlg sy..pray us spm 2010..do our bez in spm..ameen..

    ReplyDelete