Tuesday, September 14, 2010

Karangan SPM 2010: Pemupukan Nasionalisme dan Kepentingannya Dalam Kalangan Remaja Kita


Remaja kita perlu disemaikan semangat patriotisme untuk mengekalkan pembangunan negara memandangkan merekalah yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan.

Huraikan kepentingan semangat patriotisme kepada remaja dan usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja.


Remaja yang bersemangat patriotik merupakan satu aset yang tidak ternilai buat mana-mana negara termasuklah Malaysia. Golongan ini yang masih muda dan penuh dengan impian boleh memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara jika diasuh dengan betul oleh generasi lama. Kegagalan melakukan tindakan yang betul mampu menjadikan generasi remaja ini satu bebanan pula kepada masyarakat di negara ini. Lantaran itu, banyak kepentingan yang boleh wujud menerusi remaja yang bersemangat patriotik ini jika usaha-usaha memupuknya berjalan lancar.

Mengapakah semangat patriotik ini penting wujud dalam jiwa remaja kita? Semangat ini berguna dipupuk kerana mampu mengurangkan risiko berlakunya rusuhan kaum di negara ini. Masyarakat kita yang berbilang bangsa menjadikan perkara ini satu risiko yang boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja. Jika rusuhan kaum tercetus di negara ini maka semua pembangunan yang dirancang selama ini akan hilang begitu sahaja. Jelaslah, semangat patriotik harus dipupuk dalam jiwa anak remaja kita.

Selain itu, pemupukan semangat patriotik ini berupaya menjamin keseinambungan pembangunan negara pada masa hadapan tanpa sebarang kekangan. Remaja bakal meneraju pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan tanpa sikap patriotik sudah pasti mereka menganggap pembangunan negara itu sesuatu yang tidak bermakna untuk diteruskan usahanya. Negara memang memerlukan jiwa remaja yang penuh kreativiti dan inovatif itu dalam memastikan pembangunan negara berjalan lancar. Maka, kewujudan semangat patriotik memang penting untuk memastikan arus pembangunan negara mampu diteruskan.

Salah satu cara yang mudah untuk menanam sikap patriotik ini ialah Program Latihan Khidmat Negara. Program ini menyuntik pelbagai pengetahuan tentang negara ke dalam jiwa remaja sepanjang mereka menyertai aktiviti positif ini. Semua aktiviti yang dijalankan dalam program ini juga melibatkan konsep kekitaan yang mengutamakan hubungan sesame kaum untuk mencapai kejayaan. Sesungguhnya, program yang mudah tetapi efektif ini harus diteruskan untuk menanam sikap patriotik dalam jiwa remaja.

Malahan, mata pelajaran Sejarah boleh digunakan sebagai alat untuk menyemai sikap patriotik dalam minda remaja kita. Subjek ini yang penuh dengan fakta dan kisah perjuangan pejuang negara mampu dihayati oleh pelajar jika cara penyampaiannya lebih berkesan dan praktikal. Pelajar yang memahami dan menghargai subjek Sejarah sudah pasti akan mempunyai satu pandangan positif tentang negaranya kerana menyedari betapa besarnya pengorbanan yang sudah dilakukan oleh generasi sebelum mereka untuk memastikan negara ini terus wujud di persada dunia. Justeru, subjek Sejarah boleh dijadikan medium yang berkesan untuk memastikan setiap remaja kita memiliki sikap patriotik yang mendalam.

Natijahnya, semangat patriotik ini harus ditanam dengan mendalam dalam jiwa remaja kita. Semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memastikan usaha murni ini berjaya dilaksanakan dengan mudah. Kejayaan menanam sikap positif ini mampu menjadikan negara ini kebal daripada arus perubahan politik dan sosial yang melanda seluruh dunia kini. Cuma, kita harus sedar lebih awal kita melaksanakannya maka lebih baiklah buat remaja kita sendiri.

No comments:

Post a Comment