Thursday, October 21, 2010

Karangan SPM 2010: Langkah-langkah Menangani Pemanasan Global


Isu pemanasan global sudah menjadi perkara lumrah kini. Pelbagai persidangan sudah diatur untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah kerjasama yang mampu dilakukan oleh pihak masyarakat antarabangsa dalam isu ini?


Isu pemanasan global dikatakan telah mencairkan ais di kawasan kutub bumi sehingga mempengaruhi perubahan iklim pula. Kejadian hujan lebat bersama-sama angin taufan yang melanda Filipina sedikit masa lalu telah membuktikan betapa isu pemanasan global ini telah mengubah sistem iklim dunia. Masyarakat sudah mula sedar akan impak negatif yang bakal dibawa oleh perubahan cuaca yang agak drastik ini kepada kehidupan harian mereka kelak. Oleh itu, pelbagai tindakan bersama boleh dilakukan oleh masyarakat dunia untuk sama-sama mengurangkan impak pemanasan global ini.

Tindakan kerjasama awal yang boleh dilakukan oleh masyarakat antarabangsa ialah kajian-kajian saintifik boleh diusahakan untuk memperoleh data yang tepat tentang pemanasan global ini. Kewujudan data yang tepat seperti kadar pencairan ais di kutub dan sebagainya ini membolehkan masyarakat dunia membuat tindakan susulan untuk mengatasi perubahan iklim yang dikatakan berlaku itu. Perkongsian data kajian ini juga boleh memberikan gambaran sebenar tentang impak yang bakal dialami oleh dunia dengan lebih jelas. Maka, kerjasama melaksanakan kajian-kajian saintifik merupakan tindakan awal yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat antarabangsa.

Selain itu, masyarakat antarabangsa boleh melaksanakan kempen kesedaran tentang isu pemanasan global ini untuk memberikan pemahaman sebenar kepada masyarakat dunia. Kempen kesedaran ini pasti lebih efektif kerana dilakukan di seluruh dunia lalu membawa perubahan yang serupa kepada penduduk dunia dengan lebih pantas. Perubahan yang berlaku itulah mampu dijelmakan dalam tindakan bersepandu masyarakat dunia untuk sama-sama mengatasi fenomena yang mula mengancam perubahan cuaca dunia ini. Sesungguhnya, kempen kesedaran yang bersepandu di seluruh dunia akan membawa perubahan yang lebih nyata terhadap semua tindakan yang dilaksanakan secara bersama-sama itu kelak.

Malah, masyarakat dunia terutama negara-negara maju perlulah menandatangani Perjanjian Kyoto yang berkaitan dengan pengawalan kesan rumah hijau. Semua negara sedar bahawa salah satu punca pemanasan global ialah kadar perlepasan pelbagai gas akibat kemajuan manusia seperti kereta, bas, kilang dan sebagainya tetapi masih banyak negara maju yang enggan mengawal kadar perlepasan gas sebegini sebab bimbang kadar pertumbuha ekonomi mereka akan terjejas pula jika bertindak sedemikian. Semua negara perlu sedar bahawa jika perlepasan gas ini tidak dikawal dunia akan musnah termasuklah negara mereka sendiri. Jelaslah, semua negara perlu menandatangani perjanjian yang mengawal perlepasan gas yang mampu memusnahkan dunia itu dengan segera supaya proses pemanasan global tidak menjadi begitu pantas lagi.

Masyarakat dunia juga boleh mewujudkan satu dana khas untuk membiayai semua projek sains yang membuat penyelidikan untuk mencari jalan mengatasi masalah pemanasan global ini. Dana ini hendaklah disumbangkan oleh semua negara tanpa banyak alasan lagi kerana semakin cepat wang ini dikumpulkan semakin cepat pula projek penyelidikan dijalankan untuk mencari jalan penyelesaiannya. Semua projek penyelidikan itu hendaklah meliputi semua kemungkinan yang dijangka akan berlaku dan disertai oleh ahli-ahli saintis seluruh dunia untuk mendapatkan keputusan yang tepat. Sesungguhnya, usaha mengumpul dana sebegini mampu memupuk semangat kerjasama yang tinggi selain mampu mewujudkan pelbagai projek penyelidikan yang berkualiti dalam tempoh yang singkat.

Konklusinya, semua tindakan itu harus dilaksanakan oleh masyarakat dunia tanpa perlu berlengah masa lagi. Kita tidak harus menimbulkan pelbagai alasan atau sebab yang mampu melambatkan proses mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang bakal menentukan keseinambungan peradaban manusia ini. Kegagalan kita untuk bertindak dengan rasional boleh menyaksikan pupusnya peradaban manusia dalam masa terdekat nanti. Kita perlu sedar bahawa dunia ini bukannya hak kita tetapi warisan yang harus dinikmati oleh generasi akan datang.

Wednesday, October 20, 2010

Gementar ketika peperiksaan perasaan biasa

PELAJAR DAN SPM

Inilah waktunya

Semakin hari debaran untuk menghadapi peperiksaan itu semakin hampir. Semakin kuatlah degupan jantung para pelajar saya sekalian. Apa-apa yang berlaku dalam kehidupan mereka pasti dilihat dengan satu pandangan yang berbeza yakni semuanya pasti member kesan dalam persediaan SPM mereka. Inilah saat yang dinantikan oleh semua pelajar.

Perasaan tidak yakin atau berasa persediaan tidak cukup sememangnya sesuatu yang biasa. Perasaan gementar untuk menghadapi sesuatu yang sebegini besar kesannya dalam kehidupan pelajar seharusnya berlaku. Ingat lagi ketika pelajar semua mengambil peperiksaan UPSR? Atau masih ingatkah pelajar peperiksaan PMR yang baru dua tahun berlalu itu? Dan bukankah perasaan gementar yang kini dihadapi turut meresap dalam jiwa pelajar?

Manusia sememangnya gementar menghadapi sesuatu yang baru. Saya masih ingat ketika saya mula-mula mengajar dahulu. Saya berdiri di depan dua pelajar pertama saya. Kaki saya begitu kaku dan keras sehingga tidak mampu bergerak. Tangan saya melekat terus di seluar. Hanya selepas kelas tamat baru saya menyedari keadaan saya yang begitu gementar untuk berucap. Itu pun setelah salah seorang pelajar saya menegur saya, “Cikgu nak berdiri lagi ke?”. Rakanya pula hanya tersenyum panjang.

Namun, akhirnya berkat semangat dan diberi peluang untuk terus mengajar kelas demi kelas, perasaan gementar itu terus hilang tanpa saya sedari. Mungkin dek saya sudah biasa mengajar lalu berucap di depan puluhan atau ratusan pelajar sudah menjadi biasa atau “kacang” sahaja. Mengajar sudah menjadi satu kebiasaan pula buat saya. Jenaka yang dilakukan pun kadangkalanya secara spontan sahaja terutama jika kelas yang dihadiri itu penuh dengan pelajar yang kreatif mindanya.

Sebenarnya, perkara yang hendak saya sampaikan ialah perasaan takut atau gementar itu biasa sahaja dalam diri manusia ini. Sebagai manusia, pengalaman mengalami sesuatu itulah yang penting lalu berupaya menjadikan kita seorang individu yang lebih baik pada masa hadapan. Semakin banyak peperiksaan yang kita alami semakin yakin diri kita akan kemampuan diri untuk melakukan yang terbaik pula.
Jadi, usah bimbang jika pelajar semua berasa gementar kerana perasaan itulah yang membuktikan bahawa anda semua manusia yang berani menghadapi cabaran baru dalam kehidupan anda.

Teruskan belajar.

Sunday, October 17, 2010

BUKU TERBARU SAYA SUDAH TERBIT...88 KARANGAN CONTOH ISU SEMASA SPM


PELAJAR SEMUA,

Setelah hampir beberapa bulan sibuk menyiapkan buku ini, akhirnya pihak penerbit telah memaklumkan kepada saya bahawa buku ini telah siap dan hanya menanti masa sahaja untuk dipasarkan.

Buku ini merangkumi semua isu semasa seperti gejala sosial, ragut dan pencemaran alam yang mampu memberikan pelajar satu sudut pandangan baru untuk menjawab soalan peperiksaan BM mereka kelak. Semua karangan itu telah disusun dengan sebegini rupa untuk memudahkan pelajar membaca dan membawanya ke mana-mana dengan mudah seperti membaca di LRT dan juga di dalam kereta ayah kelak.

Jika berminat, sila emel saya untuk mendapatkan harga diskaun kerana jika anda membeli terus daripada penerbit mungkin tidak ada potongan harga.

Harganya RM15 (sebelum diskaun).

Thursday, October 14, 2010

Karangan SPM 2010: Kriteria Modal Insan Berkualiti?

Kerajaan berharap agar generasi muda mempu menjadi modal insan yang berkualiti
Huraikan kriteria-kriteria yang ingin anda capai untuk menjadi modal insan yang berkualiti.


Kebelakangan ini, kebanyakan generasi muda terjebak dalam kegiatan gejala sosial. Contahnya, merokok,melepakdan juga merempit. Hal ini menyebabkan masyarakat tempatan takut anak-anak remaja mereka akan terjebak dalam gejala sosial ini.Pihak Kerajaan berusaha untuk melahirkan modal insan yang berkaliber agar negara kita Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang lebih baik pada masa akan datang,dan melonjakkan nama Malaysia di persada dunia,bak kata pepatah “Bagamana acuannya,begitulah kuihnya”. Kita haruslah mencapai beberapa criteria untuk menjadi modal insan yang berkualiti.

Kriteria yang harus ada pada generasi muda untuk menjadi modal insan yang berkualiti ialah, berpelajaran tinggi dan berfikiran terbuka. Hal ini dapat, menyelesaikan banyak kemelut di dalam negara kita. Antara masalah-masalah yang dapat diselesaikan ialah,kemelut rasuah, pencemaran alam,dan juga gejala sosial. Hal ini sekaligus dapat meningkatkan nama negara kita. Jadi,kita sebagai generasi muda masa kini haruslah,berusaha untuk menuntut ilmu agar kita berfikir dengan lebih kritis dan menjadi modal insan yang lebih berkualiti.

Selain itu, kita juga harus mempunyai didikan agama sempurna dan betul. Hal ini kerana,didikan agama amat penting agar seseorang itu lebih tenang dan tidak terburu-buru mengambil sesuatu keputusan. di samping itu, mereka juga akan lebih berdisiplin. Contohnya, mereka akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan jujur dan ikhlas tanpa sebarang paksaan. Negara kita juga akan aman dan damai tanpa tipu daya,bak kata mutiara “Agama tiang Negara”. Oleh itu, kita haruslah mengukuhkan keimanan kita untuk mencapai modal insan yang berkualiti.

Di samping itu, kita juga haruslah bersikap bertanggungjawab,agar kita tidak bersikap seperti”melepaskan batuk di tangga”.Kita Haruslah memupuk sikap bertanggungjawab mulai sekarang. Contohnya, kita haruslah menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang anak dan juga sebagai seorang pelajar sekolah. Sikap bertanggungjawab ini juga dapat melancarkan pentadbiran negara,jika setiap individu bersikap bertanggungjawab. Oleh itu, kita haruslah menanam sikap bertanggungjawab di dalam diri kita, agar generasi muda masa kini dapat menjadi modal insan yang berkualiti.

Tambahan pula, kita haruslah teliti dengan keadaan sekeliling kita. Hal ini agar, kita tidak menjadi seperti “katak didalam tempurung”. Kita haruslah peka dengan keadaan sekeliling. Sesuatu kerja yang dilakukan dengan teliti, kesilapannya juga akan kurang. Negara kita juga dapat ditadbir dengan baik jika generasi muda masa kini teliti dan bertindak secara rasional dengan keadaan sekeliling mereka. Jadi, kita haruslah peka dengan keadaan semasa.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah saling berganding bahu untuk melahirkan generasi muda sebagai modal insan yang berkualiti. Selain itu, kita sendiri haruslah berusaha untuk mencapai kriteria-kriteria untuk menjadi modal insan yang berkualiti. Jadi, harapan kerajaan untuk menjadi generasi muda sebagai modal insan yang berkualiti akan dapat dicapai.

Karya pelajar saya: Razea Maznah (teruskan minat menulis seperti ini)

Thursday, October 7, 2010

Karangan SPM 2010: Usaha-usaha Mengekalkan Keamanan Negara?

Semasa negara lain di dunia mengalami ketidaktenteraman berikutan masalah peperangan, Malaysia tetap berjaya mengekalkan keamanan sosial, ekonomi, dan politiknya. Keadaan itu banyak didorong oleh usaha pelbagai pihak dalam mengekalkan keamanan negara.

Berdasarkan pernyataan tersebut, berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan negara kita.


Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutama ancaman bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada negara sehingga menjadikan banyak negara cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak tindakan yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini untuk memastikan negara terus berada dalam situasi harmoni itu.

Tindakan yang paling ketara ialah negara telah meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya. Angkatan tentera negara ini telah cuba menarik lebih banyak remaja yang berkaliber untuk menyertai perkhidmatan mereka bersama-sama dengan pembelian peralatan ketenteraan yang serba canggih. Semua ini bertujuan memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi lalu menjamin keamanan negara yang stabil. Jelaslah, negara menjadi aman kerana memiliki satu ketumbukan tentera yang berkaliber dan berteknologi tinggi.

Selain itu, negara turut membuat kerjasama yang erat dengan Negara-negara jiran terutama negara-negara ASEAN. Kita semua sedia maklum bahawa ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau lalu memastikan perkembangan ekonomi boleh berlaku pada masa yang sama. Kerjasama yang erat ini juga memastikan setiap negara ASEAN tidak mahu menganggu urusan dalaman satu sama lain untuk memastikan tidak berlaku perselisihan faham yang boleh membawa permusuhan yang mengoyahkan keamanan pula. Jadi, kerjasama erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu tahap keamanan yang tinggi.

Malah, keamanan negara juga dikekalkan menerusi amalan demokrasi yang dilaksanakan di negara ini apabila tempoh pemerintahan kerajaan sebelumnya hamper tamat. Pilihanraya dan proses pertukaran pemimpin di negara ini masih berjalan secara rasional dan mengikut lunas-lunas perlembagaan negara yang mengutamakan hak asasi rakyat. Keadaan ini menjadikan keyakinan rakyat terhadap system pemerintahan kerajaan bertambah baik setiap kali proses demokrasi itu dilaksanakan. Jelaslah, proses demokrasi yang diamalkan menjadikan aspek keamanan itu sesuatu yang penting untuk dikekalkan di negara ini.

Malahan, pihak kerajaan juga telah meneruskan usaha pembasmian kemiskinan yang sudah mula menampakkan hasilnya. Jurang kekayaan antara golongan miskin dan kaya telah berupaya dikurangkan sehingga tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan sebarang masalah besar kelak. Perasaan kekitaan dan tidak berasa ditinggalkan menjadi asas penting untuk mengekalkan keamanan di negara ini untuk satu tempoh yang panjang kerana tidak timbul perasaan pilih kasih atau sebagainya dalam jiwa masyarakat berbilang kaum di sini. Maka, usaha mengikis perbezaan pengagihan kekayaan ini harus dilakukan secera berterusan untuk memastikan keamanan itu berkekalan.

Tambahan pula, pihak polis telah berjaya memerangi pelbagai gejala sosial yang melanda negara ini. Kejadian jenayah terutama jenayah berat telah dikawal dengan baik oleh pihak polis yang bertugas tanpa mengenal penat untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini bertambah baik. Kejayaan mengawal jenayah di negara ini turut sama memberikan satu suasana yang tenang dan meyakinkan kepada rakyat negara ini bahawa Malaysia sebuah negara yang baik untuk terus didiami. Justeru, kejayaan pihak polis menjalankan kewajipan mereka telah menjadikan aspek keamanan di negara ini terus wujud.

Kesimpulannya, keadaan keamanan yang sebegini perlu dikekalkan untuk selama-lamanya. Pada masa yang sama aspek pembangunan negara harus diberikan penekanan juga kerana inilah kemodenan yang harus dinikmati oleh semua. Kita harus sedar dan menghargai aspek keamanan ini dengan sebaik mungkin. Peribahasa “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” kerana keamanan ini memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua pihak.

Sunday, October 3, 2010

Karangan SPM 2010: Cara-cara Memupuk Minat Terhadap Komsas?

KOMSAS menjadi satu aspek penting dalam pendidikan bahasa di sekolah kini. Namun, ada pihak yang melihat subjek ini sebagai sesuatu yang membosankan.

Huraikan cara-cara untuk memupuk minat pelajar terhadap komsas?


Rangka:
1) Kempen kesedaran
2) Tenaga guru dilatih
3) Penganjuran pertandingan yang kerap
4) Pihak swasta terutama akhbar
5) Ibu bapa memberi teladan

Berminat dengan karangan yang lengkap? Emel saya segera. Harganya RM2 sahaja.

Friday, October 1, 2010

Karangan SPM 2010: Cara-cara Mengatasi Kemalangan Jalan Raya

Kadar kemalangan jalan raya di negara ini terus bertambah saban tahun terutama ketika musim perayaan. Pelbagai tindakan telah dilaksanakan tetapi angka korban terus meningkat.

Pada pandangan anda apakah cara-cara yang berkesan untuk menangani masalah ini?

Rangka:
1) Jalan raya lebih luas
2) Anggota polis ditempatkan di kawasan jalan raya
3) Pemberian lesen ketat
4) Kempen kesedaran dilancarkan
5) Pemeriksaan kenderaan diwajibkan

Berminat untuk memiliki karangan lengkap? Emel saya segera. Harganya RM2.