Wednesday, October 20, 2010

Gementar ketika peperiksaan perasaan biasa

PELAJAR DAN SPM

Inilah waktunya

Semakin hari debaran untuk menghadapi peperiksaan itu semakin hampir. Semakin kuatlah degupan jantung para pelajar saya sekalian. Apa-apa yang berlaku dalam kehidupan mereka pasti dilihat dengan satu pandangan yang berbeza yakni semuanya pasti member kesan dalam persediaan SPM mereka. Inilah saat yang dinantikan oleh semua pelajar.

Perasaan tidak yakin atau berasa persediaan tidak cukup sememangnya sesuatu yang biasa. Perasaan gementar untuk menghadapi sesuatu yang sebegini besar kesannya dalam kehidupan pelajar seharusnya berlaku. Ingat lagi ketika pelajar semua mengambil peperiksaan UPSR? Atau masih ingatkah pelajar peperiksaan PMR yang baru dua tahun berlalu itu? Dan bukankah perasaan gementar yang kini dihadapi turut meresap dalam jiwa pelajar?

Manusia sememangnya gementar menghadapi sesuatu yang baru. Saya masih ingat ketika saya mula-mula mengajar dahulu. Saya berdiri di depan dua pelajar pertama saya. Kaki saya begitu kaku dan keras sehingga tidak mampu bergerak. Tangan saya melekat terus di seluar. Hanya selepas kelas tamat baru saya menyedari keadaan saya yang begitu gementar untuk berucap. Itu pun setelah salah seorang pelajar saya menegur saya, “Cikgu nak berdiri lagi ke?”. Rakanya pula hanya tersenyum panjang.

Namun, akhirnya berkat semangat dan diberi peluang untuk terus mengajar kelas demi kelas, perasaan gementar itu terus hilang tanpa saya sedari. Mungkin dek saya sudah biasa mengajar lalu berucap di depan puluhan atau ratusan pelajar sudah menjadi biasa atau “kacang” sahaja. Mengajar sudah menjadi satu kebiasaan pula buat saya. Jenaka yang dilakukan pun kadangkalanya secara spontan sahaja terutama jika kelas yang dihadiri itu penuh dengan pelajar yang kreatif mindanya.

Sebenarnya, perkara yang hendak saya sampaikan ialah perasaan takut atau gementar itu biasa sahaja dalam diri manusia ini. Sebagai manusia, pengalaman mengalami sesuatu itulah yang penting lalu berupaya menjadikan kita seorang individu yang lebih baik pada masa hadapan. Semakin banyak peperiksaan yang kita alami semakin yakin diri kita akan kemampuan diri untuk melakukan yang terbaik pula.
Jadi, usah bimbang jika pelajar semua berasa gementar kerana perasaan itulah yang membuktikan bahawa anda semua manusia yang berani menghadapi cabaran baru dalam kehidupan anda.

Teruskan belajar.

No comments:

Post a Comment