Thursday, November 25, 2010

Terima kasih atas sambutan terhadap buku saya: 88 Contoh Karangan Isu Semasa


Sejak buku ini diterbitkan pada awal November lalu, sambutan yang diberikan begitu menggalakkan sehingga saya berasa terharu. Pada masa yang sama, saya berharap agar buku ini boleh memudahkan pelajar saya menghadapi peperiksaan SPM akan datang dengan lebih baik lagi.

Terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan.

Friday, November 12, 2010

Karangan Peranan Wanita Dalam Pembangunan Negara ?


Peranan wanita dalam aspek pembangunan negara memang tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya daripada pihak masyarakat umum.

Huraikan peranan yang mampu dipikul oleh kaum wanita di negara ini.

Kaum wanita sering dilihat sebagai jantina yang lemah lalu sering dipergunakan dalam kehidupan bermasyarakat kini. Kita masih belum menyedari bahawa dalam kelembutan wanita itu tersirat satu ketabahan yang ketara untuk mampu menyumbangkan sesuatu buat pembangunan negara kita. Rencana dalam media massa telah banyak memaparkan tentang keupayaan wanita dalam aspek membangunkan negara kini ini. Oleh itu, terdapat pelbagai peranan yang berupaya dilaksanakan oleh wanita Malaysia.

Sudah pasti peranan atau tugas yang ketara ialah golongan ini boleh menjalankan usaha mendidik generasi muda dengan lebih baik. Kelembutan dan keprihatinan mereka terhadap keperluan kasih sayang anak-anak menjadikan wanita paling sesuai dalam tugas mendidik ini. Kejayaan mereka mendidik anak menjamin satu kelompok masyarakat yang lebih berjaya dalam kehidupana mereka pada masa hadapan. Jelaslah, wanita di negara ini berperanan untuk mendidik generasi muda agar menjadi satu generasi yang memiliki semua cirri-ciri yang diperlukan dalam kehidupan yang mencabar ini.

Selain itu, wanita juga berperanan untuk menyumbangkan tenaga dalam sektor ekonomi Malaysia. Wanita memiliki kemahiran yang tertentu yang berguna untuk menjadikan diri mereka sebagai satu sumber manusia yang lengkap. Sikap rajin bekerja dan tekun serta memberikan perhatian yang sepenuhnya ketika bekerja menjadikan golongan ini sasaran utama industri kilang di Malaysia pula. Jadi, kaum wanita memang mempunyai peranan besar dalam memastikan sumber manusia negara ini berupaya memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara kita.

Pada masa yang sama wanita juga berperanan untuk menimba ilmu pengetahuan yang sebanyak mungkin. Usaha memperoleh ilmu ini menjadikan wanita terdedah terhadap pelbagai perubahan teknologi yang menjadikan diri wanita itu lebih baik dan berkeyakinan pula. Sudah ada banyak wanita yang memiliki ilmu yang tinggi ini berjaya mendirikan pelbagai perniagaan yang kemudiannya menghasilkan pelbagai produk yang berkualiti untuk pasaran dalam dan luar negara pula. Sesungguhnya, mencari ilmu itu menjadi tugas utama wanita kerana dunia yang penuh persaingan ini memerlukan wanita yang berilmu tinggi pula.

Malahan, wanita juga boleh mencurahkan tenaga mereka dalam aspek keselamatan negara yang begitu penting itu. Sudah ramai wanita yang menyertai perkhidmatan tentera dan polis dnegan mempamerkan keupayaan yang serupa dengan kaum lelaki. Kewujudan kaum wanita dalam perkhidmatan keselamatan ini juga memberikan peluang kepada kaum lelaki untuk memastikan semua tugas dapat diselesaikan dengan baik kerana ada tugas-tugas yang memerlukan tangan wanita sahaja. Justeru, wanita juga berupaya menyumbangkan tenaga mereka dalam bidang keselamatan negara yang amat penting itu.

Kesimpulannya, peranan atau tugas wanita terhadap negara ini begitu luas dan amat diperlukan. Kita semua hendaklah memandang tinggi dan member peluang kepada wanita untuk membuktikan kemampuan mereka ini. Sikap memandang enteng keupayaan wanita bukanlah satu tindakan yang tepat dalam kehidupan dunia penuh cabaran ini. Slogan “pemuda harapan negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya sumbangan wanita terhadap kemajuan negara itu.

Wednesday, November 10, 2010

Skop Pekerja Asing Untuk SPM 2010


SKOP ISU TENAGA KERJA ASING/PENDATANG HARAM

FAKTOR-FAKTOR KEDATANGAN
• Masalah ekonomi yang meleset di negara asal dan pertumbuhan ekonomi negara yang pesat
• Kadar gaji dan faedah sampingan yang lebih baik berbanding negara sendiri mereka
• Sikap majikan yang cenderung mengambil pekerja asing kerana kosnya murah
• Peluang pekerjaan di negara asal agak terhad
USAHA-USAHA PENGAWALAN
• Mengetatkan kawalan di pusat-pusat/pintu masuk negara
• Mengenakan bayaran levi/cukai
• Mengehadkan pembabitan warga asing dalam sektor pekerjaan tertentu sahaja
• memberikan mereka pengetahuan tentang budaya dan bahasa tempatan untuk memudahkan mereka berinteraksi dengan masyarakat setempat
KEBAIKAN
• Memenuhi keperluan tenaga buruh negara terutama dalam sektor yang tidak diminati penduduk tempatan
• Meninggikan imej negara kerana kemasukan pekerja asing buktik kepesatan ekonomi negara
• Wujud persaingan yang sihat
KEBURUKAN
• Kadar jenayah semakin meningkat
• Wujudnya masalah sosial yang berkaitan dengan perkahwinan campur seperti kadar cerai yang tinggi dan isu penjagaan anak
• Mengurangkan peluang mendapatkan pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan
• Wang negara dibawa keluar dengan banyak dan digunakan untuk mengembangkan ekonomi negara lain pula

Skop SPM 2010? Warga Tua


SKOP ISU WARGA TUA

Umum
• masyarakat kita semakin memiliki tahap kesihatan yang baik
• jumlah warga emas atau tua semakin bertambah setiap tahun
• kerajaan harus mencari jalan untuk menjaga kehidupan golongan ini pada masa hadapan

SIKAP MASYARAKAT TERHADAP WARGA TUA
• Masih ada yang tidak peka dengan nasib mereka dengan mencemuh dan tidak menghormati warga tua
• Malah ada anak yang sanggup menghantar ibu bapanya ke Rumah Orang-orang Tua
• Warga tua harus dihormati kerana wujudnya mereka maka generasi muda turut wujud

USAHA-USAHA MEMBANTU WARGA TUA
• Memberi kemudahan seperti diskaun tambang, pencen dan rawatan kesihatan kepada mereka
• Mengadakan pelbagai aktiviti yang sesuai dengan umur mereka
• Mengadakan satu hari sebagai tanda penghormatan jasa mereka sebelum ini
• Mendirikan lebih banyak rumah kebajikan untuk warga tua yang tidak mempunyai saudara mara

KEBAIKAN MEMBANTU WARGA TUA
• Usaha membalas jasa dan pengorbanan mereka terhadap golongan muda
• Menunjukkan jasa mereka amat dihargai
• Memastikan kehidupan warga tua terpelihara dan tidak melarat

Skop Kesihatan Penting Untuk SPM 2010


SKOP KESIHATAN

KEPENTINGAN
• Memastikan rakyat sihat dan tidak mempunyai penyakit kronik
• serangan demam terutama virus SARS suatu masa dahulu telah menyebabkan aspek kesihatan menjadi kriteria utama dalam kehidupan masyarakat

CARA-CARA MENJAGA KESIHATAN
• Mengambil makanan yang betul
• Menjalani pemeriksaan doktor yang kerap
• Menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan alam sekeliling seperti kerap membasuh tangan
• Melakukan aktiviti luar

Saturday, November 6, 2010

Karangan SPM 2010...Pemanasan Global?


Isu pemanasan global sudah menjadi perkara lumrah kini. Pelbagai persidangan sudah diatur untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah kerjasama yang mampu dilakukan oleh pihak masyarakat antarabangsa dalam isu ini?


Isu pemanasan global dikatakan telah mencairkan ais di kawasan kutub bumi sehingga mempengaruhi perubahan iklim pula. Kejadian hujan lebat bersama-sama angin taufan yang melanda Filipina sedikit masa lalu telah membuktikan betapa isu pemanasan global ini telah mengubah sistem iklim dunia. Masyarakat sudah mula sedar akan impak negatif yang bakal dibawa oleh perubahan cuaca yang agak drastik ini kepada kehidupan harian mereka kelak. Oleh itu, pelbagai tindakan bersama boleh dilakukan oleh masyarakat dunia untuk sama-sama mengurangkan impak pemanasan global ini.

Tindakan kerjasama awal yang boleh dilakukan oleh masyarakat antarabangsa ialah kajian-kajian saintifik boleh diusahakan untuk memperoleh data yang tepat tentang pemanasan global ini. Kewujudan data yang tepat seperti kadar pencairan ais di kutub dan sebagainya ini membolehkan masyarakat dunia membuat tindakan susulan untuk mengatasi perubahan iklim yang dikatakan berlaku itu. Perkongsian data kajian ini juga boleh memberikan gambaran sebenar tentang impak yang bakal dialami oleh dunia dengan lebih jelas. Maka, kerjasama melaksanakan kajian-kajian saintifik merupakan tindakan awal yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat antarabangsa.

Selain itu, masyarakat antarabangsa boleh melaksanakan kempen kesedaran tentang isu pemanasan global ini untuk memberikan pemahaman sebenar kepada masyarakat dunia. Kempen kesedaran ini pasti lebih efektif kerana dilakukan di seluruh dunia lalu membawa perubahan yang serupa kepada penduduk dunia dengan lebih pantas. Perubahan yang berlaku itulah mampu dijelmakan dalam tindakan bersepandu masyarakat dunia untuk sama-sama mengatasi fenomena yang mula mengancam perubahan cuaca dunia ini. Sesungguhnya, kempen kesedaran yang bersepandu di seluruh dunia akan membawa perubahan yang lebih nyata terhadap semua tindakan yang dilaksanakan secara bersama-sama itu kelak.

Malah, masyarakat dunia terutama negara-negara maju perlulah menandatangani Perjanjian Kyoto yang berkaitan dengan pengawalan kesan rumah hijau. Semua negara sedar bahawa salah satu punca pemanasan global ialah kadar perlepasan pelbagai gas akibat kemajuan manusia seperti kereta, bas, kilang dan sebagainya tetapi masih banyak negara maju yang enggan mengawal kadar perlepasan gas sebegini sebab bimbang kadar pertumbuha ekonomi mereka akan terjejas pula jika bertindak sedemikian. Semua negara perlu sedar bahawa jika perlepasan gas ini tidak dikawal dunia akan musnah termasuklah negara mereka sendiri. Jelaslah, semua negara perlu menandatangani perjanjian yang mengawal perlepasan gas yang mampu memusnahkan dunia itu dengan segera supaya proses pemanasan global tidak menjadi begitu pantas lagi.

Masyarakat dunia juga boleh mewujudkan satu dana khas untuk membiayai semua projek sains yang membuat penyelidikan untuk mencari jalan mengatasi masalah pemanasan global ini. Dana ini hendaklah disumbangkan oleh semua negara tanpa banyak alasan lagi kerana semakin cepat wang ini dikumpulkan semakin cepat pula projek penyelidikan dijalankan untuk mencari jalan penyelesaiannya. Semua projek penyelidikan itu hendaklah meliputi semua kemungkinan yang dijangka akan berlaku dan disertai oleh ahli-ahli saintis seluruh dunia untuk mendapatkan keputusan yang tepat. Sesungguhnya, usaha mengumpul dana sebegini mampu memupuk semangat kerjasama yang tinggi selain mampu mewujudkan pelbagai projek penyelidikan yang berkualiti dalam tempoh yang singkat.

Konklusinya, semua tindakan itu harus dilaksanakan oleh masyarakat dunia tanpa perlu berlengah masa lagi. Kita tidak harus menimbulkan pelbagai alasan atau sebab yang mampu melambatkan proses mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang bakal menentukan keseinambungan peradaban manusia ini. Kegagalan kita untuk bertindak dengan rasional boleh menyaksikan pupusnya peradaban manusia dalam masa terdekat nanti. Kita perlu sedar bahawa dunia ini bukannya hak kita tetapi warisan yang harus dinikmati oleh generasi akan datang.

Monday, November 1, 2010

Pelajar Suka Menulis Layari www.ekarangan.com segera


Hi pelajar

Saya mendapati bahawa halaman web ini menawarkan peluang buat pelajar mencari wang saku sekolah mereka kerana halaman ini menerima karangan pelajar. Setiap karangan yang diterima akan diteliti oleh guru-guru yang berpengalaman.

Jika karangan anda terpilih sebagai karangan terbaik maka bayaran RM10 akan diberikan kepada pelajar. Pada masa yang sama, pelajar boleh mengasah bakat untuk menulis terutama ketika musim cuti sekolah ini.

Cuma karangan yang dihantar itu akan menjadi hak milik halaman tersebut pula.

Cikgu azman