Friday, November 12, 2010

Karangan Peranan Wanita Dalam Pembangunan Negara ?


Peranan wanita dalam aspek pembangunan negara memang tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya daripada pihak masyarakat umum.

Huraikan peranan yang mampu dipikul oleh kaum wanita di negara ini.

Kaum wanita sering dilihat sebagai jantina yang lemah lalu sering dipergunakan dalam kehidupan bermasyarakat kini. Kita masih belum menyedari bahawa dalam kelembutan wanita itu tersirat satu ketabahan yang ketara untuk mampu menyumbangkan sesuatu buat pembangunan negara kita. Rencana dalam media massa telah banyak memaparkan tentang keupayaan wanita dalam aspek membangunkan negara kini ini. Oleh itu, terdapat pelbagai peranan yang berupaya dilaksanakan oleh wanita Malaysia.

Sudah pasti peranan atau tugas yang ketara ialah golongan ini boleh menjalankan usaha mendidik generasi muda dengan lebih baik. Kelembutan dan keprihatinan mereka terhadap keperluan kasih sayang anak-anak menjadikan wanita paling sesuai dalam tugas mendidik ini. Kejayaan mereka mendidik anak menjamin satu kelompok masyarakat yang lebih berjaya dalam kehidupana mereka pada masa hadapan. Jelaslah, wanita di negara ini berperanan untuk mendidik generasi muda agar menjadi satu generasi yang memiliki semua cirri-ciri yang diperlukan dalam kehidupan yang mencabar ini.

Selain itu, wanita juga berperanan untuk menyumbangkan tenaga dalam sektor ekonomi Malaysia. Wanita memiliki kemahiran yang tertentu yang berguna untuk menjadikan diri mereka sebagai satu sumber manusia yang lengkap. Sikap rajin bekerja dan tekun serta memberikan perhatian yang sepenuhnya ketika bekerja menjadikan golongan ini sasaran utama industri kilang di Malaysia pula. Jadi, kaum wanita memang mempunyai peranan besar dalam memastikan sumber manusia negara ini berupaya memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara kita.

Pada masa yang sama wanita juga berperanan untuk menimba ilmu pengetahuan yang sebanyak mungkin. Usaha memperoleh ilmu ini menjadikan wanita terdedah terhadap pelbagai perubahan teknologi yang menjadikan diri wanita itu lebih baik dan berkeyakinan pula. Sudah ada banyak wanita yang memiliki ilmu yang tinggi ini berjaya mendirikan pelbagai perniagaan yang kemudiannya menghasilkan pelbagai produk yang berkualiti untuk pasaran dalam dan luar negara pula. Sesungguhnya, mencari ilmu itu menjadi tugas utama wanita kerana dunia yang penuh persaingan ini memerlukan wanita yang berilmu tinggi pula.

Malahan, wanita juga boleh mencurahkan tenaga mereka dalam aspek keselamatan negara yang begitu penting itu. Sudah ramai wanita yang menyertai perkhidmatan tentera dan polis dnegan mempamerkan keupayaan yang serupa dengan kaum lelaki. Kewujudan kaum wanita dalam perkhidmatan keselamatan ini juga memberikan peluang kepada kaum lelaki untuk memastikan semua tugas dapat diselesaikan dengan baik kerana ada tugas-tugas yang memerlukan tangan wanita sahaja. Justeru, wanita juga berupaya menyumbangkan tenaga mereka dalam bidang keselamatan negara yang amat penting itu.

Kesimpulannya, peranan atau tugas wanita terhadap negara ini begitu luas dan amat diperlukan. Kita semua hendaklah memandang tinggi dan member peluang kepada wanita untuk membuktikan kemampuan mereka ini. Sikap memandang enteng keupayaan wanita bukanlah satu tindakan yang tepat dalam kehidupan dunia penuh cabaran ini. Slogan “pemuda harapan negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya sumbangan wanita terhadap kemajuan negara itu.

4 comments:

  1. Adakah esei laras sains dan sastera dijual,bolehkah cikgu jual kepada saya..?

    ReplyDelete