Sunday, February 20, 2011

Karangan SPM 4 - Faedah-faedah Bekerja Sendiri Dalam Era Globalisasi Ini

Karangan 4

Dunia mula mengalami kemeletan ekonomi dunia yang ketara. Pelbagai pihak mula mengadu kehilangan pekerjaan. Kerajaan telah mencadangkan supaya lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan supaya mereka yang kehilangan kerja ini boleh membuatkan perniagaan mereka sendiri pula.

Jelaskan kebaikan-kebaikan bekerja sendiri.


Kata orang setiap masalah yang berlaku pasti memberikan jalan yang membawa munculnya pelbagai kebaikan pula. Samalah dengan kemelut masyarakat yang kini banyak dibuang kerja gara-gara dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang ketara itu. Janji kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang supaya mereka yang menganggur ini bekerja sendiri harus diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat di negara ini kerana inilah jalan penyelesaian yang baik ketika ini. Jadi, memang ada banyak impak positif yang timbul jika seseorang itu bekerja sendiri atau menjalankan perniagannya.

Kebaikan ketara yang timbul menerusi amalan bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan ialah cara bekerja seseorang itu akan berubah menjadi positif. Kenapakah perubahan sikap ini berlaku dengan senang dan pantas? Mudah sahaja kalau dahulu mereka bekerja dengan orang kini mereka bekerja sendiri lalu setiap tindakan yang mereka lakukan pasti memberikan impak kepada perniagaan mereka itu. Sesungguhnya, seseorang yang bekerja sendiri sedar kejayaan perniagaan mereka banyak bergantung kepada sikap mereka sendiri kerana merekalah pemiliki perniagaan tersebut.

Sebab utama seseorang itu suka menyertai perniagaan ialah bidang ini membawa keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang singkat pula. Semua pihak sedar jumlah wang yang dihasilkan menerusi perniagaan lebih besar jumlahnya berbanding jika seseorang itu bekerja sendiri kerana keuntungan yang diperoleh diambil secara terus dan banyak. Faktor memperoleh lebih banyak wang dalam tempoh masa yang lebih singkat menjadi daya penarik utama seseorang itu menyertai bidang perniagaan itu. Maka, individu yang memasuki alam perniagaan sedar bahawa diri mereka mampu untuk memperoleh wang yang banyak dengan begitu mudah.

Malah, kerja sendiri juga diminati kerana masa kerja yang tidak tetap sifatnya. Seseorang ahli perniagaan itu boleh menentukan sendiri masa kerjanya kerana perniagaan itu miliknya berdasarkan kepentingan atau keutamaan dalam hidupnya. Situasi sebegini sudah pasti begitu menarik terutama buat mereka yang mempunyai keluarga kerana masa yang lebih berkualiti mampu dihabiskan bersama-sama ahli keluarga selain menjalankan aktiviti perniagaan yang memberikan sumber pendapatan pula kepada keluarga itu. Sesungguhnya, bekerja sendiri memberikan peluang kepada seseorang untuk merancang masa kerjanya dengan lebih teratur dan memberi manfaat yang sebenarnya kepada semua pihak terutama ahli keluarganya.

Tambahan pula, bekerja sendiri menjadikan seseorang itu lebih berinformasi tentang sesuatu produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan. Semua produk atau perkhidmatan yang mereka berikan sudah pasti akan mereka fahami luar dan dalamnya supaya pelanggan yang ingin membeli berasa yakin akan kemampuan mereka sebagai ahli perniagaan. Semua maklumat ini diperoleh oleh seseorang itu menerusi internet, interaksi dengan pelanggan, pembacaannya dan sebagainya yang pada masa yang sama menjadikan seseorang ahli perniagaan itu lebih tahu akan sesuatu perkara tersebut. Jadi, bekerja sendiri menjadikan diri seseorang itu lebih berinformasi dan tahu akan produk atau perkhidmatan yang dijualnya.

Kesimpulannya, kerja sendiri atau menjalankan perniagaan membawa banyak kebaikan kepada seseorang itu terutama ketika kegawatan ekonomi melanda negara ini. Semua pihak terutama pihak bank hendaklah bersedia menghulurkan pelbagai bentuk pinjaman untuk memudahkan golongan ini menjalankan urusan perniagaan mereka. Penglibatan lebih banyak individu dalam perniagaan mampu menjadikan pertumbuhan ekonomi negara ini lebih gah di persada dunia. Mungkin kita semua perlu memikirkan jenis perniagaan yang sesuai untuk dijalankan mulai saat ini.

Tuesday, February 8, 2011

Karangan SPM 3 - Punca-punca Bencana Alam Berlaku


Karangan 3

Bencana alam terutama banjir begitu kerap berlaku di negara ini terutama ketika musim hujan. Bukan sahaja harta benda musnah malah nyawa manusia turut melayang.

Jelaskan punca-punca yang membawa kepelbagaian bencana alam ini.


Sudah pasti kejadian bencana alam ini sesuatu takdir yang sudah ditentukan oleh Tuhan. Namun dalam pada masa yang sama kita sebagai manusia harus memikirkan pelbagai perkara yang membawa bencana ini menjadi semakin meruncing kerana sama ada kita mahu mengaku atau tidak bencana alam ini akan terus berlaku. Pemahaman terhadap punca-punca yang menjurus berlakunya bencana ala mini berupaya menimbulkan tindakan yang mampu menghalang atau mungkin mengawalnya lalu mengurangkan kadar kemusnahan harta benda dan korban manusia pula. Jadi, wujud pelbagai faktor yang membawa berlakunya bencana alam ini.

Punca yang ketara ialah bencana alam merupakan satu mala petaka yang sudah menjadi lumrah dalam sejarah peradaban manusia. Kita sudah sedia maklum dunia ini pasti akan mengalami gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan juga banjir serta tiupan angin kencang pada bila-bila masa sahaja. Kajian sains telah membuktikan bahawa bumi ini memang senantiasa dalam proses perubahan meliputi kejadian bencana alam itu. Maka, bencana alam berlaku kerana perkara itu merupakan sesuatu fenomena biasa yang menimpa dunia ini sejak berkurun-kurun lalu.

Namun, bencana alam juga boleh dicetuskan akibat kemusnahan alam yang disebabkan oleh aktiviti harian terutama ekonomi manusia sejak berdekad-dekad lamanya itu. Lihat sahaja kemusnahan hutan, udara, laut dan sebagainya yang berlaku dengan begitu pantas terutama dalam era kemodenan manusia ini berbanding dengan zaman purbakala pula. Kemusnahan yang sebegitu sudah pasti akan membawa musibah yang tertentu kerana bumi ini walaupun luas pasti mengambil masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik sebegitu. Jadi, bencana alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehingga dunia itu sendiri tidak mampu untuk mengawalnya.

Malah, bencana alam juga berlaku akibat kegagalan manusia membuat perancangan. Kita semua sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal musim hujan, kejadian ribut taufan dan juga memahami kejadian tsunami itu tetapi mengapakah angka kematian terus meningkat? Jawapannya mudah sahaja kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana atau tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah keupayaan bencana ala mini atau menganggap nilai nyawa manusia itu tidak bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja.

Malah, kejadian bencana alam kini mula dikaitkan dengan pemanasan global yang dikatakan menjadi sesuatu perkara lazim dalam peredaran usia bumi ini. Kajian saintis telah membuktikan bahawa bumi ini pasti akan mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam tempoh masa tertentu. Semua bukti kajian lalu mengesahkan bahawa bencana alam merupakan sesuatu perkara yang akan, sedang dan terus berlaku di dunia ini. Oleh itu, bencana alam turut berlaku akibat perubahan iklim dunia yang dikaitkan dengan fenomena pemasan global.

Kesimpulannya, bencana alam berlaku berdasarkan pelbagai punca seperti yang dihuraikan tadi. Semua faktor ini saling berkait lalu menjadikan bencana alam itu begitu kritikal terutama apabila mengorbankan ribuaan nyawa dengan sekelip mata. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk memulihkan semula alam sekitar kerana itulah jawapan kepada penyelesaian bencana alam ini. Peribahasa hendak buat seribu daya tak hendak seribu dalih menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini.