Friday, March 25, 2011

Karangan SPM 2011: Gejala Antisosial dalam kalangan pelajar?

Kebelakangan ini pelbagai gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah telah dilaporkan dan kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi mengatasi masalah ini. Bincangkan.

Gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah merujuk kelakuan tidak sopan, tidak baik, bertentangan dengan budaya tempatan dan menjatuhkan imej pelajar. Antara kelakuan negatif itu melibatkan ponteng sekolah, bergaduh dan menyertai kumpulan samseng. Media massa telah menggunakan gejala ini sebagai salah satu bahan berita utama mereka sehingga pelbagai pihak terutama masyarakat umum memberikan pandangan mereka tentang perkara ini. Jadi, mengapakah apakah gejala ini sebenarnya dan apakah cara-cara untuk mengatasinya?

Gejala ponteng sekolah bukan sahaja menular di kawasan bandar tetapi meliputi juga pelajar luar bandar. Mereka sanggup menghabiskan masa dan wang dengan melepak di sesuatu tempat tanpa memberitahu keluarga mereka. Biasanya, pelajar sebegini akan berpura-pura pergi ke sekolah tetapi melencong kemudiannya. Pakaian sekolah akan ditukar dengan pakaian biasa ketika mereka melakukan gejala yang memalukan ini. Tindakan bijak mereka ini mampu mengaburi mata ibu bapa untuk mengesan kelakuan tidak baik mereka itu.

Selain itu, vandalisme yakni sikap suka memusnahkan sesuatu juga menjadi satu masalah yang besar dalam kehidupan pelajar kini. Pelajar suka merosakkan kemudahan-kemudahan awam sekolah seperti meja tulis, papan kenyataan dan juga kemudahan tandas. Tindakan ini telah menyusahkan pihak sekolah kerana kos untuk menggantikan semua kemudahan ini agak mahal juga. Pada masa yang sama, kemusnahan kemudahan awam ini turut menyusahkan pelajar lain untuk menggunakannya pula.

Dalam usaha menangani masalah ini, pihak ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dengan mendisiplinkan anak mereka. Sikap memahami dan mengesan sebarang perubahan tingkah laku dalam jiwa anak mereka amat penting supaya ibu bapa boleh memberi nasihat serta teguran yang membina. Hubungan yang erat antara ibu bapa dengan pihak sekolah juga penting supaya semua masalah anak mereka di sekolah dapat dipantau dengan lebih efektif lagi.

Manakala, pihak masyarakat pula boleh menghulurkan bantuan dengan membuat laporan sebarang aktiviti yang mencurigakan daripada pelajar sekolah ini. Masyarakat boleh memerhatikan pelajar yang bermasalah ini dengan membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Keprihatinan masyarakat ini turut memberi amaran kepada pelajar agar lebih berhati-hati jika mahu melakukan sesuatu tindakan buruk kerana tingkah laku mereka sedang diperhatikan oleh pihak masyarakat juga.

Kesimpulannya, gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah memang semakin serius dan perlu ditangani segera. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa diperlukan agar masalah ini dapat dihapuskan dengan sebaik mungkin. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama ini pasti menyaksikan pelajare kita terus mengalami masalah sosial yang memalukan pula.


Kemalangan maut di jalan raya yang melibatkan pelbagai kenderaan kebelakangan ini disebabkan oleh beberapa faktor di samping sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Ulas pernyataan di atas.

Monday, March 21, 2011

Keputusan SPM....

Kepada pelajar semua,

Keputusan SPM bakal keluar beberapa detik sahaja lagi.

Pasti ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang kurang memuaskan keputusannya.

Buat yang berjaya tahniah saya ucapkan dan buat yang kurang, usah bersedih kerana inlay masanya untuk anda merenung sejenak untuk membuat keputusan yang bijak tentang diri anda semua.

Apa-apa pun yang berlaku, saya sebagai guru berasa bangga kerana pernah mengajar anda semua yang telah mempamerkan satu semangat untuk belajar yang tinggi.

Moga berjaya semuanya.

Sunday, March 6, 2011

Tuesday, March 1, 2011

Karangan 5...Punca-punca Bangunan Lama Terbiar atau dimusnahkan?

Karangan 5

Pemuliharaan bangunan bersejarah atau lama di negara ini mula mendapat perhatian masyarakat setempat. Tindakan ini mungkin timbul akibat kesedaran untuk memastikan warisan sejarah negara terus hidup.

Nyatakan punca-punca yang menyebabkan bangunan lama atau bersejarah ini dimusnahkan begitu sahaja.


Bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Bangunan Merah di Melaka sering menjadi destinasi kunjungan pelancong asing dan tempatan. Situasi ini membuktikan bahawa bangunan lama itu memang berpotensi untuk menjana sumber kewangan kepada negara ini jika diuruskan dengan berkesan. Masyarakat juga sudah mula matang dan menerima kepentingan kewujudan bangunan bersejarah sebegini. Namun, masih ada pihak yang suka memusnahkan warisan sejarah dengan pelbagai alasan yang menarik untuk difahami semua.

Salah satu punca yang mendorong bangunan bersejarah ini dimusnahkan ialah lokasi bangunan ini boleh dimajukan untuk sesuatu projek yang lebih menjana keuntungan seperti mendirikan projek perumahan atau membina pusat membeli-belah yang luas. Biasanya kawasan bangunan bersejarah ini menjadi kawasan perniagaan utama kerana peredaran masa menjadikannya begitu strategik untuk projek pembangunan pula. Pembinaan projek pembinaan moden mampu menjamin lebih banyak pulangan keuntungan dalam jangka masa pendek kepada mana-mana pemaju projek tersebut. Jadi, faktor kawasan yang strategik menjadikan bangunan bersejarah sasaran utama pemaju untuk membina projek mereka lalu mengaut keuntungan dengan mudah.

Selain itu, faktor kekurangan sumber kewangan dan tenaga pakar untuk menyelenggarakan bangunan bersejarah juga menjadikan bangunan ini lebih sesuai dimusnahkan begitu sahaja. Kita semua sedia maklum pembinaan bangunan sebegini menggunakan bahan dan seni bina lama yang pastinya memerlukan penyelenggaran yang teliti dan professional sifatnya. Negara kita masih kekurangan pakar yang mampu memulihara semua bangunan lama ini ini selain kekurangan sumber kewangan daripada penderma-penderma hartawan untuk membiayai projek penyelenggaran sebegini mahal. Oleh itu, bangunan lama ini lebih sesuai dimusnahkan kerana kos menjaganya lebih tinggi daripada membina bangunan baru.

Bukan sahaja sumber kewangan yang tinggi dan lokasi yang strategik tetapi kesedaran masyarakat terhadap pentingnya bangunan bersejarah juga masih belum menebal dalam jiwa masyarakat kita. Kalau kita hendak bandingkan dengan masyarakat luar negara, tahap kesedaran menjaga bangunan lama di negara ini masih agak rendah lantaran negara kita baru sahaja mengecap alam kemerdekaan berbanding negara seperti Perancis dan Amerika Syarikat itu. Perasaan sebegini menyebabkan tahap penentangan terhadap kemusnahan bangunan lama begitu rendah sehingga ada bangunan lama dirobohkan tanpa masyarakat umum mengetahuinya. Jelaslah, kesedaran untuk menjaga bangunan lama masih lagi belum begitu tebal untuk menghalang bangunan ini terus menerus hilang dalam lipatan sejarah negara kita.

Malah, kekurangan akta perundangan yang ketat dan menyeluruh turut menjadikan kemusnahan bangunan lama di negara ini sesuatu yang lumrah sahaja. Pihak pemaju sudah mengetahui semua kelemahan dalam sistem perundangan yang berkaitan dengan bangunan lama lalu mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk memberi sedikit kelebihan kepada mereka pula. Tindakan mereka ini menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk menahan mereka walaupun menyedari bahawa bangunan lama itu penting dan harus dikekalkan kewujudannya lantaran kelemahan sistem perundangan tersebut. Maka, kelemahan dalam sistem perundangan telah menjadikan masalah ini semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini.

Konklusinya, semua punca yang dinyatakan itu telah menjadikan negara ini kehilangan bangunan bersejarah saban tahun. Kerjasama semua terutama pihak berkuasa untuk menghalang tindakan negatit ini amat penting. Kita tidak mahu generasi masa depan hanya mengenali sesuatu bangunan lama itu berdasarkan sekeping gambar sahaja tanpa melihat bukti yang sahih. Sejarah memaparkan budaya masyarakat lalu tanpa bangunan sebegini wujud tiadalah budaya sesuatu bangsa tersebut.