Tuesday, May 24, 2011

Karangan SPM 2011...Langkah-langkah Mengatasi Kanser Serviks


Karangan SPM

Kanser serviks semakin berleluasa dalam kalangan wanita di Malaysia.

Jelaskan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini.


Kanser serviks merujuk kanser rahim yang selalu menyerang kaum wanita di Malaysia. Antara contoh kanser yang sering berlaku ialah kanser payu dara, kulit, usus, dan tekak yang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan pula. Berita mengenai kemelut kanser ini turut mendapat tempat dalam media massa kita saban hari. Jadi, kerajaan boleh mengadakan pelbagai tindakan yang berupaya untuk mengatasi kanser rahim ini.

Tindakan yang konkrit dilakukan oleh kerajaan melibatkan penyiaran kempen kesedaran tentang kanser ini. Pelbagai informasi mengenai kanser ini meliputi cara mencegah dan jenis rawatan yang boleh dijalankan boleh diselitkan dalam kempen yang dilancarkan ini. Semua maklumat ini kemudiannya akan digunakan oleh pesakit kanser itu untuk mengekang kanser itu daripada terus merebak pula. Maka, kempen yang efektif boleh menjadikan masalah kanser ini dapat ditangani pula.

Selain itu, kerajaan boleh menyediakan rawaan secara percuma atau murah kepada pesakit kanser. Pemberian rawatan sebegini menjadikan lebih banyak wanita di negara ini berani tampil untuk menjalani pemeriksaan kerana sedar jika mereka mendapat rawatan yang sewajarnya jika diri mereka mengalami kanser itu. Kesudian untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan ini memastikan risiko kematian akibat kanser juga akan menurun secara mendadak. Jelaslah, rawatan yang murah atau percuma boleh menjadikan kanser rahim ini satu lipatan sejarah di Malaysia sedikit masa lagi.

Pada masa yang sama, pembinaan sebuah pusat kajian kanser turut berperanan dalam usaha membasmi kanser rahim itu. Pusat kajian kanser ini berupaya untuk menjalankan pelbagai kajian yang berusaha untuk memperoleh vaksin atau penawar kanser terutama kanser rahim. Kejayaan menemukan vaksin kanser ini pasti memberikan satu lonjakan besar buat negara dalam usaha memerangi kanser rahim yang semakin serius ini. Sesungguhnya, kanser rahim tidak akan wujud di Malaysia sebaik sahaja vaksinnya berjaya dihasilkan oleh pusat kajian kanser negara itu.

Malahan, kerajaan boleh menangani kanser rahim dengan mengawal kadar pencemaran alam di Malaysia. Kajian sains telah membuktikan bahawa alam sekitar yang tercemar akibat pembuangan sisa-sisa toksik boleh menyebabkan kanser berlaku dengan meluas. Sel-sel badan manusia akan berubah menjadi sel kanser apabila sel itu berinteraksi dengan sisa-sisa kimia yang berbahaya itu. Oleh itu, kejayaan mengawal kadar pencemaran alam turut bermakna kadar kanser terutama kanser rahim akan berkurangan pula.

Malahan, kerajaan boleh membina lebih banyak hospital kerajaan terutama yang berurusan dengan penyakit kanser ini. Kewujudan hospital ini menjamin lebih banyak tempat tersedia untuk pesakit kanser lalu menerima rawatan yang sewajarnya daripada pihak doktor. Pesakit akan berasa lebih lega kerana sedar diri mereka akan ditempatkan di hospital yang berkualiti bersama-sama tenaga doktor terlatih dan peralatan moden yang serba canggih. Sesungguhnya, lebih banyak hospital dibina lebih mudahlah untuk negara ini memantau penularan penyakit kanser rahim itu.

Kesimpulannya, semua tindakan tadi memang boleh dilaksanakan oleh kerajaan kita dengan mudah. Semua pihak terutama masyarakat perlulah memberikan kerjasama yang sewajarnya agar kanser rahim ini berjaya dikawal penularannya. Kegagalan untuk mengatasi kanser ini boleh menyebabkan jumlah mangsa korban akibat kanser di Malaysia akan bertambah saban tahun pula. Slogan "mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya" membuktikan kita semua hendaklah bersikap positif dengan berusaha memastikan kesihatan peribadi sebelum sebarang penyakit berlaku kerana risiko untuk sembuh amat tipis.

Thursday, May 12, 2011

Bengkel SPM 2011 (2)


Pelajar Semua

Saya akan mengadakan satu bengkel SPM 2011 pada Jun ini (rujuk poster). Ada dua kelas atau bengkel dengan setiap satunya berjalan selama dua jam setengah.

Kelas pertama saya menekankan aspek menjawab soalan tatabahasa. Manakala kelas kedua saya menekankan aspek penulisan.

Berminat telefon: 03-2148 3314

Sunday, May 8, 2011

Karangan SPM 2011 - Peranan Kerajaan dan Rakyat Atasi Penyakit Berjangkit?

Penyakit berjangkit seperti H5N1 dan H1N1 yang boleh menyebabkan kematian semakin merebak di seluruh negara.
Tulis rencana tentang peranan kerajaan dan rakyat bagi mengawal penyakit ini.


Beberapa tahun yang lalu, masyarakat dunia dikejutkan dengan penyakit selesema burung yang juga dikenali sebagai H5N1. Penyakit ganjil ini dikatakan tersebar melalui sepsis burung yang amat sukar untuk dikawal. Selang beberapa tahun kemudian pula, kita sekali lagi dikejutkan dengan kes-kes kematian yang berpunca daripada selesema babi atau lebih dikenali sebagai H1N1. Jadi, pelbagai tindakan boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan rakyat untuk mengekang penyakit ini daripada terus berleluasa.

Tindakan awal ialah kerajaan perlu menyebarkan maklumat tentang penyakit berjangkit tersebut untuk makluman rakyat. Kementerian Kesihatan Malaysia perlu lebih proaktif untuk menjana maklumat melalui pelbagai saluran media massa. Pemberian maklumat sebegini memudahkan rakyat untuk memahami cara-cara penyakit ini boleh berjangkit lalu mengambil tindakan keselamatan peribadi pula. Oleh itu, pemberian maklumat oleh pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha mengawal penularan penyakit berbahaya ini.

Pada masa yang sama semua pintu masuk ke negara ini baik menerusi jalan darat, laut dan udara perlu dikawal ketat. Semua orang yang ingin memasuki negara ini perlu diimbas secara terperinci agar kuman yang mampu menyebarkan virus tersebut dapat dikawal. Tindakan ini juga berupaya untuk menghalang sebarang virus dari negara ini untuk keluar ke negara jiran pula lalu menghalang berlakunya penularan wabak penyakit. Sesungguhnya, kawalan ketat di pintu-pintu masuk negara menjadi benteng kukuh menghalang penularan penyakit ini.

Berkaitan dengan kawalan di pintu masuk negara ini, sesiapa sahaja terutama pelancong yang didapati mengalami simptom-simptom penyakit ini perlu dikuarantinkan di tempat yang selamat. Tindakan ini boleh menghalang sebarang penularan wabak penyakit itu kerana mereka hanya akan dibebaskan setelah didapati bebas daripada penyakit berbahaya tersebut. Penyakit berbahaya mudah dikawal jika sumber penularannya berjaya dikesan dan dimusnahkan terlebih dahulu. Oleh itu, tindakan membuat kuarantin ini menjadi satu tindakan yang paling radikal tetapi rasional dalam usaha menyelamatkan jutaan nyawa manusia yang lainnya.

Malahan, rakyat juga perlu menjaga kebersihan diri dengan lebih serius. Mereka perlu mengurangkan masa berada di luar rumah supaya tidak mudah terdedah kepada mereka yang sudah menerima penyakit berbahaya ini. Kita harus sedar bahawa jangkitan penyakit sebegini boleh berlaku dalam sekelip mata seperti menyedut udara yang mempunyai bersin mereka yang mengalami penyakit tersebut. Jadi, kualiti penjagaan diri yang tinggi berupaya menghalang penularan penyakit yang berbahaya ini ke dalam masyarakat kita.

Rakyat juga harus mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan. Arahan yang disiarkan menerusi media massa harus diberi perhatian oleh kita semua terutama aspek penyebaran penyakit dan cara-cara menghalangnya. Maklumat yang disiarkan melalui media massa ini juga turut memberikan kita semua satu kelebihan untuk bertindak apabila sesuatu keadaan cemas berlaku.

Ringkasnya, rakyat harus percaya dengan tindakan kerajaan dalam usaha mengawal merebaknya penyakit berbahaya di negara ini.
Kesimpulannya, penyakit berjangkit yang sedang melanda dunia ini amat berbahaya kepada masyarakat global. Semua yang sudah berlaku membuktikan bahawa tidak ada sesiapa yang terkecuali daripada kemungkinan mendapat penyakit ini. Tindakan yang berani dan tegas sahaja berupaya menghalang wabak ini daripada terus berlaku. Bak kata orang tua-tua “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih” memberitahu kita betapa pentingnya sikap berusaha mengatasi penularan penyakit ini dilaksanakan dahulu.