Monday, October 10, 2011

Peranan Guru Dalam Menghasilkan Pelajar Cemerlang......


Pelajar cemerlang menjadi idaman setiap sekolah. Lantaran itu, guru menjadi golongan penting yang boleh mendidik generasi muda ini menjadi lebih baik.

Jelaskan.

Guru bolehlah dilabelkan sebagai golongan manusia yang berperanan untuk mendidik generasi masa depan. Antara kerjaya yang sering dikaitkan dengan aspek pendidikan meliputi guru sekolah, pensyarah, dan guru tadika. Media massa ada juga membuat beberapa program yang menyentuh masalah yang dihadapi oleh guru dan cara-cara untuk mengatasi cabaran tersebut dengan panjang lebar. Namun, guru mempunyai peranan yang besar dalam melahirkan satu generasi pelajar yang cemerlang.

Tugas utama guru ialah mereka menjadi orang pertama yang menyalurkan ilmu pengetahuan kepada pelajar di sekolah. Pihak guru telah diberi latihan untuk memastikan mereka berupaya untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu yang diperlukan mengikut tahap umur dan peperiksaan yang dihadapi itu. Setiap guru hendaklah meneroka teknik pembelajaran yang bersesuaian dengan pelajar mereka untuk memastikan semuanya memahami ilmu yang diberikan itu. Sesungguhnya, peranan guru adalah untuk mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat dan pilih kasih.

Malah, golongan pendidikan ini juga berperanan untuk memberikan kasih sayang kepada pelajar mereka. Kebanyakan pelajar yang mengalami masalah disebabkan oleh diri mereka kekurangan kasih sayang terutama daripada ibu bapa mereka yang sibuk bekerja itu. Guru yang bijak ialah mereka yang boleh memberikan kasih sayang ini kepada pelajar mereka lalu golongan muda ini berasa diri mereka dihargai dan tidak terbabit dalam gejala negatif pula. Jelaslah, kasih sayang yang diluahkan oleh pihak guru ini boleh menghalang pelajar kita daripada terbabit dalam kgiatan yang tidak sihat pula.

Selain itu, pelajar sering melihat guru mereka sebagai contoh teladan yang positif. Guru yang dilihat sebagai baik, berkelakuan sopan dan berjaya dalam pelajaran akan dijadikan idola oleh seseorang pelajar itu. Pada mata pelajar, guru seperti ini berupaya untuk memberikan mereka semangat untuk berjaya dalam hidup lalu menjadi seorang insan yang berguna di dunia ini sama seperti guru mereka itu. Bayangkan jika semua pelajar kita menggunakan guru mereka sebagai sumber inspirasi untuk meneruskan kehidupan di dunia ini?

Akhirnya sekali, guru juga berperanan sebagai golongan yang memberikan nasihat berguna kepada pelajar. Sebagai lapisan masyarakat yang sudah lama mengharungi kehidupan, guru boleh memberikan maklumat tentang erti kehidupan yang penuh cabaran ini. Semua nasihat yang diberikan itu pasti berguna buat pelajar yang sedang bergelora menongkah arus kehidupan yang penuh cabaran terutama tekanan peperiksaan yang meruncing itu. Lantaran itu, tugas memberi nasihat ini menjadikan guru golongan terpenting dalam kehidupan masyarakat pelajar kita.

Kesimpulannya, semua peranan guru tadi sudah diketahui umum tetapi masih banyak yang perlu dilakukan oleh pihak pendidik kita itu. Mereka hendaklah bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memahirkan diri dengan pelbagai teknik pembelajaran terbaru supaya pelajaran mereka lebih senang difahami oleh pelajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah memberikan kerjasama yang baik kepada guru ketika mereka berada di kawasan sekolah pula. Bak kata orang tua-tua "usaha tangga kejayaan" memberikan kita satu peringatan bahawa kejayaan dalam sebarang bidang memerlukan usaha yang gigih untuk mendapatkannya.

1 comment:

  1. Salam sejahtera buat Cikgu Azman. Saya (Goh Ee Vian)dan kakak saya (Goh Ee Von)adalah antara bekas anak didikan cikgu di pusat tuisyen Ilmutek suatu masa dahulu. Harap-harap cikgu masih ingat pada saya yang sering mendapat markah tertinggi dalam kelas Sejarah dan BM. Majalah Dewan Siswa yang cikgu hadiahkan kepada saya masih saya simpan lagi. Berkat majalah tersebut, saya mendapat keputusan yang cemerlang untuk subjek BM. Ingin mengucapkan salam terima kasih kepada cikgu yang tidak pernah kedekut memberikan tunjuk ajar.

    ReplyDelete