Monday, April 25, 2011

Karangan SPM 2011....Peranan dan keistimewaan Pantun dalam Masyarakat Kita?

Masyarakat Melayu kaya dengan puisi tradisional. Pantun mempunyai keistimewaan dan peranannya yang tersendiri dalam kalangan masyarakat dahulu dan kini.

Bincangkan peranan dan keistimewaan pantun.

Puisi traditional Melayu termasuklah pantun merupakan satu bukti kehidupan masyarakatnya yang unit. Pantun yang terhasil daripada kata-kata yang puitis dalam setiap baitnya terutama unsur tersirat yang kadangkala begitu menarik untuk dikaji. Pada masa yang sama pantun juga membuktikan falsafah bangsa yang mendalam cirinya. Sesuai dengan peribahasa 'tak lapuk dek hujan tak leaking dek panas', pantun memiliki banyak keistimewaan dan peranan yang tersendiri dalam kebudayaan masyarakat di negara ini.

Peranan pantun yang ketara ialah sastera ini menjadi media komunikasi dan hiburan semula jadi buat masyarakat kita. Pantun digunakan sebagai lagu dan dinyanyikan untuk tujuan berhibur atau mengusik antara jantina dalam masyarakat kita. Tindakan ini menjadikan kehidupan masyarakat lebih ceria, seronok dan menarik untuk dilalui. Sesungguhnya, pantun menjadikan kehidupan masyarakat menjadi lebih bermakna.

Selain itu, pantun juga memberikan nasihat dan tunjuk ajar terutama kepada generasi muda kita. Golongan tua yang kaya dengan pelbagai nasihat dan pengalaman hidup serta amat peka dengan perubahan sesuatu perkara selalu menggunakan pantun sebagai kaedah memberi peringatan pula. Contohnya, Pantun Kiasan dalam Antologi Anak Laut yang jelas menolak sebarang usaha suka membazir dalam kehidupan manusia itu. Jelaslah, pantun boleh secara diam-diam memberi nasihat kepada masyarakat untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan.

Malahan, pantun juga dilihat sebagai satu cara untuk menyampaikan rasa penghargaan atau terima kasih kepada seseorang itu. Masyarakat kita memang terkenal dengan sikap masyarakat yang mengenang budi orang lain. Pantun yang menggunakan bait Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati membuktikan betapa tingginya konsep mengenang budi dalam masyarakat kita itu.Maka, pantun menjadi satu cara yang paling mudah untuk menyuarakan rasa terima kasih atas bantuan yang diterima daripada seseorang manusia itu.

Pantun juga dilihat sebagai satu teknik menyindir atau menempelak seseorang itu dengan lebih sopan. Masyarakat kita yang tidak suka menimbulkan masalah pergaduhan tetapi masih mahu memberi peringatan kepada orang lain telah menggunakan pantun sebagai jalan penyelesaiannya. Penggunaan pantun membolehkan hanya orang yang melakukan sesuatu tindakan yang salah itu memahaminya lalu berusaha untuk mengubah kesilapannya pada masa hadapan. Oleh itu, pantunlah yang membantu masyarakat kita mengkritik ahli yang lain tetapi masih mengekalkan suasana keharmonian dalam sesebuah masyarakat itu.

Akhir sekali, pantun juga berperanan untuk mempamerkan adat istiadat masyarakat kita. Sudah acap kali pantun digunakan sebagai pembuka kata sebagai tanda memento kebenaran atau menyampaikan hasrat terutama ketika majlis perkhawinan dan sebagainya. Penggunaan kaedah berpantun ini menjadikan suasana majlis lebih ceria dan menarik kepada masyarakat. Sesungguhnya, penggunaan pantun sebagai alat adat istiadat telah meninggikan lagi kedudukan pantun dalam masyarakat kita itu.

Kesimpulannya, pantun mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam masyarakat kita. Situasi ini menjadikan kedudukan pantun itu sesuatu yang bernilai dan harus dikekalkan dalam kebudayaan kita. Namun, pantun semakin lama semakin terhakis akibat perubahan zaman yang berlaku dengan pantas itu. Bak kata pepatah, 'biar mati anak, jangan mati adat' yang membuktikan bahawa pantun itu sesuatu yang berharga dalam kebudayaan kita.

Tuesday, April 5, 2011

Karangan SPM Minat Membaca Dalam Kalangan Kanak-kanak?

Minat membaca perlu dipupuk sejak usia muda agar tabiat suka membaca dapat direalisasikan oleh masyarakat negara ini.

Jelaskan cara-cara yang berkesan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Tanpa diketahui puncanya minat membaca memang satu tabiat yang sukar untuk ditanam dalam jiwa masyarakat kita terutama dalam kanak-kanak. Usaha ini hanya akan berjaya jika pemupukan itu dibuat sejak kecil lagi oleh ibu bapa tanpa banyak alasan lagi. Jadi, ada pelbagai cara yang boleh dibuat untuk menanam minat membaca ini dalam jiwa kanak-kanak kita.

Langkah awal ialah kanak-kanak ini perlu didedahkan dengan bahan bacaan berbentuk hiburan terutama yang berkaitan dengan minat mereka. Kanak-kanak begitu mudah tertarik ilustrasi kartun terutama siri kartun yang terkenal kerana inilah jiwa mereka yang sebenarnya. Bahan-bahan bacaan ini hendaklah dipenuhi dengan gambar dan lawak jenaka yang boleh menarik perhatian mereka. Kanak-kanak suka membaca bahan yang menarik, comel dan memberikan mereka pengetahuan umum.

Selain itu, ibu bapa juga boleh membantu dalam menyelesaikan masalah ini dengan membawa anak mereka ke kawasan kedai buku. Akitviti ini boleh dijalankan secara berkala seperti setiap hujung minggu atau bulan melawat kedai buku yang berhampiran rumah mereka. Di kedai buku itu, anak-anak diberi peluang untuk memilih bahan bacaan yang mereka minati pula dan menghabiskan masa berjam-jam di sana pula. Anak-anak sudah pasti akan ternanti-nanti untuk melakukan aktiviti yang serupa pada minggu hadapan pula.

Malah, sikap berkongsi pembacaan juga boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menarik minat anak mereka untuk membaca. Sebaik sahaja ibu bapa selesai membaca akhbar, majalah dan buku, mereka boleh berkongsi maklumat itu dengan anak mereka pula. Penjelasan daripada ibu bapa tentang sesuatu perkara boleh mencetuskan minat anak untuk membaca tentang perkara itu dengan lebih mendalam. Anak juga boleh dilatih dengan meminta mereka mereka membaca tajuk utama akhbar harridan, iklan, dan sebagainya pula.

Kewujudan perpustakaan mini di rumah turut membantu mencetuskan sikap suka membaca dalam jiwa kanak-kanak. Golongan muda ini mudah meniru perkara yang mereka nampak terutama apabila melihat ibu bapa sendiri mempamerkan minat membaca di rumah. Kanak-kanak akan melihat-lihat kulit buku, membelek gambar dan akhirnya akan berminat untuk mengetahui isi kandungan buku tersebut pula.

Konklusinya, minat membaca dalam kanak-kanak ini boleh dipupuk dengan mudah jika tahu kaedah yang betul. Kanak-kanak perlu diberi pendedahan jenis buku yang bersesuaian dengan tahap umur dan minat mereka. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya' yang membuktikan betapa pentingnya amalan membaca ini diterapkan sejak awal.