Sunday, December 9, 2012

Karangan SPM 2013...Kes ragut terus berleluasa kerana...


Media Massa sering melaporkan kejadian jenayah seperti kes ragut yang sering berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini. 

Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut  menjadi lebih serius.

Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.

Thursday, November 1, 2012



Kerajaan mewajibkan program 1Murid1Sukan di setiap sekolah.
Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.

Aktiviti sukan dilihat sebagai satu aktiviti riadah yang baik untuk pelajar di sekolah. Antara aktiviti yang positif ini meliputi acara larian, bola sepak, hoki, badminton, dan sebagainya. Pihak media massa turut menyiarkan banyak bahan berita yang menekankan peri pentingnya sukan dalam kehidupan pelajar yang penuh tekanan itu. Lantaran itu, pelajar yang menyertai aktiviti sukan akan memperoleh pelbagai kesan baik.

Impak positif yang pertama melibatkan masa lapang pelajar berkenaan dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah. Pelajar tidak akan bercampur dengan golongan yang tidak bermoral kerana aktiviti sukan dijalankan di kawasan sekolah dengan pengawasan pihak guru pula. Masa untuk menghabiskan sesuatu acara sukan itu juga memerlukan tempoh yang lama seperti bola sepak yang pastinya mengambil masa sejam lebih. Jadi, pelajar yang terlibat dalam acara sukan akan memenuhkan masa lapangnya dengan baik.

Selain itu, pelajar yang sering menyertai aktiviti sukan dikatakan lebih sihat berbanding dengan pelajar yang melakukan sebarang aktiviti senaman itu. Sukan memerlukan tenaga dan pelajar pasti akan berpeluh apabila melakukan acara sukan seperti hoki dan badminton itu. Peluh yang keluar ini turut menyingkirkan toksik badan selain mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar itu. Jelaslah, pelajar akan sihat kerana masa tidur mereka juga terjaga kerana sudah keletihan menjalani latihan sukan di sekolah itu.

Malah, pemupukan nilai-nilai murni turut berlaku apabila seseorang pelajar itu menyertai aktiviti sukan di sekolah. Nilai murni seperti bekerjasama, berbincang, berfikir secara kritis dan bersemangat juang pasti tertanam kerana semua nilai ini diperlukan dalam sebarang acara sukan itu. Pelajar yang sudah selalu menyertai sukan akan turut mengamalkan nilai sebegini dalam kehidupan harian mereka yang penuh dengan dugaan itu. Jadi, nilai-nilai murni dapat dipupuk jika pelajar menyertai acara sukan di sekolah. 


Malahan, pelajar yang berbakat dalam acara sukan ini juga boleh menjadi pasukan pelapis kepada atlet negara pada masa hadapan. Usia yang masih muda dan peluang untuk dilatih dalam tempoh tertentu menjadikan pelajar calon terbaik untuk meneruskan kegemilangan pasukan negara dalam acara sukan akan terus berlaku. Mereka apabila mencapai umur tertentu pula akan bertanding untuk memastikan imej sukan negara terus terpelihara. Maka, pelajar yang menyertai acara sukan boleh dilihat sebagai berpotensi untuk mewakili negara pada masa hadapan pula.

Sukan juga dilihat sebagai satu kaedah psikologi untuk memberikan keyakinan kepada diri pelajar itu. Acara sukan memerlukan pelajar berinteraksi dan melakukan sesuatu yang diluar kemampuan biasa mereka itu terutama ketika bersaing dalam pertandingan sukan. Kejayaan pelajar melakukan sesuatu yang luar biasa dalam sukan boleh memberikan mereka satu keyakinan bahawa diri mereka bagus dalam sesuatu perkara itu. Sesungguhnya, pelajar akan melihat diri mereka dengan berbeza setelah menyedari potensi diri mereka menerusi acara sukan yang disertai itu.

Kesimpulannya, semua impak positif tadi memang boleh dialami oleh pelajar kita yang menyertai acara sukan tersebut. Ibu bapa hendaklah memberikan sokongan yang padu kepada anak mereka agar melibatkan diri dalam acara sebegini. Sukan tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membazirkan masa dan tenaga sahaja kerana kejayaan pelajar tidak harus diukur berdasarkan kejayaan dalam akademik sahaja bersesuaian dengan slogan badan cergas, otak cerdas. Sudah sampai masanya kita melihat sukan sebagai satu komponen utama dalam usaha memajukan sistem pendidikan negara itu. 

Tuesday, October 30, 2012

Karangan SPM 2012....Bantuan Ketika Bencana Alam Melanda?


Bencana alam seperti gempa bumi, banjir, dan tsunami banyak melanda negara jiran kita. Sebagai sebuah negara yang mementingkan semangat muhibah serantau, Malaysia harus bersedia menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam tersebut.

Berikan cadangan anda tentang bentuk-bentuk bantuan dan sumbangan yang dapat disumbangkan oleh rakyat kita kepada mangsa-mangsa bencana alam tersebut.

Rantau Asia Tenggara merupakan kawasan yang tidak sunyi daripada kejadian bencana alam yang besar. Bencana alam seperti gempa bumi, kebakaran hutan, tsunami dan ribut taufan serta letupan gunung berapi menjadi sesuatu yang biasa pula di rantau ini terutama di Indonesia, Filipina dan Vietnam. Kekerapan kejadian ini menyebabkan banyak nyawa melayang dan tidak kurang juga kemusnahan harga benda berlaku dengan tinggi. Oleh itu, sebagai sebuah negara jiran yang bertanggungjawab, Malaysia telah banyak menghulurkan pelbagai sumbangan bantuan yang mampu untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh negara jiran itu.

Sumbangan yang paling mudah dan efektif ialah bantuan kewangan terutama dalam memenuhi keperluan asas seperti makanan dan minuman. Malaysia sudah beberapa kali menghulurkan bantuan kewangan baik dalam bentuk pinjaman mahupun wang tunai ke Indonesia dan Filipina ketika negara itu dilanda bencana alam. Bantuan ini berupaya memudahkan rakyat kedua-dua negara itu untuk meneruskan kehidupan setelah kehilangan rumah dan pekerjaan mereka akibat kejadian fenomena alam itu. Justeru, bantuan kewangan menjadi bantuan yang paling penting dihulurkan oleh Malaysia kepada negara jirannya yang mengalami bencana alam.

Selain itu, negara kita juga ada menghantar pakar-pakar yang boleh membuat penilaian dan memberikan idea untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana alam itu. Kejadian gempa bumi dan tsunami mampu memusnahkan kawasan rumah dan bangunan yang memerlukan kemahiran pakar-pakar untuk membinanya semula dengan segera. Kehadiran pakar- pakar ini juga memberikan suntikan keyakinan kepada mangsa-mangsa bencana alam itu untuk membina semula rumah mereka yang sudah tiada tersebut. Lantaran itu, penghantaran pakar-pakar ke negara yang dilanda bencana berupaya memastikan proses pembangunan semula berjalan lancar.

Pada masa yang sama bekalan perubatan juga menjadi sumbangan penting dari Malaysia ke negara jiran yang dilanda bencana alam itu. Banyak pertubuhan sukarela negara ini yang menghantar pasukan perubatan mereka dengan segera ke tempat bencana alam untuk memastikan tahap kesihatan di sana terjamin untuk memastikan penularan wabak penyakit seperti taun dan demam tidak berlaku pula. Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan juga boleh dirawat oleh pasukan perubatan yang dihantar oleh pertubuhan bukan kerajaan itu. Jelaslah, sumbangan dalam bentuk perubatan memberikan satu harapan baru kepada negara-negara jiran kita yang dilanda musibah alam itu.

Malah, Malaysia juga membuat kerjasama yang lebih luas dengan bersetuju untuk membuat pengawasan dan memperkenalkan dasar-dasar mencegah bencana alam. Kejadian tsunami beberapa tahun lalu telah menyebabkan Malaysia dan negara-negara jiran memasang sistem pengesan amaran awal tsunami di kawasan perairan masing-masing yang kemudiannya boleh dikongsi maklumat itu ke seluruh negara pula. Konsep kerjasama sebegini memastikan sebarang kejadian tsunami atau gempa bumi bawah laut boleh diketahui dengan lebih cepat dan teratur oleh negara- negara di rantau ini lalu mengurangkan risiko kematian pula. Maka, negara kita telah memberikan kerjasama yang jitu dan jujur dalam usaha untuk menangani kejadian bencana alam ini.

Konklusinya, semua sumbangan yang diberikan oleh negara itu telah dilakukan, sedang dan akan terus dilaksanakan pada masa hadapan. Sikap sebeginilah yang telah menyebabkan imej negara terus dihormati oleh negara-negara jiran kerana sanggup berkorban demi kebajikan rakyat negara lain. Walaupun Malaysia jarang dilanda bencana alam yang mengorbankan ribuan rakyatnya tetapi kita menyedari kesengsaraan yang dialami itu. Semoga sikap positif sebegini akan berterusan selama-lamanya. 

Sunday, September 30, 2012

Karangan SPM 2012...Faedah Pertanian?


Industri pertanian telah mula mendapat perhatian.

Huraikan faedah-faedahnya.

Pertanian sering dilihat sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa banyak impak positif kepada negara. Kerajaan kita sendiri sudah mula menyedari kepentingan industri ini lalu berusaha untuk menarik lebih banyak rakyat Malaysia untuk turut menceburinya. Pelbagai pihak telah memberi komentar mereka tentang usaha kerajaan untuk memajukan sektor pertanian ini terutama menerusi media massa negara. Lantaran itu, pelbagai impak positif boleh wujud menerusi aktiviti pertanian yang turut membabitkan ternakan haiwan ini.

Faedah yang ketara ialah negara akan menerima pendapatan yang tinggi lagi stabil saban tahun. Masyarakat dunia sudah sedia maklum diketahui amat memerlukan makanan lalu menjadikan harga komoditi ini begitu tinggi terutama ketika bencana alam melanda pula. Pendapatan yang stabil menjadikan negara tidak akan mengalami masalah kemelesetan ekonomi yang boleh menjejaskan negara itu. Jadi, wang yang terhasil menerusi sektor ini berupaya untuk digunakan oleh negara dalam usaha memajukan pelbagai sektor yang lain pula.

Pada masa yang sama, perkembangan pesat sektor ini membuka lebih banyak peluang kerja baik kepada rakyat tempatan mahupun pekerja asing. Kawasan ladang dan ternak yang begitu luas itu pastinya memerlukan sumber manusia yang banyak untuk menguruskannya dengan efektif. Kewujudan peluang kerja yang luas turut menjamin masa depan pekerja terjamin kerana bukan sahaja gaji yang tinggi diberikan tetapi rakyat berpeluang untuk bertukar-tukar kerja dengan mudah. Ringkasnya, pertanian akan memastikan rakyat negara ini tidak menganggur pula.

Kita sedia maklum bahawa pembukaan kawasan ladang biasanya melibatkan kawasan pedalaman atau belum dimajukan. Situasi ini membawa tindakan kerajaan memajukan sistem pengangkutan dan perhubungan kerana kawasan ladang memerlukan kemudahan awam ini untuk memastikan hasil ladang dapat dikeluarkan dengan sistematik. Perkembangan sistem pengangkutan dan perhubungan ini pula sudah pasti akan dinikmati juga oleh rakyat sekitar kawasan pertanian itu. Sesungguhnya, pembangunan pesat akan berlaku di kawasan yang dimajukan sebagai kawasan pertanian utama negara itu.

Malahan, banyak pihak yakin sektor pertanian negara akan menjadi lebih moden jika bidang ini mendapat perhatian semua pihak. Lebih banyak kajian terhadap jenis tanaman, racun perosak, baja dan teknik penanaman akan dilaksanakan oleh penyelidik negara ini. Hasil kajian mereka ini kemudiannya akan digunakan oleh peladang untuk memajukan hasil ladang mereka pula. Jadi, kualiti pertanian negara akan menjadi lebih baik  dan setanding dengan hasil keluaran negara jiran yang lainnya itu.

Imej negara juga akan menjadi bertambah baik apabila pertanian menjadi satu bidang ekonomi utama. Usaha menanam tanaman sebegini pasti menjadikan kawasan bumi lebih hijau dan bersih udaranya berbanding jika pembinaan kilang pula diutamakan oleh kerajaan. Pertanian dilihat oleh masyarakat luar sebagai satu usaha menghijaukan bumi lalu menghalang berlakunya kejadian bencana alam seperti tanah runtuh yang sering dikaitkan dengan kemusnahan kawasan hutan itu. Maka, pertanian bukan sahaja memberikan sumber kewangan tetapi turut mampu memulihkan imej negara menjadi lebih baik pula.

Kesimpulannya, semua impak positif yang diutarakan tadi memang boleh dihasilkan menerusi sektor pertanian. Semua pihak hendaklah melihat sektor hijau ini sebagai berpotensi untuk dimajukan pula. Kita harus berusaha bersama-sama bak kata pepatah bagai aur dengan tebing supaya sektor ini mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya daripada rakyat serta negara. Kalau kita memajukan pertanian, negara ini akan terus bertambah maju pada masa hadapan pula.

Sunday, September 16, 2012

Soalan Ramalan SPM 2012...Berminat Memilikinya?

Pelajar semua... Ini merupakan bahan pendidikan terbaru yang saya hasilkan khas untuk pelajar SPM 2012. Bahan ini meliputi beberapa soalan karangan spm dan novel yang saya rasa penting untuk pelajar.

Harganya hanya RM15 sahaja.

Thursday, September 13, 2012

Karangan SPM 2012...Peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan....


Peribahasa Melayu selalu disebut “sediakan payung sebelum hujan”
Huraikan kepentingan pengamalan peribahasa tersebut dalam kehidupan masyarakat.
Dalam masyarakat Melayu terdapat begitu banyak peribahasa yang mempunyai maksud yang mendalam. Kebiasaannya, peribahasa Melayu terhasil daripada pengamatan masyarakat terhadap alam dan kehidupan manusia secara keseluruhan. Peribahasa “sediakan paying sebelum hujan” merupakan bidalan yang bermaksud kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam kehidupan ini. Jelaslah, pengamalan peribahasa ini mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan sesuatu masyarakat itu.
Seseorang yang mengamalkan peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” akan senantiasa meneroka ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan masa depan mereka. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran ini akan sesuai dilalui oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Ilmu sahaja yang membolehkan seseorang itu  menguasai apa-apa bidang yang wujud kerana berupaya untuk mengalahkan pesaing-pesaing mereka. Oleh itu, pemahaman makna peribahasa ini menjadikan seseorang itu meneroka ilmu sepanjang hidup mereka.
Selain itu, peribahasa ini turut mengaitkan sikap suka menabung. Anak-anak perlu dididik sejak kecil untuk menabung buat kehidupan mereka yang lebih terjamin pada masa depan. Wang yang dikumpulkan secara sedikit-sedikit itu akan  mampu digunakan pula untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak. Jelaslah, amalan menabung menjadi sebahagian makna dalam peribahasa ini yang banyak kepentingannya itu.
Malahan, peribahasa ini seolah-olah memberikan satu amaran awal kepada sesiapa sahaja untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidupnya. Mereka yang memahami peribahasa ini pasti lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan pula kepada. Setiap tindakan pasti akan mempunyai dua pilihan atau aspek yakni kebaikan dan keburukan yang harus diteliti oleh seseorang itu.  Sesungguhnya, peribahasa ini menjauhkan sebarang masalah dalam kehidupan seseorang itu.
Peribahasa ini juga amat berguna buat pelajar terutama dalam menghadapi peperiksaan yang begitu mencabar. Mereka yang memahami maksud mendalam peribahasa ini sudah pasti akan bersedia dengan sering menghadiri kelas di sekolah bersama-sama membuat latihan demi latihan. Persediaan sejak awal inilah yang bakal memberikan pelajar satu kelebihan berbanding dengan pelajar lain yang hanya membuat persiapan pada saat-saat akhir sahaja. Sesungguhnya, pelajar yang bersedia lebih awal akibat memahami makna peribahasa ini bakal memperoleh kejayaan yang lebih manis dalam hidup mereka.
Kesimpulannya, peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” amat wajar diamalkan dalam kehidupan kita. Peribahasa ini merupakan satu legasi masyarakat dahulu kepada generasi kini yang perlu diteruskan kewujudannya. Kehidupan masyarakat dahulu kala yang sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan berhati-hati perlu dijadikan contoh teladan oleh generasi kini pula. Peribahasa ini boleh disamakan dengan peribahasa “beringat sebelum kena” yang menekankan aspek berhati-hati dalam setiap tindakan kita.

Friday, September 7, 2012

Pelajar semua....pendaftaran untuk menghadiri seminar saya sudah pun bermula. Jika anda berminat sila    mendaftar dengan segera untuk memastikan tempat anda itu.

Saya akan menjelaskan aspek soalan ramalan yang penting tahun ini.

Ceria

Thursday, September 6, 2012

Karangan Jenayah Wanita Meningkat?...Cara Atasinya.


Kejadian jenayah wanita terus meningkat?Jelaskan cara-cara menanganinya.

Tindakan ganas dan kejam seorang pemandu teksi di negara ini yang sanggup memperkosa pelajar perempuan begitu menjijikkan kita semua. Laporan polis yang mengaitkan tindakan jenayah pemandu teksi itu bukan sahaja memalukan negara tetapi imej pemandu teksi itu sendiri. Kekejaman sebeginilah yang menyebabkan kita kadangkala berasa malu hidup di negara ini yang menyaksikan masih ada rakyat negara ini yang sanggup mengambil kesempatan terhadap remaja yang masih muda itu. 

Pada masa yang sama peningkatan jenayah ini membuktikan betapa aspek penjagaan diri dan tindakan pencegahan amat penting diamalkan. Kita harus sedar semua jenayah yang berlaku ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi kita juga harus sedar langkah-langkah pencegahan boleh diambil untuk menghalang penjenayah terus beranggapan bahawa mereka yang berkuasa dan bukannya kita sebagai rakyat di negara ini.

Pertama, pelajar perempuan harus pantas membuat perkiraan keadaan apabila mendapati sesuatu perkara tidak betul sedang berlaku apabila mereka menghadapi masalah yang serupa dalam kes jenayah pemandu teski tersebut. Semua pelajar perempuan hendaklah bijak menggunakan telefon bimbit mereka untuk mendapatkan bantuan dengan meletakkan nombor telefon pihak polis atau ibu bapa mereka supaya mudah dihubungi dengan ssatu sentuhan sahaja. Khidmatan pesanan ringkas (SMS) harus digunakan dengan sebaik mungkin dalam keadaan getir sebegini. Gunakan teknologi itu juga untuk mengambil gambar penjenayah lalu menghantarnya kepada sesiapa sahaja supaya boleh digunakan pada masa hadapan terutama ketika mendakwa penjenayah yang kejam ini.

Sikap bersendirian ketika berjalan pulang atau menerima ajakan sesiapa yang tidak dikenali harus dielakkan terutama jika unsur-unsur bahaya mula kelihatan. Amalan memberitahu ibu bapa akan kedudukan diri dan sebab musabab lewat pulang ke rumah harus diamalkan supaya ibu bapa mengetahui keadaan anak mereka lalu mampu mengambil tindakan jika mendapati anak mereka masih belum sampai ke rumah untuk sekian masa. Pastikan tidak ada sebarang ruang untuk penjenayah ini mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah terhadap diri kita. 

Mereka perlu bertindak dengan bijak terutama dengan mendapatkan semua maklumat yang tepat tentang penjenayah ini supaya pihak polis mampu menahan mereka dengan lebih pantas. Semua maklumat tentang penjenayah terutama jenis teksi, warna, nombor pendaftaran, baud an sebagainya yang mampu diingati diberikan kepada pihak polis dengan segera. Semua maklumat ini boleh diingati jika mangsa terus mencatat informasi ini dengan segera setelah berada dalam keadaan selamat daripada penjenayah terbabit.

Laporan polis hendaklah dibuat dengan seberapa segera yang boleh walaupun sudah pasti penjenayah ini akan mengugut mangsa-mangsa mereka itu. Pihak polis sudah pasti mampu untuk memberikan jalan penyelesaian yang turut sama memerangkap penjenayah ini dengan segera. Penjenayah sengaja menggunakan taktik psikologi untuk menakutkan mangsanya dengan menggunakan kekerasan untuk memaksa mangsa melakukan semua tindakan yang mereka mahukan tanpa ada sebarang tentangan. Dalam kes pemandu teksi ini, penjenayah sengaja merakamkan perbuatan jahat mereka itu untuk menakutkan mangsa daripada melakukan laporan pihak polis.

Namun untuk memberikan semua tugas pencegahan kepada pelajar perempuan sahaja bukanlah satu tindakan yang bijak kerana kita sebagai manusia hendaklah sedar bahawa tindakan kita memperkosa sesiapa sahaja membuktikan betapa rendahnya maruah seseorang manusia itu. Sebelum kita bertindak terburu-buru untuk memenuhi hawa nafsu yang tidak terkawal itu, sedarlah betapa tindakan sebegini bakal menyusahkan kehidupan seseorang itu dalam jenayah pemandu teksi ini, pelajar perempuan yang masih jauh perjalanannya itu. Kita sebagai manusia yang mengaku beragama, dan bermaruah harus merenung diri sendiri kerana kitalah yang menyebabkan jenayah di negara ini terus meningkat. 


Wednesday, August 15, 2012

Karangan SPM 2012


Permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda kita.

Huraikan kepentingan permainan ini kepada diri remaja.

Skop: permainan tradisional
Tajuk: Kepentingannya kepada remaja

isi 1...membawa remaja memahami budaya tempatan
isi 2...membawa remaja memahami erti menghargai sesuatu dalam hidup
isi 3...membawa remaja memiliki rasa cinta akan negara
isi 4...membawa remaja memiliki nilai-nilai murni dalam jiwanya

Sunday, June 10, 2012

Karangan SPM 2012....Punca Kes ragut terus berlaku di Malaysia?

Media Massa sering melaporkan kejadian jenayah seperti kes ragut yang sering berlaku di negara kita sejak akhir-akhir ini.

Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan kes ragut menjadi lebih serius.

Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.

Tuesday, April 17, 2012

Karangan SPM 2012...Usaha Melestarikan Warisan Seni Budaya

Kebudayaan warisan bangsa negara ini semakin dilupakan oleh remaja kita dek arus pembangunan yang rancak itu.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk melestarikan warisan seni budaya.

Kebudayaan warisan bangsa bolehlah ditakrifkan sebagai kebudayaan sesuatu bangsa itu yang amat dihargai oleh rakyat. Kebudayaan warisan bangsa merujuk budaya yang sudah diamalkan sejak berkurun lamanya oleh sesuatu bangsa itu. Antara kebudayaan itu meliputi pakaian, makanan dan juga bahasa yang begitu diagungkan oleh setiap kaum itu. Pihak media massa juga ada menyiarkan pelbagai ulasan mereka tentang kebudayaan warisan kita yang semakin terhakis terutama dalam jiwa remaja zaman modern ini. Lantaran itu, pelbagai langkah susulan boleh diambil untuk memastikan kebudayaan warisan ini terus berkekalan.

Langkah awal sudah pasti melibatkan penggunaan kempen kesedaran yang berkesan oleh pihak berkuasa. Kempen ini disiarkan melalui media massa dengan menggunakan tokoh budaya sebagai jurucakap kempen itu bersama-sama informasi yang lengkap tentang kebudayaan kita. Kaedah ini memastikan remaja memahami dan mengetahui mengenai kebudayaan sendiri dengan mudah dan menarik pula lalu timbul perasaan menghargainya. Jadi, kempen yang efektif berupaya untuk memastikan kebudayaan ini terus berkekalan.

Selain itu, pihak berkuasa boleh menubuhkan pelbagai agensi dan institusi latihan yang berkaitan dengan kebudayaan ini. Peranan agensi ini adalah untuk melancarkan program berkaitan dengan kebudayaan sepanjang tahun dan institusi ini pula berpeluang melatih remaja tentang aspek kebudayaan itu dengan baik. Sudah pasti ramai remaja kita akan mahir dalam tarian, seni tukang, lukisan corak batik dan nyanyian dondang sayang itu. Jelaslah, kewujudan agensi khas dan institusi latihan menjamin kebudayaan kita ini terus wujud dalam sanubari remaja kita pula.

Bukan sahaja kempen dilancarkan dan agensi serta insitusi ditubuhkan tetapi perubahan minda masyarakat terhadap kebudayaan juga harus berlaku dengan drastiknya. Masyarakat terutama ibu bapa sering memandang rendah aktiviti atau kerjaya dalam bidang kebudayaan dengan alasan tiada prospek masa depan. Jika ibu bapa melihat kebudayaan sesuatu yang baik sudah pasti remaja lebih rela untuk melibatkan dirinya dalam sebarang aktiviti budaya ini. Sesungguhnya, persepsi masyarakat yang kelirulah yang menyebabkan kebudayaan kita terus whiling ditelan dek zaman.

Malah, pemberian pelbagai insentif daripada pihak kerajaan boleh memberikan galakan agar masyarakat menghargai kebudayaan ini. Pemberian insentif itu meliputi pemberian geran kewangan, biasiswa, kemudahan pinjaman dan sebagainya yang memudahkan pihak tertentu untuk mengikuti latihan atau menganjurkan program berunsur kebudayaan ini. Jika lebih banyak aktiviti kebudayaan boleh dianjurkan sudah pasti tahap kefahaman masyarakat tentang kepentingan kebudayaan itu amat dihargai pula. Oleh itu, insentif yang betul dan banyak serta mudah memberikan satu peluang untuk kebudayaan ini terus wujud di Malaysia.

Tambahan pula, kebudayaan warisan negara ini boleh diteruskan melalui pengawalan budaya asing ke negara ini. Maksudnya, semua program televisyen yang berunsur budaya kuning hendaklah dipantau oleh pihak berkuasa kerana penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku disebabkan oleh mudahnya budaya luar meresap ke dalam jiwa remaja. Kesukaran untuk melihat budaya luar mengurangkan risiko buat remaja untuk mengikuti budaya yang tidak sesuai itu. Maka, tindakan tegas untuk mengawal kehadiran budaya luar menjadi benteng asas memastikan kebudayaan warisan kita ini terus wujud untuk beberapa dekad akan datang pula.

Kesimpulannya, semua tindakan yang disuarakan tadi memang praktikal untuk dilaksanakan di Malaysia. Kerjasama semua pihak terutama remaja itu amat diperlukan agar kebudayaan kita ini terus berkekalan. Kegagalan untuk mengekalkan kebudayaan sendiri boleh menyebabkan imej negara dan masyarakat itu sendiri akan musnah dalam sekelip mata sahaja. Bak kata pepatah 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan' yang membuktikan betapa pentingnya kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam kehidupan.

Sunday, March 11, 2012

Pelajar semua, Saya akan membuat kelas tambahan penulisan pmr percuma pada Khamis ini. Saya juga akan mula menerangkan aspek novel.
Berminat sila hubungi 03-2148 3314.

Thursday, February 9, 2012

Karangan SPM 2012...Peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan

Peribahasa Melayu selalu disebut “sediakan payung sebelum hujan”
Huraikan kepentingan pengamalan peribahasa tersebut dalam kehidupan masyarakat.

Dalam masyarakat Melayu terdapat begitu banyak peribahasa yang mempunyai maksud yang mendalam. Kebiasaannya, peribahasa Melayu terhasil daripada pengamatan masyarakat terhadap alam dan kehidupan manusia secara keseluruhan. Peribahasa “sediakan paying sebelum hujan” merupakan bidalan yang bermaksud kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam kehidupan ini. Jelaslah, pengamalan peribahasa ini mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan sesuatu masyarakat itu.

Seseorang yang mengamalkan peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” akan senantiasa meneroka ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan masa depan mereka. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran ini akan sesuai dilalui oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Ilmu sahaja yang membolehkan seseorang itu menguasai apa-apa bidang yang wujud kerana berupaya untuk mengalahkan pesaing-pesaing mereka. Oleh itu, pemahaman makna peribahasa ini menjadikan seseorang itu meneroka ilmu sepanjang hidup mereka.

Selain itu, peribahasa ini turut mengaitkan sikap suka menabung. Anak-anak perlu dididik sejak kecil untuk menabung buat kehidupan mereka yang lebih terjamin pada masa depan. Wang yang dikumpulkan secara sedikit-sedikit itu akan mampu digunakan pula untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak. Jelaslah, amalan menabung menjadi sebahagian makna dalam peribahasa ini yang banyak kepentingannya itu.

Malahan, peribahasa ini seolah-olah memberikan satu amaran awal kepada sesiapa sahaja untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidupnya. Mereka yang memahami peribahasa ini pasti lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan pula kepada. Setiap tindakan pasti akan mempunyai dua pilihan atau aspek yakni kebaikan dan keburukan yang harus diteliti oleh seseorang itu. Sesungguhnya, peribahasa ini menjauhkan sebarang masalah dalam kehidupan seseorang itu.

Peribahasa ini juga amat berguna buat pelajar terutama dalam menghadapi peperiksaan yang begitu mencabar. Mereka yang memahami maksud mendalam peribahasa ini sudah pasti akan bersedia dengan sering menghadiri kelas di sekolah bersama-sama membuat latihan demi latihan. Persediaan sejak awal inilah yang bakal memberikan pelajar satu kelebihan berbanding dengan pelajar lain yang hanya membuat persiapan pada saat-saat akhir sahaja. Sesungguhnya, pelajar yang bersedia lebih awal akibat memahami makna peribahasa ini bakal memperoleh kejayaan yang lebih manis dalam hidup mereka.

Kesimpulannya, peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” amat wajar diamalkan dalam kehidupan kita. Peribahasa ini merupakan satu legasi masyarakat dahulu kepada generasi kini yang perlu diteruskan kewujudannya. Kehidupan masyarakat dahulu kala yang sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan berhati-hati perlu dijadikan contoh teladan oleh generasi kini pula. Peribahasa ini boleh disamakan dengan peribahasa “beringat sebelum kena” yang menekankan aspek berhati-hati dalam setiap tindakan kita.

Saturday, January 21, 2012

Karangan SPM 2012...Punca Berlakunya Bencana Alam?


Bencana alam terutama banjir begitu kerap berlaku di negara ini terutama ketika musim hujan. Bukan sahaja harta benda musnah malah nyawa manusia turut melayang.

Jelaskan punca-punca yang membawa kepelbagaian bencana alam ini.

Sudah pasti kejadian bencana alam ini sesuatu takdir yang sudah ditentukan oleh Tuhan. Namun dalam pada masa yang sama kita sebagai manusia harus memikirkan pelbagai perkara yang membawa bencana ini menjadi semakin meruncing kerana sama ada kita mahu mengaku atau tidak bencana alam ini akan terus berlaku. Pemahaman terhadap punca-punca yang menjurus berlakunya bencana ala mini berupaya menimbulkan tindakan yang mampu menghalang atau mungkin mengawalnya lalu mengurangkan kadar kemusnahan harta benda dan korban manusia pula. Jadi, wujud pelbagai faktor yang membawa berlakunya bencana alam ini.

Punca yang ketara ialah bencana alam merupakan satu mala petaka yang sudah menjadi lumrah dalam sejarah peradaban manusia. Kita sudah sedia maklum dunia ini pasti akan mengalami gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan juga banjir serta tiupan angin kencang pada bila-bila masa sahaja. Kajian sains telah membuktikan bahawa bumi ini memang senantiasa dalam proses perubahan meliputi kejadian bencana alam itu. Maka, bencana alam berlaku kerana perkara itu merupakan sesuatu fenomena biasa yang menimpa dunia ini sejak berkurun-kurun lalu.

Namun, bencana alam juga boleh dicetuskan akibat kemusnahan alam yang disebabkan oleh aktiviti harian terutama ekonomi manusia sejak berdekad-dekad lamanya itu. Lihat sahaja kemusnahan hutan, udara, laut dan sebagainya yang berlaku dengan begitu pantas terutama dalam era kemodenan manusia ini berbanding dengan zaman purbakala pula. Kemusnahan yang sebegitu sudah pasti akan membawa musibah yang tertentu kerana bumi ini walaupun luas pasti mengambil masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik sebegitu. Jadi, bencana alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehingga dunia itu sendiri tidak mampu untuk mengawalnya.

Malah, bencana alam juga berlaku akibat kegagalan manusia membuat perancangan. Kita semua sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal musim hujan, kejadian ribut taufan dan juga memahami kejadian tsunami itu tetapi mengapakah angka kematian terus meningkat? Jawapannya mudah sahaja kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana atau tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah keupayaan bencana ala mini atau menganggap nilai nyawa manusia itu tidak bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja.

Malah, kejadian bencana alam kini mula dikaitkan dengan pemanasan global yang dikatakan menjadi sesuatu perkara lazim dalam peredaran usia bumi ini. Kajian saintis telah membuktikan bahawa bumi ini pasti akan mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam tempoh masa tertentu. Semua bukti kajian lalu mengesahkan bahawa bencana alam merupakan sesuatu perkara yang akan, sedang dan terus berlaku di dunia ini. Oleh itu, bencana alam turut berlaku akibat perubahan iklim dunia yang dikaitkan dengan fenomena pemasan global.

Kesimpulannya, bencana alam berlaku berdasarkan pelbagai punca seperti yang dihuraikan tadi. Semua faktor ini saling berkait lalu menjadikan bencana alam itu begitu kritikal terutama apabila mengorbankan ribuaan nyawa dengan sekelip mata. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk memulihkan semula alam sekitar kerana itulah jawapan kepada penyelesaian bencana alam ini. Peribahasa hendak buat seribu daya tak hendak seribu dalih menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini.

Sunday, January 8, 2012

Sunday, January 1, 2012

Karangan SPM 2012...Punca-punca Perpaduan Terjejas?

Semangat perpaduan di negara ini dianggap begitu utuh tetapi sejak akhir-akhir ini sudah ada isu yang mampu menjejaskan perpaduan tersebut.

Jelaskan punca-punca yang boleh menjejaskan perpaduan ini untuk menjadi renungan kita semua.

Sejak negara ini merdeka tidak ada sebarang polemik yang mampu menjejaskan keutuhan perpaduan kita kecuali peristiwa 13 Mei 1969. Catatan sejarah telah membuktikan bahawa negara ini pernah mengalami kejadian yang boleh memalukan kita apabila merenung kejadian itu semula. Peristiwa yang menyedihkan itu telah menyebabkan kita semakin berhati-hati dalam setiap tindakan agar tidak wujud peristiwa hitam itu dan nampaknya kita berjaya. Namun, mengapakah keutuhan perpaduan itu mula tercabar semula di bumi yang bertuah ini?

Keutuhan perpaduan negara mula tercabar kerana masyarakat kita mula dilimpahi dengan aspek kebendaan yang melampau. Kekayaan yang melanda negara ini telah membawa kehidupan masyarakat kita berubah menjadi budaya hedonisme yang keterlaluan sehingga kita lupa asas-asas keharmonian masyarakat itu. Semua yang berlaku dalam kehidupan masyarakat diukur dalam bentuk kebendaan seperti amalan bergotong-royong atau berkhidmat demi masyarakat tidak lagi wujud kerana semua ini tidak mampu membawa keuntungan kewangan. Jadi, perpaduan negara mula terhakis kerana kehidupan masyarakat kita penuh dengan aspek kebendaan atau kewangan belaka.

Kehidupan masyarakat yang begitu mewah kini telah melupakan kita akan pentingnya sesuatu perpaduan itu. Masyarakat terutama remaja sudah tidak lagi mahu bercampur antara mereka sehingga menyebabkan kita sukar untuk melihat kewujudan pelbagai kaum dalam sesuatu persahabatan tersebut. Biasanya kelompok remaja lebih tertumpu mengikut kaum masing-masing sahaja lalu situasi ini menjadikan perpaduan itu sesuatu yang asing buat mereka. Sesungguhnya, kehidupan yang terlalu mewah menjadikan masyarakat kita lupa akan peri pentingnya perpaduan tersebut.

Malah, ancaman budaya kuning terutama daripada barat telah mula menusuk ke dalam jiwa remaja kita akibat dasar langit terbuka. Media massa terutama internet telah menyalurkan pelbagai informasi yang tidak mudah untuk dikawal oleh mana-mana kerajaan pun lalu remaja kita terpengaruh dengan budaya yang harus mereka patuhi. Kehidupan remaja yang penuh halunasi ini menyebabkan tindakan mereka kadangkala bertentangan dengan asas-asa budaya tempatan terutama tentang aspek perpaduan itu. Jelaslah, aspek perpaduan negara terjejas lantaran kewujudan budaya asing yang menjejaskan midan remaja kita semua.

Bukan sahaja aspek kebendaan dan budaya asing tetapi kemunculan sesetengah pemimpin yang suka menggunakan unsur perkauman dalam ucapan mereka turut memberikan kesan kepada tahap perpaduan di negara ini. Sikap pemimpin yang suka mengambil kesempatan ini mampu menjejaskan kepercayaan masyarakat kerana golongan sebegini begitu mudah meyakinkan masyarakat umum bahawa pendapat mereka itu benar dan harus dilaksanakan. Tindakan tidak bertanggungjawab ini harus ditolak oleh semua ahli masyarakat kita kerana sikap sebegini mampu memisahkan masyarakat kerana pemimpin sering dianggap sebagai pencetus sesuatu kemelut itu. Maka, tindakan segelintir pemimpin yang suka bermain api terutama dengan menggunakan isu perkauman mampu menjejaskan perpaduan masyarakat yang sudah dikenali oleh masyarakat luar itu.

Konklusinya, semua punca yang dijelaskan itu berupaya untuk menjadi ancaman utama kepada perpaduan negara. Kerjasama semua amat penting dalam usaha untuk menangkis ancaman yang memang begitu hebat ini tanpa mengamalkan sikap menuding jari pula. Masyarakat yang tidak mengutamakan perpaduan dalam aktiviti harian mereka bakal menjadi masyarakat yang porak-peranda dan negara akan musnah. Bak kata orang tua, bersatu teguh bercerai roboh,