Sunday, January 1, 2012

Karangan SPM 2012...Punca-punca Perpaduan Terjejas?

Semangat perpaduan di negara ini dianggap begitu utuh tetapi sejak akhir-akhir ini sudah ada isu yang mampu menjejaskan perpaduan tersebut.

Jelaskan punca-punca yang boleh menjejaskan perpaduan ini untuk menjadi renungan kita semua.

Sejak negara ini merdeka tidak ada sebarang polemik yang mampu menjejaskan keutuhan perpaduan kita kecuali peristiwa 13 Mei 1969. Catatan sejarah telah membuktikan bahawa negara ini pernah mengalami kejadian yang boleh memalukan kita apabila merenung kejadian itu semula. Peristiwa yang menyedihkan itu telah menyebabkan kita semakin berhati-hati dalam setiap tindakan agar tidak wujud peristiwa hitam itu dan nampaknya kita berjaya. Namun, mengapakah keutuhan perpaduan itu mula tercabar semula di bumi yang bertuah ini?

Keutuhan perpaduan negara mula tercabar kerana masyarakat kita mula dilimpahi dengan aspek kebendaan yang melampau. Kekayaan yang melanda negara ini telah membawa kehidupan masyarakat kita berubah menjadi budaya hedonisme yang keterlaluan sehingga kita lupa asas-asas keharmonian masyarakat itu. Semua yang berlaku dalam kehidupan masyarakat diukur dalam bentuk kebendaan seperti amalan bergotong-royong atau berkhidmat demi masyarakat tidak lagi wujud kerana semua ini tidak mampu membawa keuntungan kewangan. Jadi, perpaduan negara mula terhakis kerana kehidupan masyarakat kita penuh dengan aspek kebendaan atau kewangan belaka.

Kehidupan masyarakat yang begitu mewah kini telah melupakan kita akan pentingnya sesuatu perpaduan itu. Masyarakat terutama remaja sudah tidak lagi mahu bercampur antara mereka sehingga menyebabkan kita sukar untuk melihat kewujudan pelbagai kaum dalam sesuatu persahabatan tersebut. Biasanya kelompok remaja lebih tertumpu mengikut kaum masing-masing sahaja lalu situasi ini menjadikan perpaduan itu sesuatu yang asing buat mereka. Sesungguhnya, kehidupan yang terlalu mewah menjadikan masyarakat kita lupa akan peri pentingnya perpaduan tersebut.

Malah, ancaman budaya kuning terutama daripada barat telah mula menusuk ke dalam jiwa remaja kita akibat dasar langit terbuka. Media massa terutama internet telah menyalurkan pelbagai informasi yang tidak mudah untuk dikawal oleh mana-mana kerajaan pun lalu remaja kita terpengaruh dengan budaya yang harus mereka patuhi. Kehidupan remaja yang penuh halunasi ini menyebabkan tindakan mereka kadangkala bertentangan dengan asas-asa budaya tempatan terutama tentang aspek perpaduan itu. Jelaslah, aspek perpaduan negara terjejas lantaran kewujudan budaya asing yang menjejaskan midan remaja kita semua.

Bukan sahaja aspek kebendaan dan budaya asing tetapi kemunculan sesetengah pemimpin yang suka menggunakan unsur perkauman dalam ucapan mereka turut memberikan kesan kepada tahap perpaduan di negara ini. Sikap pemimpin yang suka mengambil kesempatan ini mampu menjejaskan kepercayaan masyarakat kerana golongan sebegini begitu mudah meyakinkan masyarakat umum bahawa pendapat mereka itu benar dan harus dilaksanakan. Tindakan tidak bertanggungjawab ini harus ditolak oleh semua ahli masyarakat kita kerana sikap sebegini mampu memisahkan masyarakat kerana pemimpin sering dianggap sebagai pencetus sesuatu kemelut itu. Maka, tindakan segelintir pemimpin yang suka bermain api terutama dengan menggunakan isu perkauman mampu menjejaskan perpaduan masyarakat yang sudah dikenali oleh masyarakat luar itu.

Konklusinya, semua punca yang dijelaskan itu berupaya untuk menjadi ancaman utama kepada perpaduan negara. Kerjasama semua amat penting dalam usaha untuk menangkis ancaman yang memang begitu hebat ini tanpa mengamalkan sikap menuding jari pula. Masyarakat yang tidak mengutamakan perpaduan dalam aktiviti harian mereka bakal menjadi masyarakat yang porak-peranda dan negara akan musnah. Bak kata orang tua, bersatu teguh bercerai roboh,

No comments:

Post a Comment