Sunday, September 30, 2012

Karangan SPM 2012...Faedah Pertanian?


Industri pertanian telah mula mendapat perhatian.

Huraikan faedah-faedahnya.

Pertanian sering dilihat sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa banyak impak positif kepada negara. Kerajaan kita sendiri sudah mula menyedari kepentingan industri ini lalu berusaha untuk menarik lebih banyak rakyat Malaysia untuk turut menceburinya. Pelbagai pihak telah memberi komentar mereka tentang usaha kerajaan untuk memajukan sektor pertanian ini terutama menerusi media massa negara. Lantaran itu, pelbagai impak positif boleh wujud menerusi aktiviti pertanian yang turut membabitkan ternakan haiwan ini.

Faedah yang ketara ialah negara akan menerima pendapatan yang tinggi lagi stabil saban tahun. Masyarakat dunia sudah sedia maklum diketahui amat memerlukan makanan lalu menjadikan harga komoditi ini begitu tinggi terutama ketika bencana alam melanda pula. Pendapatan yang stabil menjadikan negara tidak akan mengalami masalah kemelesetan ekonomi yang boleh menjejaskan negara itu. Jadi, wang yang terhasil menerusi sektor ini berupaya untuk digunakan oleh negara dalam usaha memajukan pelbagai sektor yang lain pula.

Pada masa yang sama, perkembangan pesat sektor ini membuka lebih banyak peluang kerja baik kepada rakyat tempatan mahupun pekerja asing. Kawasan ladang dan ternak yang begitu luas itu pastinya memerlukan sumber manusia yang banyak untuk menguruskannya dengan efektif. Kewujudan peluang kerja yang luas turut menjamin masa depan pekerja terjamin kerana bukan sahaja gaji yang tinggi diberikan tetapi rakyat berpeluang untuk bertukar-tukar kerja dengan mudah. Ringkasnya, pertanian akan memastikan rakyat negara ini tidak menganggur pula.

Kita sedia maklum bahawa pembukaan kawasan ladang biasanya melibatkan kawasan pedalaman atau belum dimajukan. Situasi ini membawa tindakan kerajaan memajukan sistem pengangkutan dan perhubungan kerana kawasan ladang memerlukan kemudahan awam ini untuk memastikan hasil ladang dapat dikeluarkan dengan sistematik. Perkembangan sistem pengangkutan dan perhubungan ini pula sudah pasti akan dinikmati juga oleh rakyat sekitar kawasan pertanian itu. Sesungguhnya, pembangunan pesat akan berlaku di kawasan yang dimajukan sebagai kawasan pertanian utama negara itu.

Malahan, banyak pihak yakin sektor pertanian negara akan menjadi lebih moden jika bidang ini mendapat perhatian semua pihak. Lebih banyak kajian terhadap jenis tanaman, racun perosak, baja dan teknik penanaman akan dilaksanakan oleh penyelidik negara ini. Hasil kajian mereka ini kemudiannya akan digunakan oleh peladang untuk memajukan hasil ladang mereka pula. Jadi, kualiti pertanian negara akan menjadi lebih baik  dan setanding dengan hasil keluaran negara jiran yang lainnya itu.

Imej negara juga akan menjadi bertambah baik apabila pertanian menjadi satu bidang ekonomi utama. Usaha menanam tanaman sebegini pasti menjadikan kawasan bumi lebih hijau dan bersih udaranya berbanding jika pembinaan kilang pula diutamakan oleh kerajaan. Pertanian dilihat oleh masyarakat luar sebagai satu usaha menghijaukan bumi lalu menghalang berlakunya kejadian bencana alam seperti tanah runtuh yang sering dikaitkan dengan kemusnahan kawasan hutan itu. Maka, pertanian bukan sahaja memberikan sumber kewangan tetapi turut mampu memulihkan imej negara menjadi lebih baik pula.

Kesimpulannya, semua impak positif yang diutarakan tadi memang boleh dihasilkan menerusi sektor pertanian. Semua pihak hendaklah melihat sektor hijau ini sebagai berpotensi untuk dimajukan pula. Kita harus berusaha bersama-sama bak kata pepatah bagai aur dengan tebing supaya sektor ini mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya daripada rakyat serta negara. Kalau kita memajukan pertanian, negara ini akan terus bertambah maju pada masa hadapan pula.

Sunday, September 16, 2012

Soalan Ramalan SPM 2012...Berminat Memilikinya?

Pelajar semua... Ini merupakan bahan pendidikan terbaru yang saya hasilkan khas untuk pelajar SPM 2012. Bahan ini meliputi beberapa soalan karangan spm dan novel yang saya rasa penting untuk pelajar.

Harganya hanya RM15 sahaja.

Thursday, September 13, 2012

Karangan SPM 2012...Peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan....


Peribahasa Melayu selalu disebut “sediakan payung sebelum hujan”
Huraikan kepentingan pengamalan peribahasa tersebut dalam kehidupan masyarakat.
Dalam masyarakat Melayu terdapat begitu banyak peribahasa yang mempunyai maksud yang mendalam. Kebiasaannya, peribahasa Melayu terhasil daripada pengamatan masyarakat terhadap alam dan kehidupan manusia secara keseluruhan. Peribahasa “sediakan paying sebelum hujan” merupakan bidalan yang bermaksud kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam kehidupan ini. Jelaslah, pengamalan peribahasa ini mempunyai pelbagai kepentingan dalam kehidupan sesuatu masyarakat itu.
Seseorang yang mengamalkan peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” akan senantiasa meneroka ilmu sebagai persediaan untuk kehidupan masa depan mereka. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran ini akan sesuai dilalui oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Ilmu sahaja yang membolehkan seseorang itu  menguasai apa-apa bidang yang wujud kerana berupaya untuk mengalahkan pesaing-pesaing mereka. Oleh itu, pemahaman makna peribahasa ini menjadikan seseorang itu meneroka ilmu sepanjang hidup mereka.
Selain itu, peribahasa ini turut mengaitkan sikap suka menabung. Anak-anak perlu dididik sejak kecil untuk menabung buat kehidupan mereka yang lebih terjamin pada masa depan. Wang yang dikumpulkan secara sedikit-sedikit itu akan  mampu digunakan pula untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak. Jelaslah, amalan menabung menjadi sebahagian makna dalam peribahasa ini yang banyak kepentingannya itu.
Malahan, peribahasa ini seolah-olah memberikan satu amaran awal kepada sesiapa sahaja untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam hidupnya. Mereka yang memahami peribahasa ini pasti lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan pula kepada. Setiap tindakan pasti akan mempunyai dua pilihan atau aspek yakni kebaikan dan keburukan yang harus diteliti oleh seseorang itu.  Sesungguhnya, peribahasa ini menjauhkan sebarang masalah dalam kehidupan seseorang itu.
Peribahasa ini juga amat berguna buat pelajar terutama dalam menghadapi peperiksaan yang begitu mencabar. Mereka yang memahami maksud mendalam peribahasa ini sudah pasti akan bersedia dengan sering menghadiri kelas di sekolah bersama-sama membuat latihan demi latihan. Persediaan sejak awal inilah yang bakal memberikan pelajar satu kelebihan berbanding dengan pelajar lain yang hanya membuat persiapan pada saat-saat akhir sahaja. Sesungguhnya, pelajar yang bersedia lebih awal akibat memahami makna peribahasa ini bakal memperoleh kejayaan yang lebih manis dalam hidup mereka.
Kesimpulannya, peribahasa “sediakan payung sebelum hujan” amat wajar diamalkan dalam kehidupan kita. Peribahasa ini merupakan satu legasi masyarakat dahulu kepada generasi kini yang perlu diteruskan kewujudannya. Kehidupan masyarakat dahulu kala yang sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan berhati-hati perlu dijadikan contoh teladan oleh generasi kini pula. Peribahasa ini boleh disamakan dengan peribahasa “beringat sebelum kena” yang menekankan aspek berhati-hati dalam setiap tindakan kita.

Friday, September 7, 2012

Pelajar semua....pendaftaran untuk menghadiri seminar saya sudah pun bermula. Jika anda berminat sila    mendaftar dengan segera untuk memastikan tempat anda itu.

Saya akan menjelaskan aspek soalan ramalan yang penting tahun ini.

Ceria

Thursday, September 6, 2012

Karangan Jenayah Wanita Meningkat?...Cara Atasinya.


Kejadian jenayah wanita terus meningkat?Jelaskan cara-cara menanganinya.

Tindakan ganas dan kejam seorang pemandu teksi di negara ini yang sanggup memperkosa pelajar perempuan begitu menjijikkan kita semua. Laporan polis yang mengaitkan tindakan jenayah pemandu teksi itu bukan sahaja memalukan negara tetapi imej pemandu teksi itu sendiri. Kekejaman sebeginilah yang menyebabkan kita kadangkala berasa malu hidup di negara ini yang menyaksikan masih ada rakyat negara ini yang sanggup mengambil kesempatan terhadap remaja yang masih muda itu. 

Pada masa yang sama peningkatan jenayah ini membuktikan betapa aspek penjagaan diri dan tindakan pencegahan amat penting diamalkan. Kita harus sedar semua jenayah yang berlaku ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi kita juga harus sedar langkah-langkah pencegahan boleh diambil untuk menghalang penjenayah terus beranggapan bahawa mereka yang berkuasa dan bukannya kita sebagai rakyat di negara ini.

Pertama, pelajar perempuan harus pantas membuat perkiraan keadaan apabila mendapati sesuatu perkara tidak betul sedang berlaku apabila mereka menghadapi masalah yang serupa dalam kes jenayah pemandu teski tersebut. Semua pelajar perempuan hendaklah bijak menggunakan telefon bimbit mereka untuk mendapatkan bantuan dengan meletakkan nombor telefon pihak polis atau ibu bapa mereka supaya mudah dihubungi dengan ssatu sentuhan sahaja. Khidmatan pesanan ringkas (SMS) harus digunakan dengan sebaik mungkin dalam keadaan getir sebegini. Gunakan teknologi itu juga untuk mengambil gambar penjenayah lalu menghantarnya kepada sesiapa sahaja supaya boleh digunakan pada masa hadapan terutama ketika mendakwa penjenayah yang kejam ini.

Sikap bersendirian ketika berjalan pulang atau menerima ajakan sesiapa yang tidak dikenali harus dielakkan terutama jika unsur-unsur bahaya mula kelihatan. Amalan memberitahu ibu bapa akan kedudukan diri dan sebab musabab lewat pulang ke rumah harus diamalkan supaya ibu bapa mengetahui keadaan anak mereka lalu mampu mengambil tindakan jika mendapati anak mereka masih belum sampai ke rumah untuk sekian masa. Pastikan tidak ada sebarang ruang untuk penjenayah ini mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah terhadap diri kita. 

Mereka perlu bertindak dengan bijak terutama dengan mendapatkan semua maklumat yang tepat tentang penjenayah ini supaya pihak polis mampu menahan mereka dengan lebih pantas. Semua maklumat tentang penjenayah terutama jenis teksi, warna, nombor pendaftaran, baud an sebagainya yang mampu diingati diberikan kepada pihak polis dengan segera. Semua maklumat ini boleh diingati jika mangsa terus mencatat informasi ini dengan segera setelah berada dalam keadaan selamat daripada penjenayah terbabit.

Laporan polis hendaklah dibuat dengan seberapa segera yang boleh walaupun sudah pasti penjenayah ini akan mengugut mangsa-mangsa mereka itu. Pihak polis sudah pasti mampu untuk memberikan jalan penyelesaian yang turut sama memerangkap penjenayah ini dengan segera. Penjenayah sengaja menggunakan taktik psikologi untuk menakutkan mangsanya dengan menggunakan kekerasan untuk memaksa mangsa melakukan semua tindakan yang mereka mahukan tanpa ada sebarang tentangan. Dalam kes pemandu teksi ini, penjenayah sengaja merakamkan perbuatan jahat mereka itu untuk menakutkan mangsa daripada melakukan laporan pihak polis.

Namun untuk memberikan semua tugas pencegahan kepada pelajar perempuan sahaja bukanlah satu tindakan yang bijak kerana kita sebagai manusia hendaklah sedar bahawa tindakan kita memperkosa sesiapa sahaja membuktikan betapa rendahnya maruah seseorang manusia itu. Sebelum kita bertindak terburu-buru untuk memenuhi hawa nafsu yang tidak terkawal itu, sedarlah betapa tindakan sebegini bakal menyusahkan kehidupan seseorang itu dalam jenayah pemandu teksi ini, pelajar perempuan yang masih jauh perjalanannya itu. Kita sebagai manusia yang mengaku beragama, dan bermaruah harus merenung diri sendiri kerana kitalah yang menyebabkan jenayah di negara ini terus meningkat.