Sunday, January 6, 2013

Karangan SPM 2013...Kekangan penulis novel tempatan


Walaupun penulis tempatan telah berusaha untuk menghasilkan novel yang berkualiti, namun sambutan masyarakat tempatan terhadap novel tempatan masih dingin.

Berdasarkan pernyataan ini, tuliskan kekangan-kekangan yang dihadapi oleh novel-novel tempatan.

Kehidupan penulis tempatan masih lagi tidak sebaik kehidupan kerjaya yang lain terutama bidang kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Masyarakat kita masih melihat novel tempatan sebagai sesuatu yang berunsur sampingan atau tidak bernilai. Pelbagai pihak mula memberikan pandangan dan cadangan yang membina tetapi industri novel tempatan masih gagal untuk melonjak naik umpama “hidup segan mati tak mahu” pula. Sesungguhnya, terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh industri penulisan novel di negara ini.

Halangan yang paling besar ialah penerbit-penerbit kurang berminat untuk menerbitkan karya-karya sastera tempatan kerana berpendapat karya tempatan tidak mampu membawa keuntungan yang banyak. Aspek mengaut keuntungan daripada cuba mengembangkan industri penulisan novel menjadikan penulis tempatan sukar untuk menerbitkan bahan karya mereka setelah bertungkus-lumus menyiapkannya. Keengganan pihak penerbit untuk menangung risiko ini juga menyebabkan peluang penulisan begitu sempit lalu mematikan semangat penulis secara perlahan-lahan pula. Jelaslah, sikap penerbit yang enggan memberi peluang kepada novel tempatan menjadikan masa depan industri ini begitu malap.

Malah, kegagalan untuk mencungkil bakat-bakat baru penulis juga menjadikan bidang ini agak statik lalu tidak banyak berubah sejak dahulu. Remaja zaman ini menganggap bidang penulisan sesuatu yang tidak menarik atau membosankan serta tidak menjamin masa depan yang cerah menyebabkan tidak ramai penulis baru dilahirkan oleh negara ini. Ketiadaan penulis baru menyebabkan tidak ada unsur atau teknik atau tema novel yang baru untuk memberikan satu nafas baru pula kepada industri ini untuk berkembang dengan peredaran zaman. Jadi, dunia penulisan novel ketandusan penulis baru yang mampu untuk memberikan idea yang lebih bernas untuk ditatap oleh pembaca sekalian.

Tambahan pula, karya-karya penulis muda yang hanya beberapa kerat itu sahaja tidak cukup baik berbanding dengan penulis-penulis lama. Kegagalan penulis baru untuk menulis sesuatu karya yang berimej baru atau selaras dengan jiwa masyarakat moden menyebabkan tidak banyak pembaca muda yang berminat untuk mengikuti perkembangan industri novel di negara ini. Kegagalan penulis baru menulis dengan baik banyak ditentukan oleh ketiadaan pengalaman dan persaingan yang sihat dalam industri ini untuk merangsangkan minda mereka untuk menulis dengan lebih baik lagi. Maka, kualiti penulisan penulis muda yang rendah mutunya itu mendorong masyarakat terus menyisihkan diri daripada membaca novel tempatana.

Kegagalan untuk melahirkan penulis muda juga boleh disebabkan oleh kegagalan pihak pendidik untuk memupuk sikap suka menulis dan membaca yang mendalam. Kita semua sedia maklum bahawa generasi muda di sekolahlah yang bakal mewarnai industri penulisan negara suatu masa nanti baik sebagai penulis atau pembaca tetapi kita gagal menyediakan mereka ini. Kegagalan ini menyebabkan pelajar tidak berminat untuk membaca karya-karya penulisan novel lalu menjadikan pasaran industri ini begitu kecil atau langsung tidak berkembang dengan baik. Sesungguhnya, kegagalan memupuk sikap menulis dan menghargai karya sastera di peringkat sekolah menjadikan industri ini terus malap di persada arus kemodenan negara.

Pada masa yang sama, pihak swasta terutama sektor korporat enggan membantu dalam usaha memperkembangkan karya sastera tempatan. Kalau kita lihat hanya badan-badan kerajaan seperti Persatuan Penulis Kebangsaan (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta lain-lain yang cuba mempopularkan novel tempatan. Ketiadaan sektor korporat yang sanggup menghulurkan bantuan kewangan untuk membantu industri ini telah menjadikan perjuangan meninggikan sektor penulisan novel tempatan tidak mencapai matlamat yang sebenarnya. Jelaslah, ketiadaan bantuan sektor swasta telah menyebabkan bidang penerbitan novel tempatan mengalami zaman kegelapan yang begitu panjang.

Konklusinya, sudah tiba masanya semua pihak untuk bekerjasama memajukan industri penulisan novel tempatan kita. Kerjasama ini penting supaya generasi akan datang mampu menghayati dan memahami budaya dan perjuangan negara menerusi karya-karya penulisan yang berkualiti. Sikap mengutamakan keuntungan daripada kepentingan negara hendaklah dikikis segera sebelum terlewat. Bak kata slogan, “bahasa melambangkan bangsa kita”.

No comments:

Post a Comment