Wednesday, March 20, 2013

Karangan SPM 2013...Sumbangan Insititusi Pengajian Tinggi di Malaysia?


Institusi pengajian tinggi swasta banyak memberikan sumbangan yang positif dalam memajukan pendidikan di Malaysia.

Ulas pernyataan di atas.

Dalam menjayakan aspirasi pendidikan negara menuju Wawasan 2010 pembabitan sektor swasta amat penting dilaksanakan. Kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan dalam memajukan sektor pendidikan negara bakal membuahkan hasil yang menguntungkan rakyat di negara ini. Kemunculan Kolej Sunway, Kolej Stamford dan sebagainya membuktikan komitmen bersungguh-sungguh pihak swasta untuk turut memodenkan bidang pendidikan di negara ini. Lantaran itu, pelbagai kebaikan atau manfaat timbul daripada pembabitan serius pihak swasta dalam aspek pendidikan negara ini.

Manfaat yang timbul ekoran pembabitan pihak swasta dalam sektor pendidikan ialah peluang untuk belajar kepada pelajar lebih terbuka dan meluas terutama pelajar yang gagal diterima masuk ke pusat pengajian tinggi kerajaan. Kewujudan kolej swasta seolah-olah memberikan pelajar sebegini harapan kedua untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kursus yang mereka minati itu. Tahap kelulusan untuk memasuki kolej swasta juga bolehlah dianggap lebih rendah sedikit daripada pusat pengajian tinggi kerajaan. Maka, kolej swasta mewujudkan lebih banyak peluang belajar kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk meneruskan pengajian mereka.

Selain itu, kolej swasta ini juga mampu menawarkan pelbagai pilihan kursus yang mungkin sukar untuk ditawarkan oleh pihak universiti kerajaan pula. Kebanyakan kursus kolej swasta lebih tertumpu kepada keperluan perniagaan dan teknologi kerana itulah permintaan pelajar era moden ini. Penawaran kursus sebegini juga banyak berkait dengan usaha untuk meninggikan kemahiran sumber manusia selain membantu kerajaan untuk melahirkan pekerja yang produktif. Jelaslah, usaha pihak swasta ini memberikan satu pilihan yang begitu luas kepada pelajar untuk memilih kursus yang terbaik buat mereka.

Tambahan pula, kolej swasta ini juga menyediakan tenaga pengajar yang berkaliber untuk mengajar golongan pelajar. Tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman ini turut menganjurkan pelbagai seminar  yang bermutu untuk di hadiri oleh pelajar-pelajar. Seminar ini boleh membantu pelajar dalam menyelesaikan kerja kursus mereka dengan lebih lancar. Oleh itu, kewujudan kolej swasta mampu menyediakan sekumpulan tenaga pengajar yang bertauliah.

Bukan sahaja tenaga pengajar yang berpengalaman, kolej swasta juga mampu menyediakan pelbagai kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Kemampuan kolej swasta untuk menyediakan peruntukan modal yang besar membolehkan kolej ini menyediakan satu suasana pembelajaran yang professional dan efektif kepada pelajarnya. Sesungguhnya, kolej swasta mampu menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran yang memuaskan kepada semua pelajarnya.

Malahan, penubuhan kolej swasta boleh menjimatkan kos pengajian pelajar kita. Jika pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara sudah pasti kos yuran pengajian lebih tinggi bersama-sama dengan kadar pertukaran wang asing yang begitu tinggi. Kolej swasta menawarkan satu peluang untuk belajar di negara sendiri tetapi dengan jumlah kos yang jauh lebih murah berbanding dengan kolej luar negara. Oleh itu, kolej swasta di negara ini mampu menjimatkan kos pengajian pelajar terutama jika mereka belajar di luar negara.

Konklusinya, kewujudan kolej swasta memang membawa banyak kebaikan kepada pelajar di negara ini. Kerjasama antara kerajaan dan swasta dalam aspek pendidikan perlulah ditingkatkan supaya impaknya lebih besar serta mendalam. Pelajar pula hendaklah menggunakan peluang yang baik ini untuk belajar dengan bersungguh-sungguh demi kejayaan mereka. Ilmu umpama obor yang menerangi jalan kerana ilmu mampu memberikan manusia satu panduan kehidupan yang hakiki.