Sunday, June 9, 2013

Karangan SPM 2013...Bentuk sumbangan negara kaya terhadap negara miskin?


Kemiskinan masih menjadi masalah utama di kebanyakan negara, walaupun terdapat banyak negara kaya di dunia.

Sarankan bentuk sumbangan yang dapat diberikan oleh negara-negara kaya untuk membantu negara-negara miskin.

Dalam era globalisasi ini semua negara saling memerlukan jika ingin berjaya dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa. Lantaran itu, negara maju perlulah membantu negara miskin tanpa boleh menggunakan alasan bahawa kemiskinan bukanlah masalah mereka seperti dahulu itu. Kegagalan negara maju membatu negara miskin membasmi kemiskinan boleh membawa banyak impak negatif kepada kehidupan rakyat di negara maju itu sendiri juga. Ringkasnya, negara maju mempunyai banyak perkara yang boleh disumbangkan demi kemakmuran negara miskin.

Salah satu sumbangan awal negara maju terhadap negara miskin ialah sumbangan modal kewangan. Sumbangan sebegini menjadikan sektor ekonomi negara miskin itu boleh berkembang dengan baik lalu berupaya mewujudkan peluang kerja yang lebih banyak. Kemampuan mewujudkan peluang kerja menjadikan semua rakyat sesebuah negara itu kemampuan untuk memiliki wang yang boleh digunakan untuk meninggikan taraf hidup mereka pula. Sesungguhnya, sumbangan modal ini memberikan peluang baru kepada negara miskin untuk keluar daripada kitaran kemiskinan yang dialaminya.

Selain itu, sumbangan aspek pendidikan boleh juga dilakukan oleh negara maju. Mereka boleh menyalurkan pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar negara miskin yang berkaliber supaya mereka ini kelak mampu memajukan negara mereka suatu masa nanti. Penghantaran tenaga pengajar berpengalaman dari negara maju ke negara miskin menjadikan profession perguruan di negara baru itu lebih profesional lalu mampu mendidik anak bangsa mereka dengan lebih efisien dan efektif lagi. Jelaslah, sumbangan dalam sektor pendidikan boleh menyediakan satu kelompok rakyat yang berilmu dan bersedia menerima perubahan dunia.

Malah, sumbangan kesihatan juga penting diberikan kepada negara miskin kerana kekurangan kualiti kesihatanlah yang menyebabkan banyak rakyat negara miskin hilang sia-sia belaka. Ketiadaan kemudahan kesihatan yang asas telah menjadi igauan buruk rakyat di negara miskin sejak dahulu. Kita sering melihat kadar kematian akan ketiadaan sistem kesihatan walaupun penyakit itu boleh diubati jika pesakitnya menerima rawatan awal yang efektif. Jadi, pemberian sumbangan kesihatan menjadikan negara miskin lebih mudah untuk mengharungi cabaran kehidupan yang lebih mencabar itu.

Tambahan pula, negara maju yang sudah lama berpengalaman dalam sesuatu bidang itu boleh menghantar pakar-pakar mereka ke negara maju untuk merancang proses pembangunan yang lebih holistik. Semua pengalaman yang dialami di negara maju boleh diaplikasikan di negara miskin itu untuk memastikan kesilapan yang serupa berlaku lalu mengurangkan kadar kos pembangunan pula. Sumbangan tenaga pakar ini juga boleh melatih tenaga rakyat negara miskin untuk menjadi lebih baik atau setaraf dengan negara maju tadi.

Kesimpulannya, memang menjadi tanggungjawab negara maju untuk membantu negara miskin tanpa banyak alasan lagi. Semakin cepat sumbangan diberikan maka semakin mudahlah negara miskin ini keluar daripada kemelut yang melanda negara mereka itu. Pada masa yang sama, negara miskin perlulah bersedia menerima perubahan dan melakukan pengorbanan untuk meraih kemajuan jangka panjang kerana kesudian negara maju tidak cukup jika negara miskin itu sendiri enggan berubah.




1 comment: