Sunday, April 20, 2014

Kesan pembuangan bayi?

Isu pembuangan bayi telah menjadi satu kemelut duri dalam daging buat masyarakat kita. Gejala ini telah menyebabkan masyarakat kita berasa malu kerana teras utama budaya kita mengutamakan aspek kesopanan diri. Pihak media massa juga telah menggunakan masalah ini untuk mengkritik masyarakar kita secara tersirat. Jadi, apakah, impak yang dibawa oleh penularan budaya membuang bayi ini?

Kesan yang ketara ialah imej rakyat dan negara ini terjejas pada mata masyarakat terutama orang asing. Sejak dahulu, masyarakat kita begitu mengutamakan kesopanan terutama dalam aspek pendidikan remaja kita sehingga menjadi kaguman orang asing. Namun, kejadian pembuangan bayi yang semakin kerap berlaku ini telah menukar persepsi orang lain itu sehingga memalukan kita pula. Maka, kejadian buruk ini telah menconteng arang ke muka masyarakat kita tanpa disedari itu.

Selain itu, sikap tidak bertanggungjawab ini boleh membawa dakwaan jenayah dikenakan kepada ahli masyarakat kita. Pihak polis telah berkali-kali memberi amaran bahawa ibu bapa yang melakukan gejala ini boleh didakwa di mahkamah apabila bayi mereka itu meninggal dunia. Sudah ada banyak kes pembuangan bayi terutama di kawasan sampah dan sunyi yang membawa kematian bayi tersebut walaupun ibu bapa mereka tidak mempunyai niat untuk membunuhnya atau mencederakannya. Ringkasnya, amalan buruk ini bukan sahaja keji tetapi boleh membawa wujudnya kes mahkamah pula yang boleh menjejaskan masa depan individu terbabit.

Tambahan pula, masa depan bayi itu turut terjejas dek tindakan ibubapanya yang tidak bertanggungjawab tersebut. Bayi yang dibiarkan bersendirian itu pastinya akan dihantar ke pusat kebajikan masyarakat dan hidup sebagai anak yatim piatu pula. Tanpa belaian kasih sayang dan didikan sempurna sudah pasti anak itu akan membesar sebagai insan yang bermasalah terutama daripada aspek emosinya. Lantaran itu, negara kita akan memiliki banyak remaja yang mempunyai masalah jiwa yang sukar untuk dikawal sehingga menimbulkan pelbagai kesan sampingan lain itu.

Kos perbelanjaan pihak berkuasa juga bertambah apabila gejala pembuangan bayi ini tidak dikawal dengan efektifnya. Kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk memastikan urusan persatuan kebajikan berjalan dengan lancar. Semakin banyak penghuni rumah kebajikan ini semakin tinggilah kos yang diperlukan untuk mentadbirkannya dengan lancar itu. Jadi, kerajaan tidak akan mempunyai wang lebihan untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang lain pula.

Kesimpulannya, amalan pembuangan bayi ini membawa pelbagai impak yang negatif kepada masyarakat dan negara. Semua pihak terutamanya ibu bapa hendaklah lebih peka dalam urusan mendidik anak mereka itu. Kalau kita masih menuding jari tanpa mahu menerima kesilapan diri sudah pasti gejala ini tidak akan mampu diselesaikan dengan baik. Sudah sampai masanya kita sebagai ahli masyarakat Malaysia bekerjasama untuk membendung gejala pembuang bayi ini dengan bersungguh-sungguh.

Sunday, April 13, 2014

Bincangkan punca-punca makanan ringan begitu popular dalam kalangan masyarakat?

Bincangkan punca-punca makanan ringan begitu popular dalam kalangan masyarakat.

Makanan ringan diklasifikasikan sebagai makanan yang mudah untuk disediakan dan dinikmati oleh masyarakat pengguna tanpa mengira masa. Antara makanan ringan itu meliputi kategori kerepok, gula-gula, manisan dan sebagainya. Pihak media massa sering menyiarkan bahan berita mengenai isu makanan ringan ini yang menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Sebenarnya, ada banyak sebab yang membawa makanan ringan ini menjadi sesuatu yang lumrah di negara ini terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Punca utama yang mendorong makanan ringan ini begitu menular dalam masyarakat kita kerana syarikat pengeluar makanan ini begitu bijak merancang strategi pengiklanan produk mereka itu. Bayangkan setiap iklan yang dikaitkan dengan makanan ringan ini pasti melambangkan suasana yang ceria dan penuh rasa seronok yang mudah difahami oleh kanak-kanak kita. Ada juga syarikat yang menawarkan hadiah istimewa setiap kali makanan ringan keluaran syarikat mereka ini dibeli oleh pengguna. Jadi, makanan ringan sudah sebati dalam masyarakat kita kerana kemahiran syarikat pengeluar untuk mempromosikan produk mereka dalam bentuk yang menarik lagi unik.

Selain itu, kanak-kanak melihat makanan ringan sebagai sesuatu yang “cool” atau menarik untuk dinikmati. Pada pandangan mereka, makanan ringan yang dinikmati itu akan menjadikan diri mereka lebih dikenali lalu ditiru oleh rakan-rakan yang lainnya terutama setelah melihat iklan produk tersebut. Makanan ringan telah dikatakan sebagai contoh kehidupan moden yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak bergaya zaman globalisasi ini. Bayangkan, tidak ada lagi kanak-kanak yang suka menikmati dodol, kuih tempatan atau karipap di kantin kerana melihat makanan itu sudah ketinggalan zaman.

Penularan budaya makanan ringan ini turut dikaitkan dengan mudahnya untuk memperoleh makanan sebegini. Kanak-kanak boleh membeli makanan ini di kedai runcit dan kawasan kantin sekolah pada bila-bila masa pula terutama ketika masa rehat di sekolah. Kanak-kanak mendapati keadaan sebegini memudahkan mereka untuk pergi membeli tanpa sebarang halangan pula. Maka, makanan ringan ini terus menjadi-jadi kerana makanan ini dijual di mana-mana pun.


Kita juga tidak boleh menafikan bahawa makanan ringan itu secara relatifnya lebih murah berbanding makanan lain yang dikatakan lebih berkhasiat itu. Kadar harga yang murah ini kerana makanan ini dihasilkan tanpa khasiat dan begitu mudah cara penyediaannya berbanding dengan makanan lain yang berkualiti itu. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak malah orang dewasa melihat makanan ringan ini sesuatu yang boleh dinikmati sepanjang masa pula. Lama-kelamaan, mereka akan menjadi ketagih dengan makanan ringan ini tanpa disedari pula.

Malahan, ada pihak yang mengaitkan isu ini dengan kekurangan pengawasan ibu bapa yang menjadikannya semakin meruncing itu. Banyak pihak melihat ibu bapa zaman ini terlalu sibuk bekerja sehingga tidak berupaya untuk memantau aktiviti anak terutama amalan pemakanan yang tidak sihat itu. Ibu bapa lebih suka melihat anak mereka gembira menikmati makanan ringan ini daripada menegur golongan muda itu kerana sudah penat bekerja atau tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluarga pula. Ketiadaan teguran ibu bapa itu seolah-olah memberikan lampu hijau kepada anak untuk meneruskan amalan yang tidak sihat ini dalam kehidupan mereka itu.

Konklusinya, makanan ringan sudah menjadi satu budaya baru dalam kehidupan generasi moden Malaysia. Kita hendaklah mula berfikir tentang kemelut ini kerana sudah pasti kualiti kesihatan kanak-kanak kita akan terjejas suatu masa nanti. Topik yang meliputi obesiti dan gigi rosak sudah mula menjadi perbualan masyarakat kita ekoran menularnya amalan memakan makanan ringan sebegini. Mungkin sudah sampai masanya, kerajaan lebih tegas dalam memantau penjualan makanan ringan ini terutama di kawasan kantin sekolah dan tempat umum yang lainnya.