Monday, October 26, 2015

Karangan spm 2015... Penggunaan rangkaian sosial yang betul oleh remaja



Penggunaan aplikasi rangkaian sosial begitu meluas dalam kalangan remaja masa kini.

Huraikan cara-cara remaja memanfaatkan laman sosial itu?

Rangkaian sosial merujuk penggunaan perisian internet dalam membuat hubungan sosial atau interaksi sesama manusia pada zaman ini. Kajian membuktikan bahawa rangkaian sosial seperti facebook, twitter, instagram, dan sebagainya telah menjadi peneraju dalam interaksi sesama manusia terutamanya dalam kalangan remaja. Kekerapan remaja menggunakan rangkaian sosial telah mencetuskan pelbagai kritikan sosial yang turut mengundang wacana daripada masyarakat umum. Jadi, apakah kaedah-kaedah yang betul dalam penggunaan rangkaian sosial ini buat remaja?

Penggunaan yang sewajarnya ialah remaja menggunakannya untuk berkomunikasi dan berhubung dengan pantas dan mudah. Remaja yang mahir dalam rangkaian sosial ini memerlukan satu sentuhan sahaja untuk bertanya khabar atau berbual dengan ibu bapa dan rakan mereka. Pemilikan telefon bimbit yang semakin canggih telah menjadikan kaedah komunikasi sebegini satu cara hidup remaja yang menarik untuk diperhatikan oleh sesiapa sahaja. Jelaslah, rangkaian sosial boleh digunakan oleh remaja untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan insan lain di dunia ini.

Selain itu, remaja yang berwawasan akan menggunakan rangkaian sosial untuk berkongsi informasi dan ilmu dengan orang lain. Perkongsian ini boleh dilakukan dalam aspek pembelajaran di sekolah dan aktiviti harian mereka supaya semua pihak mengetahui perkara yang sedang berlaku itu. Tindakan ini akan mempercepat penularan sesuatu berita atau perkara penting sesama remaja seperti pembatalan kelas di sekolah dan sebagainya. Ringkasnya, rangkaian sosial menjadikan remaja boleh berkongsi dengan sesiapa sahaja maklumat yang dirasakan perlu dalam mudah.

Bakat dan kebolehan remaja boleh ditonjolkan menerusi rangkaian sosial apabila digunakan dengan sebaik mungkin. Rangkaian sosial seperti facebook boleh memuat naik aksi remaja seperti menyanyi dan memasak lalu aksi ini akan diketahui oleh banyak pihak yang mempunyai rangkaian sosial yang serupa. Pendedahan sebegini bukan sahaja membuka peluang bakat remaja dikenali ramai tetapi peluang untuk menjadi lebih terkenal sehingga kebolehan itu menjadi kerjaya juga amat tinggi untuk berlaku.

Penggunaan rangkaian sosial yang ketara dalam kalangan remaja ialah rangkaian ini memudahkan mereka mencari atau memperoleh kawan baru. Perkenalan yang dibuat menerusi rangkaian sosial begitu mudah kerana tidak memerlukan interaksi bersemuka yang kadang kala boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada seseorang remaja. Apabila mereka berkenalan menerusi kaedah ini pelbagai perkara boleh dibincangkan seperti perbualan kawan dalam dunia nyata tetapi menggunakan telefon bimbit dan komputer sahaja. Lama-kelamaan remaja boleh meluahkan perasaan dan masalah mereka sehingga menjadikan kehidupan remaja yang penuh cabaran itu lebih tenang dan baik.

Remaja juga boleh menggunakan rangkaian sosial untuk mencari bahan bacaan yang diperlukan dalam kehidupan harian mereka. Banyak syarikat penerbitan dan akhbar  serta syarikat telah menggunakan rangkaian sosial untuk mempopularkan bahan mereka terutama apabila berita-berita sensasi berlaku. Remaja boleh membaca bahan ini dengan mudah tanpa perlu membeli bahan bacaan sebenar pula. Sesungguhnya, rangkaian sosial akan menjadi remaja kita lebih berinformasi lalu mampu untuk membuat tindakan yang betul dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya, rangkaian sosial begitu penting dalam kehidupan remaja lalu cara menggunakannya perlulah betul.  Kegagalan untuk menggunakannya dengan tepat akan membawa pelbagai impak seperti kes jenayah dan masa dihabiskan sia-sia pula. Kerajaan bersama-sama masyarakat perlu bersikap terbuka dalam isu ini kerana dunia remaja memang oenuh dengan internet terutamanya rangkaian sosial. Peribahasa ukur baju di badan sendiri seolah-olah menekankan kepentingan remaja menilai sendiri keperluan mereka dalam penggunaan rangkaian sosial itu.








Friday, October 23, 2015

Karangan SPM 2015... Kemahiran remaja perlukan dalam kehidupan mencabar ini

Remaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk kehidupan moden ini.
Huraikan kemahiran-kemahiran itu.

Remaja zaman ini mengalami pelbagai cabaran yang menjadi penentu dalam hala tuju kehidupan mereka tersebut. Cabaran yang berlaku itu apabila gagal diatasi akan menjejaskan kehidupan remaja lalu terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang melanda negara seperti dadah, mat rempit, dan juga jenayah. Berita yang disiarkan menerusi media massa telah membuktikan bahawa banyak remaja gagal meneruskan cabaran hidup kerana tidak memiliki beberapa kemahiran penting dalam kehidupan zaman globalisasi itu. Jadi, apakah kemahiran-kemahiran yang harus dimiliki oleh remaja dalam usaha mereka mengatasi dugaan kehidupan zaman moden ini?

Kemahiran yang paling berguna untuk memudahkan remaja mengharungi cabaran kehidupan zaman ini ialah mereka mahir berkomunikasi dengan orang lain. Remaja yang bijak akan menggunakan pelbagai kaedah komunikasi yang bersesuaian dengan individu yang sedang bersemuka dengan mereka itu. Golongan remaja ini juga mestilah mahir dalam menilai reaksi seseorang apabila diri mereka menerangkan sesuatu perkara lalu membuat perubahan yang difikirkan bersesuaian pula dengan reaksi tersebut. Akibatnya, remaja yang memiliki kemahiran berkomunikasi akan berupaya untuk meluahkan perasaan dan minat serta matlamat mereka dengan lebih tersusun serta jelas kepada orang lain pada bila-bila masa.

Selain itu, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah turut penting dimiliki oleh remaja kerana kehidupan zaman ini menekankan aspek berdikari yang tinggi. Kemelut yang melanda kehidupan remaja amat berbeza daripada masalah yang berlaku pada era ibu bapa mereka lalu memerlukan satu cara penyelesaian yang tidak sama untuk menangani masalah itu. Kaedah penyelesaian itu mestilah bersesuaian dengan peribadi remaja kerana mereka yang akan menanggung segala akibat yang timbul daripada sesuatu penyelesaian masalah itu. Jelaslah, remaja yang memiliki kemahiran menyelesaikan masalah ini mampu mengatasi semua cabaran yang menimpa mereka baik di sekolah, di tempat kerja, dan di rumah itu.

Tambahan pula, remaja yang mampu meneruskan cabaran kehidupan yang penuh gelora ini mestilah mempunyai kemahiran insaniah. Peribadi yang baik, sopan, berbudi bahasa, dan memiliki pegangan keagamaan bersama-sama nilai kemanusiaan sejagat akan menjamin remaja itu hidup bahagia dalam kehidupan era digital ini. Remaja yang memiliki kemahiran ini akan berupaya bergaul dalam kalangan masyarakat yang semakin melupakan erti kemanusiaan yang sejati tersebut. Sesungguhnya, remaja yang memiliki ciri insaniah yang sebenar akan menjadi peneraju yang mencetuskan kewujudan masyarakat yang berhati mulia dalam meneruskan saki-baki kehidupan mereka tersebut.

Kemahiran yang seterusnya melibatkan penguasaan remaja dalam teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu menarik lagi canggih. Golongan muda telah menggunakan teknologi ini sebagai sumber bahan berita atau informasi yang penting dalam kehidupan mereka walaupun ada unsur penipuan yang menjejaskan kredibiliti remaja pula. Remaja yang mahir dalam teknologi ini akan menapis atau memeriksa bahan yang diterima menerusi teknologi komunikasi sebegini sebelum melakukan sebarang tindakan susulan yang boleh menghalang kemudaratan melanda diri sendiri. Maka, remaja yang tinggi kemahiran dalam teknologi komunikasi ini akan terhindar daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan maruah diri dan keluarga mereka pada masa hadapan itu.

Akhir sekali, remaja yang bakal meneruskan kehidupan dengan bahagia ialah remaja yang mempunyai kemahiran khusus dalam arah kendiri atau interpersonal. Kemahlran arah kendiri merujuk kebolehan remaja untuk memotivasikan diri sendiri dalam usaha mencapai matlamat dalam kehidupan mereka pada masa hadapan tersebut. Remaja sebegini akan mampu bangkit semula apabila hidup mereka dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang membawa rasa kesedihan, kekecewaan dan kegagalan yang berulang kali itu. Sebenarnya, remaja yang ada kemahiran arah kendiri akan melihat kegagalan atau kesedihan sebagai satu proses kehidupan yang harus diharungi dalam kehidupan manusia sebenar.

Kesimpulannya, remaja yang hidup pada zaman dunia tanpa sempadan ini haruslah memiliki semua kemahiran yang dihuraikan tadi. Kegagalan untuk memiliki kemahiran tadi akan menjadikan kehidupan remaja begitu sukar untuk diteruskan kerana cabaran yang berlaku tidak memilih bulu lalu menjejaskan kualiti kehidupan remaja. Masyarakat pula hendaklah membantu remaja memiliki kemahiran ini dengan mendidik mereka atau membiarkan mereka menyelesaikan sesuatu cabaran mengikut selera mereka sendiri pula. Peribahasa katak di bawah tempurung perlulah dihindarkan daripada pemikiran remaja kerana dunia moden ini sudah menjadi semakin kecil lalu segala yang berlaku akan memberi kesan kepada remaja yang tidak bersedia untuk berubah sikap.

Thursday, October 22, 2015

Karangan SPM 2015...Peranan ibu bapa dalam membentuk gaya hidup sihat anak


Gaya hidup sihat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam kehidupannya.
Jelaskan peranan ibu bapa untuk memastikan ahli keluarga mereka mengamalkan gaya hidup sihat ini.

Gaya hidup sihat bermaksud kehidupan yang berkualiti dalam menjalani aktiviti harian seseorang insan itu. Aspek gaya hidup itu meliputi perkara fizikal, emosi, mental, pergaulan harian, dan nilai murni serta sebagainya. Media massa telah menguar-uarkan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat kepada masyarakat negara ini menerusi pelbagai program mereka di televisyen, akhbar, dan internet. Namun, apakah peranan ibu bapa dalam menjamin ahli keluarga mereka menjalani gaya hidup yang sihat itu?

Fungsi utama yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa untuk melihat ahli keluarga mereka menjalani gaya hidup sihat ialah golongan tua ini menyediakan pemakanan yang seimbang untuk keluarga. Pemilihan jenis makanan hendaklah dilakukan secara teliti kerana fizikal anak-anak memerlukan khasiat yang betul untuk menjalani kehidupan moden itu. Jenis makanan yang lebih ke arah gentian seperti sayur dan buah-buahan mestilah diutamakan oleh ibu bapa yang prihatin dalam kehidupan yang sihat tersebut. Jadi, ibu bapa yang bijak akan menghidangkan makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk keperluan pemakanan ahli keluarga untuk jangka masa panjang itu.

Selain itu, aktiviti senaman hendaklah digalakkan oleh ibu bapa kepada ahli keluarga mereka setiap hari. Semua ahli keluarga boleh berjalan atau berlari di kawasan taman untuk tempoh tertentu agar tahap kecergasan mereka wujud. Peluh yang keluar ketika bersenam akan membantu ahli keluarga untuk menghakis semua toksik badan lalu menjadikan diri mereka lebih sihat dan bertenaga dalam kehidupan harian. Ringkasnya, senaman perlulah menjadi aktiviti utama ahli keluarga pada zaman ini kerana itulah asas untuk memperoleh satu gaya hidup yang sihat dan berkualiti pula.

Tambahan pula, ajaran berunsur keagamaan boleh diselitkan oleh ibu bapa dalam tindakan mereka untuk memastikan ahli keluarga menjalani gaya hidup sihat tersebut. Kajian sudah membuktikan bahawa ajaran agama menjadi makanan yang berguna untuk mengukuhkan emosi seseorang menjadi lebih baik dalam mengharungi cabaran kehidupan moden yang berubah secara drastik itu. Aktiviti bersembahyang di masjid, gereja, dan kuil perlulah menjadi sesuatu yang lazim dalam keluarga untuk melihat keberkesanan ajaran agama dalam menghasilkan gaya hidup yang sihat itu. Sesungguhnya, ajaran keagamaan menjadi unsur penting dalam melihat kebahagiaan kehidupan yang diharungi oleh mana-mana manusia di dunia ini.

Ibu bapa yang bijak akan menggunakan kaedah pemikiran positif dalam membantu ahli keluarga terutamanya anak untuk memiliki gaya hidup yang sihat. Mereka akan mendidik anak supaya melihat sesuatu cabaran atau musibah yang melanda kehidupan mereka sebagai satu takdir yang boleh diatasi pada masa hadapan. Anak yang dididik oleh ibu bapa sebegini akan berupaya menyelesaikan sebarang kemelut yang berlaku kerana sedar masalah itu tidak akan berkekalan dalam kehidupan mereka. Maka, semua masalah yang melanda akan dilihat daripada sudut positif sehingga jalan penyelesaiannya terbentang luas ditemukan.

Akhir sekali, ibu bapa yang berpengalaman akan memastikan anak mereka mampu bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat tanpa sebarang masalah. Ciri gaya hidup yang sihat turut melibatkan kebolehan seseorang untuk berinteraksi dengan individu lain dalam kehidupan harian yang mencabar itu. Konsep kera sumbang tidak sesuai diamalkan kerana sikap manusia yang memerlukan orang lain untuk menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna. Lantaran itu, ibu bapa yang bijaksana akan mengajak anak mereka untuk terlibat dalam sebarang aktiviti yang menjurus ke arah interaksi dengan individu yang lain pula.

Kesimpulannya, ibu bapa yang berpandangan jauh akan melakukan semua tindakan tadi untuk menjamin ahli keluarga mereka menjalani gaya hidup yang sihat. Mereka sedar bahawa gaya hidup sebegini akan memberikan kekuatan kepada fizikal dan emosi anak mereka lalu memperoleh kejayaan dalam hidup pada masa depan. Namun, ada ahli keluarga yang memandang enteng aspek kehidupan sihat ini lalu enggan mematuhi arahan ibu bapa mereka. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna membuktikan bahawa gaya hidup sihat penting diamalkan sebelum sebarang penyakit mental dan fizikal melanda diri seseorang tersebut.

Wednesday, June 10, 2015

Karangan SPM 2015... sebab pelajar ponteng sekolah

Banyak pelajar pada zaman ini tidak berminat untuk belajar lalu sering ponteng sekolah.

Jelaskan sebab-sebab pelajar ponteng itu.

Ponteng sekolah bermaksud pelajar tidak pergi ke sekolah secara sengaja atau berpura-pura sakit itu. Antara punca yang mendorong pelajar mengambil tindakan ini banyak tetapi sikap diri sendiri turut menjadi penyebab utama isu ponteng semakin menular itu. Kemelut negatif ini telah menjadi satu masalah sosial yang mula mendapat perhatian semua pihak terutamanya daripada pihak kerajaan kita. Lantaran itu, punca-punca yang membawa ponteng sekolah berlaku harus dikaji dan difahami supaya jalan penyelesaiannya boleh diketahui.

Sebab utama pelajar negara ini ponteng sekolah dikaitkan dengan ketiadaan minat untuk belajar di sekolah tersebut. Kajian telah membuktikan bahawa pelajar tidak berminat untuk belajar kerana melihat subjek itu sebagai membosankan, sukar difahami, atau tidak mengetahui kaitan pelajaran itu dengan masa depan mereka. Kegagalan minda pelajar untuk berfikir secara matang tentang masa depan telah menjadikan ketiadaan minat untuk belajar ini sebagai sesuatu yang sukar dikikis. Akibatnya, banyak pelajar mengambil jalan mudah dengan tidak mahu pergi ke sekolah setiap hari itu.





Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan fenomena ponteng sekolah ini semakin menjadi-jadi di kawasan bandar. Kehidupan bandar yang mengutamakan aspek kebendaan telah mendorong ibu bapa memberikan tumpuan khusus terhadap kerjaya mereka lalu menjadikan tugas mendidik anak terabai pula. Situasi ini seolah-olah memberikan tanggapan kepada anak bahawa pendidikan di sekolah itu tidak penting kerana ibu bapa mereka sendiri tidak memberi penekanan pembelajaran di sekolah itu. Maka, kegagalan ibu bapa menjalankan tugas mendidik anak itu telah membuka peluang kepada pelajar untuk terus mengamalkan amalan ponteng sekolah ini.

Tambahan pula, pengaruh rakan telah menjadikan pelajar berani untuk tidak pergi ke sekolah apabila berasa tidak suka itu. Dalam dunia kehidupan pelajar sudah pasti nasihat, teguran, cadangan, dan pujukan rakan sebaya lebih dipercayai daripada kata-kata ibu bapa mereka sendiri. Malangnya, semua cadangan rakan sebaya itu berunsur negatif yang mampu menjejaskan imej pelajar yang masih tercari-cari identiti sendiri itu. Sesungguhnya, pelajar yang mudah dipengaruhi oleh rakan mereka akan lebih terdedah untuk terlibat dalam amalan ponteng sekolah tersebut.

Kemelut ponteng sekolah ini turut berlaku disebabkan cara pengajaran dan pembelajaran sesetengah guru yang tidak menarik itu. Ada guru yang selalu ponteng kelas, tidak bersedia dengan bahan pendidikan, sering bermesyuarat, dan sebagainya yang menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar di kelas pula. Apabila perkara sebegini diamalkan oleh seseorang guru sudah pasti pelajar tidak lagi berminat untuk mendengar penerangan guru mereka ketika berada di dalam kelas itu. Jadi, pelajar sanggup ponteng kerana mereka berpendapat cara pengajaran dan pembelajaran guru tertentu tidak memenuhi keperluan diri mereka itu.

Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa ponteng sekolah sudah menjadi satu wabak yang perlu diselesaikan segera. Semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru perlulah berganding bahu serta mengubah sikap mereka jika mahu kemelut ponteng sekolah ini ditangani secara efektif pula. Kegagalan untuk menghalang budaya ponteng ini bakal menyaksikan banyak pelajar tidak akan menerima pendidikan yang sempurna dalam kehidupan mereka itu. Peribahasa pemuda harapan negara, pemudi tiang bangsa membuktikan bahawa pelajar amat penting untuk kemajuan negara pada masa hadapan terutamanya pelajar yang berpendidikan tinggi itu.

Tuesday, March 17, 2015

Karangan SPM 2015...Langkah-langkah bentuk disiplin seseorang

Disiplin amat penting dalam kehidupan manusia.

Huraikan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membentuk disiplin seseorang.

Disiplin merujuk satu sikap yang mengutamakan pematuhan terhadap peraturan kehidupan masyarakat. Antara contoh disiplin itu meliputi disiplin di sekolah, di rumah, dan juga di pejabat. Pihak media massa melihat isu disiplin ini semakin penting kerana sering menyiarkan sikap remaja yang suka melanggar disiplin terutama di sekolah. Jadi, ada banyak tindakan yang boleh dibuat untuk memastikan diri seseorang itu mempunyai disiplin.

Langkah yang paling mudah melibatkan usaha kerajaan melancarkan kempen tentang disiplin dalam kalangan masyarakat. Kempen ini boleh disiarkan menerusi media massa pada masa perdana terutama di televisyen negara ini. Penayangan kempen menerusi media massa ini memudahkan rakyat untuk memahami kepentingan disiplin dalam kehidupan lalu bersama-sama mengamalkannya pula. Lantaran itu, tindakan menganjurkan kempen sebegini boleh membawa lebih banyak pihak mengamalkan disiplin dalam hidup mereka.

Selain itu, amalan disiplin ini boleh dipupuk melalui usaha ibu bapa memaparkan teladan yang baik. Orang tua yang selalu berdisiplin terutama dalam aspek mematuhi masa dan bekerja boleh memberi impak kepada golongan muda juga. Anak akan memahami kepentingan disiplin setelah melihat ibu bapa mereka berusaha mematuhi disiplin sebaik mungkin. Sesungguhnya, ibu bapa yang memberi teladan sebegini boleh menjadikan generasi muda melihat disiplin sesuatu yang penting dipatuhi.

Malah, kejayaan memiliki rakyat yang berdisiplin boleh dicapai jika pihak sekolah mengenakan disiplin yang ketat. Semua pelajar yang melakukan kesalahan akan dihukum dengan adil dan berpatutan. Pelajar di sekolah ini akan memahami dan menyedari bahawa setiap kesilapan akan ada balasan tertentu. Oleh itu, pengenalan disiplin yang ketat di sekolah boleh mendidik pelajar supaya memahami tindakan mereka boleh menimbulkan pelbagai kesan yang harus ditanggung itu.

Tambahan pula, disiplin ini boleh dipupuk oleh diri remaja itu sendiri. Remaja yang bijak akan melihat disiplin sebagai satu peraturan yang dibuat supaya kehidupan mereka menjadi lebih mudah dan tersusun. Lama-kelamaan, remaja itu menyedari bahawa kejayaan dalam hidup banyak bergantung kepada kemampuan diri mereka untuk mematuhi peraturan yang ada di dunia ini. Jelaslah, diri remaja itu sendiri harus ada sikap mengutamakan disiplin dalam kehidupan mereka sehari-hari itu.

Masyarakat juga mempunyai peranan yang penting untuk memastikan disiplin menjadi kukuh dengan mengamalkan sikap menegur remaja yang tidak berdisiplin. Amalan menegur kesilapan remaja ini perlulah dibuat dengan sopan supaya tidak menimbulkan kemarahan pihak tertentu pula. Tindakan sebegini memberi amaran kepada remaja bahawa kelakuan mereka masih diperhatikan oleh masyarakat terutama kelakuan yang sumbang itu. Akibatnya, remaja lebih berhati-hati untuk melanggar disiplin dalam kehidupan kerana sedar ada pihak yang akan menegur kesilapan mereka itu.


Kesimpulannya, semua tindakan tadi memang mampu untuk memastikan disiplin dalam kalangan masyarakat kita terutama remaja begitu kukuh. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama daripada remaja supaya  melihat disiplin itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya sesuatu yang mengawal mereka. Sikap mengutamakan disiplin ini boleh membantu negara untuk mencapai wawasan yang diidamkan pada masa hadapan pula. Peribahasa harimau mati kerana belangnya mengingatkan kita bahawa kemusnahan sesuatu bangsa itu banyak ditentukan oleh kepatuhan mereka terhadap disiplin dan peraturan dalam kehidupan harian pula.

Tuesday, March 3, 2015

Kesan kemasukan warga asing ke Malaysia?

Kemasukan warganegara asing ke sesebuah negara telah meninggalkan pelbagai kesan.

Jelaskan kesan-kesan kemasukan warganegara asing ke negara tersebut.

Warganegara asing dilihat sebagai satu kelompok manusia yang datang ke sesebuah negara lain pula untuk mencari rezeki. Rakyat dari Indonesia, Myammar, Vietnam, dan Bangladesh dilihat sebagai golongan utama yang datang ke Malaysia. Ada pihak yang menentang kehadiran warganegara asing ini tetapi ada juga yang menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka berdasarkan laporan media massa kita. Jadi, kita semua harus sedar bahawa kehadiran orang luar ini membawa pelbagai impak kepada masyarakat dan negara kita.

Impak yang mudah difahami apabila warganegara asing berleluasa di negara ini ialah kes jenayah akan meningkat secara mendadak. Kajian sudah membuktikan ada kes jenayah seperti rompak dan ragut serta perkosaan dilakukan oleh orang asing terutama mereka yang kesempitan wang itu. Tindakan drastik sebegini juga dilakukan setelah warga asing ini ditipu oleh pihak-pihak tertentu yang menjanjikan pekerjaan sebaik sahaja sampai di negara ini. Sesungguhnya, kehadiran orang asing ini akan menjadikan negara ini tidak selamat kerana kes jenayah terhadap rakyat tempatan terus berlaku secara berleluasa itu.

Selain itu, penyakit berbahaya boleh merebak melalui kehadiran jutaan warganegara asing di negara ini. Masyarakat dunia sudah mengetahui bahawa ada penyakit seperti SARS, H1N1, dan penyakit kelamin yang disebarkan oleh orang luar. Kadar kematian akibat penyakit sebegini begitu tinggi lalu boleh mewujudkan wabak penyakit pula yang memerlukan kerjasama negara serantau untuk mengekang penularannya kelak. Maka, semakin banyak warganegara asing datang ke negara ini semakin tinggilah risiko berlakunya wabak penyakit pada suatu masa nanti.

Tambahan pula, jumlah populasi negara akan menjadi lebih banyak apabila jumlah warga asing ini ditambah semuanya. Masalah ini boleh berlaku kerana ada warga asing itu datang secara haram lalu jumlah sebenar penduduk warga asing ini sukar untuk ditentukan oleh pihak berkuasa. Penduduk yang ramai boleh menyukarkan pihak berkuasa untuk merancang kemudahan awam kerana kepadatan penduduk sukar ditentukan itu. Jelaslah, kerajaan sukar untuk merancang projek kemudahan awam kerana jumlah penduduk tempatan dan asing tidak dapat ditentukan dengan tepat.

Namun, warga asing ini juga boleh menjadikan kos buruh di Malaysia lebih murah berbanding negara jiran. Kebanyakan warga asing ini datang ke Malaysia untuk bekerja dengan kadar upah yang rendah tetapi masih sanggup bekerja dengan tekun. Situasi ini menjadikan kos untuk melakukan sesuatu projek seperti projek pembinaan di negara ini akan menjadi lebih murah apabila banyak menggaji pekerja dari negara asing itu. Oleh itu, kadar buruh di negara ini akan mempunyai daya saing yang bersesuaian dengan keadaan pasaran kerja serantau itu.

Malah, ekonomi negara akan menjadi lebih rancak pertumbuhannya apabila warga asing ini banyak di Malaysia. Negara akan mempunyai ekonomi yang mapan kerana pertumbuhan ekonominya tinggi sepanjang tahun yang disebabkan oleh aktiviti perniagaan yang berterusan tanpa gangguan itu. Perkembangan ekonomi yang sihat ini turut membawa kestabilan politik dan sosial kepada rakyat Malaysia lalu menjadikan kualiti kehidupan lebih baik berbanding negara jiran. Lantaran itu, kemasukan warga asing ini perlulah diterima kerana kehadiran mereka akan memacu ekonomi negara menjadi lebih baik pada masa hadapan.


Kesimpulannya, semua kesan tadi harus dikaji dan diterima oleh masyarakat kita secara terbuka. Semua pihak terutama masyarakat umum perlulah melihat warga asing ini sebagai satu keperluan yang harus dipenuhi dalam kehidupan zaman moden ini. Cuma, kedatangan warga asing ini hendaklah dipantau dengan cara yang lebih efektif dan efisien supaya semua kesan negatif tidak akan berlaku lagi. Peribahasa lain padang lain belalang seolah-olah mengingatkan kita dan warga asing ini supaya meghormati budaya serta peraturan sesuatu tempat yang baru itu agar tidak berlaku sebarang masalah pada kemudian hari.

Tuesday, January 20, 2015

KARANGAN SPM 2015...Sebab-sebab remaja lari dari rumah?

Remaja lari rumah sudah menjadi satu perkara lumrah dalam kehidupan zaman moden ini. 

Jelaskan sebab-sebabnya.

Remaja lari rumah diibaratkan sebagai remaja yang meninggalkan rumah tanpa mendapat keizinan ibu bapa mereka. Kajian telah membuktikan bahawa golongan remaja perempuan dari kawasan bandar lebih banyak lari dari rumah berbanding jantina yang lainnya itu. Media massa telah menggunakan bahan berita sebegini untuk melariskan jualan akhbar mereka atau menarik jumlah penonton ke saluran mereka itu. Sebenarnya, wujud pelbagai faktor yang menyebabkan kemelut ini terus menular dalam kalangan remaja kita tersebut.

Sebab utama ialah ibu bapa pada zaman ini sering mengabaikan amalan mendidik anak mereka itu. Kegagalan ini banyak dikaitkan dengan sikap ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kejayaan kerjaya atau mencari rezeki buat keluarga mereka itu. Remaja akan berasa diri mereka disisihkan oleh ibu bapa kerana tidak ada langsung interaksi dengan orang tua mereka itu untuk tempoh yang panjang pula. Jadi, kegagalan ibu bapa melakukan tugas mendidik itu yang membawa fenomena sosial ini terus berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Selain itu, gejala sosial ini berlaku kerana remaja itu mengalami tekanan yang hebat dalam kehidupan harian mereka. Tekanan ini melibatkan prestasi pelajaran di sekolah yang berdasarkan peperiksaan itu dan juga harapan ibu bapa yang keterlaluan supaya anak mereka berjaya dalam pelajaran tersebut. Remaja yang gagal mengawal tekanan sebegini akan berasa cemas dan tidak tenang dalam kehidupan mereka lalu melihat lari rumah ini sebagai jalan keluar yang paling mudah. Jelaslah, remaja yang tidak boleh mengawal tekanan hidup menjadi golongan yang mudah terlibat dalam amalan buruk ini.

Tambahan pula, pengaruh rakan sebaya turut dilihat menjadi penyebab utama remaja meninggalkan rumah tanpa kebenaran itu. Rakan sebaya yang masih mentah itu pasti memberikan nasihat yang tidak rasional apabila remaja meluahkan perasaan mereka yang tertekan tersebut. Tanpa disedari remaja akan mematuhi nasihat yang diberikan oleh kawannya tanpa memikirkan impak buruk yang berlaku pada masa hadapan itu. Lantaran itu, rakan yang tidak matang pemikirannya akan membawa banyak remaja terjebak dalam perbuatan sumbang ini.

Pengaruh media massa turut mempunyai kaitan dalam penularan perbuatan lari dari rumah ini. Penyiaran program hiburan Barat oleh pihak media massa terutama elektronik ini telah meracuni pemikiran remaja kita tentang erti kehidupan sebenar itu. Lama-kelamaan, minda remaja akan cuba meniru semua tindakan yang dilihat menerusi program tersebut termasuklah tindakan lari dari rumah kerana beranggapan tindakan itu bijak. Sesungguhnya, penyiaran program sebegini membawa minda remaja kita keliru lalu bertindak di luar batas-batas budaya tempatan itu pula.

Malahan, budaya lari rumah ini turut disebabkan oleh sikap remaja itu sendiri terutama dalam mengharungi cabaran hidup ini. Ada remaja yang sengaja mencari masalah kerana mahu diberi perhatian oleh ahli keluarga yang tidak berinteraksi itu. Jika amalan sebegini dibiarkan sudah pasti remaja itu akan mengulangi kesilapan demi kesilapan kerana sedar bahawa keluarga mereka akan terus membantu atau memberikan perhatian apabila sebarang masalah terjadi. Oleh itu, remaja kita yang bersalah dalam isu ini kerana ada remaja yang mempunyai sikap suka menimbulkan masalah dalam kehidupan ini atau berpura-pura itu.


Pendek kata, semua hujah yang dihuraikan tadi membawa budaya lari rumah ini sebagai satu perkara yang lazim berlaku dalam kalangan remaja kita. Semua pihak haruslah berfikiran terbuka dalam menangani isu ini agar masalah sosial ini berjaya dikekang dengan efektif. Jika semua pihak masih berdegil terutamanya ibu bapa yang tidak mahu menerima pandangan hidup anak, sudah pasti gejala lari rumah ini akan berterusan untuk satu jangka masa yang panjang pula. Peribahasa menconteng arang ke muka sendiri harus direnung oleh remaja yang ingin melakukan perkara buruk ini kerana tindakan mereka itu pasti menimbulkan rasa malu terhadap keluarga mereka untuk satu jangka masa yang panjang.

EBUKU KARANGAN SPM 2015

Pelajar semua,

Ebuku karangan ini dijual dengan harga rm10 sahaja. Jika berminat emel saya untuk maklumat lanjut.

Ceria.

Sunday, January 11, 2015

Tingkatan 4 Komsas Baru

Pelajar semua,

Tingkatan 4 akan menggunakan antologi komsas yang baharu. Tajuknya Jaket Kulit Kijang dari Istanbul dan novelnya Leftenan Adnan.