Tuesday, March 17, 2015

Karangan SPM 2015...Langkah-langkah bentuk disiplin seseorang

Disiplin amat penting dalam kehidupan manusia.

Huraikan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membentuk disiplin seseorang.

Disiplin merujuk satu sikap yang mengutamakan pematuhan terhadap peraturan kehidupan masyarakat. Antara contoh disiplin itu meliputi disiplin di sekolah, di rumah, dan juga di pejabat. Pihak media massa melihat isu disiplin ini semakin penting kerana sering menyiarkan sikap remaja yang suka melanggar disiplin terutama di sekolah. Jadi, ada banyak tindakan yang boleh dibuat untuk memastikan diri seseorang itu mempunyai disiplin.

Langkah yang paling mudah melibatkan usaha kerajaan melancarkan kempen tentang disiplin dalam kalangan masyarakat. Kempen ini boleh disiarkan menerusi media massa pada masa perdana terutama di televisyen negara ini. Penayangan kempen menerusi media massa ini memudahkan rakyat untuk memahami kepentingan disiplin dalam kehidupan lalu bersama-sama mengamalkannya pula. Lantaran itu, tindakan menganjurkan kempen sebegini boleh membawa lebih banyak pihak mengamalkan disiplin dalam hidup mereka.

Selain itu, amalan disiplin ini boleh dipupuk melalui usaha ibu bapa memaparkan teladan yang baik. Orang tua yang selalu berdisiplin terutama dalam aspek mematuhi masa dan bekerja boleh memberi impak kepada golongan muda juga. Anak akan memahami kepentingan disiplin setelah melihat ibu bapa mereka berusaha mematuhi disiplin sebaik mungkin. Sesungguhnya, ibu bapa yang memberi teladan sebegini boleh menjadikan generasi muda melihat disiplin sesuatu yang penting dipatuhi.

Malah, kejayaan memiliki rakyat yang berdisiplin boleh dicapai jika pihak sekolah mengenakan disiplin yang ketat. Semua pelajar yang melakukan kesalahan akan dihukum dengan adil dan berpatutan. Pelajar di sekolah ini akan memahami dan menyedari bahawa setiap kesilapan akan ada balasan tertentu. Oleh itu, pengenalan disiplin yang ketat di sekolah boleh mendidik pelajar supaya memahami tindakan mereka boleh menimbulkan pelbagai kesan yang harus ditanggung itu.

Tambahan pula, disiplin ini boleh dipupuk oleh diri remaja itu sendiri. Remaja yang bijak akan melihat disiplin sebagai satu peraturan yang dibuat supaya kehidupan mereka menjadi lebih mudah dan tersusun. Lama-kelamaan, remaja itu menyedari bahawa kejayaan dalam hidup banyak bergantung kepada kemampuan diri mereka untuk mematuhi peraturan yang ada di dunia ini. Jelaslah, diri remaja itu sendiri harus ada sikap mengutamakan disiplin dalam kehidupan mereka sehari-hari itu.

Masyarakat juga mempunyai peranan yang penting untuk memastikan disiplin menjadi kukuh dengan mengamalkan sikap menegur remaja yang tidak berdisiplin. Amalan menegur kesilapan remaja ini perlulah dibuat dengan sopan supaya tidak menimbulkan kemarahan pihak tertentu pula. Tindakan sebegini memberi amaran kepada remaja bahawa kelakuan mereka masih diperhatikan oleh masyarakat terutama kelakuan yang sumbang itu. Akibatnya, remaja lebih berhati-hati untuk melanggar disiplin dalam kehidupan kerana sedar ada pihak yang akan menegur kesilapan mereka itu.


Kesimpulannya, semua tindakan tadi memang mampu untuk memastikan disiplin dalam kalangan masyarakat kita terutama remaja begitu kukuh. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama daripada remaja supaya  melihat disiplin itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya sesuatu yang mengawal mereka. Sikap mengutamakan disiplin ini boleh membantu negara untuk mencapai wawasan yang diidamkan pada masa hadapan pula. Peribahasa harimau mati kerana belangnya mengingatkan kita bahawa kemusnahan sesuatu bangsa itu banyak ditentukan oleh kepatuhan mereka terhadap disiplin dan peraturan dalam kehidupan harian pula.

Tuesday, March 3, 2015

Kesan kemasukan warga asing ke Malaysia?

Kemasukan warganegara asing ke sesebuah negara telah meninggalkan pelbagai kesan.

Jelaskan kesan-kesan kemasukan warganegara asing ke negara tersebut.

Warganegara asing dilihat sebagai satu kelompok manusia yang datang ke sesebuah negara lain pula untuk mencari rezeki. Rakyat dari Indonesia, Myammar, Vietnam, dan Bangladesh dilihat sebagai golongan utama yang datang ke Malaysia. Ada pihak yang menentang kehadiran warganegara asing ini tetapi ada juga yang menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka berdasarkan laporan media massa kita. Jadi, kita semua harus sedar bahawa kehadiran orang luar ini membawa pelbagai impak kepada masyarakat dan negara kita.

Impak yang mudah difahami apabila warganegara asing berleluasa di negara ini ialah kes jenayah akan meningkat secara mendadak. Kajian sudah membuktikan ada kes jenayah seperti rompak dan ragut serta perkosaan dilakukan oleh orang asing terutama mereka yang kesempitan wang itu. Tindakan drastik sebegini juga dilakukan setelah warga asing ini ditipu oleh pihak-pihak tertentu yang menjanjikan pekerjaan sebaik sahaja sampai di negara ini. Sesungguhnya, kehadiran orang asing ini akan menjadikan negara ini tidak selamat kerana kes jenayah terhadap rakyat tempatan terus berlaku secara berleluasa itu.

Selain itu, penyakit berbahaya boleh merebak melalui kehadiran jutaan warganegara asing di negara ini. Masyarakat dunia sudah mengetahui bahawa ada penyakit seperti SARS, H1N1, dan penyakit kelamin yang disebarkan oleh orang luar. Kadar kematian akibat penyakit sebegini begitu tinggi lalu boleh mewujudkan wabak penyakit pula yang memerlukan kerjasama negara serantau untuk mengekang penularannya kelak. Maka, semakin banyak warganegara asing datang ke negara ini semakin tinggilah risiko berlakunya wabak penyakit pada suatu masa nanti.

Tambahan pula, jumlah populasi negara akan menjadi lebih banyak apabila jumlah warga asing ini ditambah semuanya. Masalah ini boleh berlaku kerana ada warga asing itu datang secara haram lalu jumlah sebenar penduduk warga asing ini sukar untuk ditentukan oleh pihak berkuasa. Penduduk yang ramai boleh menyukarkan pihak berkuasa untuk merancang kemudahan awam kerana kepadatan penduduk sukar ditentukan itu. Jelaslah, kerajaan sukar untuk merancang projek kemudahan awam kerana jumlah penduduk tempatan dan asing tidak dapat ditentukan dengan tepat.

Namun, warga asing ini juga boleh menjadikan kos buruh di Malaysia lebih murah berbanding negara jiran. Kebanyakan warga asing ini datang ke Malaysia untuk bekerja dengan kadar upah yang rendah tetapi masih sanggup bekerja dengan tekun. Situasi ini menjadikan kos untuk melakukan sesuatu projek seperti projek pembinaan di negara ini akan menjadi lebih murah apabila banyak menggaji pekerja dari negara asing itu. Oleh itu, kadar buruh di negara ini akan mempunyai daya saing yang bersesuaian dengan keadaan pasaran kerja serantau itu.

Malah, ekonomi negara akan menjadi lebih rancak pertumbuhannya apabila warga asing ini banyak di Malaysia. Negara akan mempunyai ekonomi yang mapan kerana pertumbuhan ekonominya tinggi sepanjang tahun yang disebabkan oleh aktiviti perniagaan yang berterusan tanpa gangguan itu. Perkembangan ekonomi yang sihat ini turut membawa kestabilan politik dan sosial kepada rakyat Malaysia lalu menjadikan kualiti kehidupan lebih baik berbanding negara jiran. Lantaran itu, kemasukan warga asing ini perlulah diterima kerana kehadiran mereka akan memacu ekonomi negara menjadi lebih baik pada masa hadapan.


Kesimpulannya, semua kesan tadi harus dikaji dan diterima oleh masyarakat kita secara terbuka. Semua pihak terutama masyarakat umum perlulah melihat warga asing ini sebagai satu keperluan yang harus dipenuhi dalam kehidupan zaman moden ini. Cuma, kedatangan warga asing ini hendaklah dipantau dengan cara yang lebih efektif dan efisien supaya semua kesan negatif tidak akan berlaku lagi. Peribahasa lain padang lain belalang seolah-olah mengingatkan kita dan warga asing ini supaya meghormati budaya serta peraturan sesuatu tempat yang baru itu agar tidak berlaku sebarang masalah pada kemudian hari.