Friday, October 23, 2015

Karangan SPM 2015... Kemahiran remaja perlukan dalam kehidupan mencabar ini

Remaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk kehidupan moden ini.
Huraikan kemahiran-kemahiran itu.

Remaja zaman ini mengalami pelbagai cabaran yang menjadi penentu dalam hala tuju kehidupan mereka tersebut. Cabaran yang berlaku itu apabila gagal diatasi akan menjejaskan kehidupan remaja lalu terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang melanda negara seperti dadah, mat rempit, dan juga jenayah. Berita yang disiarkan menerusi media massa telah membuktikan bahawa banyak remaja gagal meneruskan cabaran hidup kerana tidak memiliki beberapa kemahiran penting dalam kehidupan zaman globalisasi itu. Jadi, apakah kemahiran-kemahiran yang harus dimiliki oleh remaja dalam usaha mereka mengatasi dugaan kehidupan zaman moden ini?

Kemahiran yang paling berguna untuk memudahkan remaja mengharungi cabaran kehidupan zaman ini ialah mereka mahir berkomunikasi dengan orang lain. Remaja yang bijak akan menggunakan pelbagai kaedah komunikasi yang bersesuaian dengan individu yang sedang bersemuka dengan mereka itu. Golongan remaja ini juga mestilah mahir dalam menilai reaksi seseorang apabila diri mereka menerangkan sesuatu perkara lalu membuat perubahan yang difikirkan bersesuaian pula dengan reaksi tersebut. Akibatnya, remaja yang memiliki kemahiran berkomunikasi akan berupaya untuk meluahkan perasaan dan minat serta matlamat mereka dengan lebih tersusun serta jelas kepada orang lain pada bila-bila masa.

Selain itu, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah turut penting dimiliki oleh remaja kerana kehidupan zaman ini menekankan aspek berdikari yang tinggi. Kemelut yang melanda kehidupan remaja amat berbeza daripada masalah yang berlaku pada era ibu bapa mereka lalu memerlukan satu cara penyelesaian yang tidak sama untuk menangani masalah itu. Kaedah penyelesaian itu mestilah bersesuaian dengan peribadi remaja kerana mereka yang akan menanggung segala akibat yang timbul daripada sesuatu penyelesaian masalah itu. Jelaslah, remaja yang memiliki kemahiran menyelesaikan masalah ini mampu mengatasi semua cabaran yang menimpa mereka baik di sekolah, di tempat kerja, dan di rumah itu.

Tambahan pula, remaja yang mampu meneruskan cabaran kehidupan yang penuh gelora ini mestilah mempunyai kemahiran insaniah. Peribadi yang baik, sopan, berbudi bahasa, dan memiliki pegangan keagamaan bersama-sama nilai kemanusiaan sejagat akan menjamin remaja itu hidup bahagia dalam kehidupan era digital ini. Remaja yang memiliki kemahiran ini akan berupaya bergaul dalam kalangan masyarakat yang semakin melupakan erti kemanusiaan yang sejati tersebut. Sesungguhnya, remaja yang memiliki ciri insaniah yang sebenar akan menjadi peneraju yang mencetuskan kewujudan masyarakat yang berhati mulia dalam meneruskan saki-baki kehidupan mereka tersebut.

Kemahiran yang seterusnya melibatkan penguasaan remaja dalam teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu menarik lagi canggih. Golongan muda telah menggunakan teknologi ini sebagai sumber bahan berita atau informasi yang penting dalam kehidupan mereka walaupun ada unsur penipuan yang menjejaskan kredibiliti remaja pula. Remaja yang mahir dalam teknologi ini akan menapis atau memeriksa bahan yang diterima menerusi teknologi komunikasi sebegini sebelum melakukan sebarang tindakan susulan yang boleh menghalang kemudaratan melanda diri sendiri. Maka, remaja yang tinggi kemahiran dalam teknologi komunikasi ini akan terhindar daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan maruah diri dan keluarga mereka pada masa hadapan itu.

Akhir sekali, remaja yang bakal meneruskan kehidupan dengan bahagia ialah remaja yang mempunyai kemahiran khusus dalam arah kendiri atau interpersonal. Kemahlran arah kendiri merujuk kebolehan remaja untuk memotivasikan diri sendiri dalam usaha mencapai matlamat dalam kehidupan mereka pada masa hadapan tersebut. Remaja sebegini akan mampu bangkit semula apabila hidup mereka dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang membawa rasa kesedihan, kekecewaan dan kegagalan yang berulang kali itu. Sebenarnya, remaja yang ada kemahiran arah kendiri akan melihat kegagalan atau kesedihan sebagai satu proses kehidupan yang harus diharungi dalam kehidupan manusia sebenar.

Kesimpulannya, remaja yang hidup pada zaman dunia tanpa sempadan ini haruslah memiliki semua kemahiran yang dihuraikan tadi. Kegagalan untuk memiliki kemahiran tadi akan menjadikan kehidupan remaja begitu sukar untuk diteruskan kerana cabaran yang berlaku tidak memilih bulu lalu menjejaskan kualiti kehidupan remaja. Masyarakat pula hendaklah membantu remaja memiliki kemahiran ini dengan mendidik mereka atau membiarkan mereka menyelesaikan sesuatu cabaran mengikut selera mereka sendiri pula. Peribahasa katak di bawah tempurung perlulah dihindarkan daripada pemikiran remaja kerana dunia moden ini sudah menjadi semakin kecil lalu segala yang berlaku akan memberi kesan kepada remaja yang tidak bersedia untuk berubah sikap.

No comments:

Post a Comment