Monday, October 26, 2015

Karangan spm 2015... Penggunaan rangkaian sosial yang betul oleh remaja



Penggunaan aplikasi rangkaian sosial begitu meluas dalam kalangan remaja masa kini.

Huraikan cara-cara remaja memanfaatkan laman sosial itu?

Rangkaian sosial merujuk penggunaan perisian internet dalam membuat hubungan sosial atau interaksi sesama manusia pada zaman ini. Kajian membuktikan bahawa rangkaian sosial seperti facebook, twitter, instagram, dan sebagainya telah menjadi peneraju dalam interaksi sesama manusia terutamanya dalam kalangan remaja. Kekerapan remaja menggunakan rangkaian sosial telah mencetuskan pelbagai kritikan sosial yang turut mengundang wacana daripada masyarakat umum. Jadi, apakah kaedah-kaedah yang betul dalam penggunaan rangkaian sosial ini buat remaja?

Penggunaan yang sewajarnya ialah remaja menggunakannya untuk berkomunikasi dan berhubung dengan pantas dan mudah. Remaja yang mahir dalam rangkaian sosial ini memerlukan satu sentuhan sahaja untuk bertanya khabar atau berbual dengan ibu bapa dan rakan mereka. Pemilikan telefon bimbit yang semakin canggih telah menjadikan kaedah komunikasi sebegini satu cara hidup remaja yang menarik untuk diperhatikan oleh sesiapa sahaja. Jelaslah, rangkaian sosial boleh digunakan oleh remaja untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan insan lain di dunia ini.

Selain itu, remaja yang berwawasan akan menggunakan rangkaian sosial untuk berkongsi informasi dan ilmu dengan orang lain. Perkongsian ini boleh dilakukan dalam aspek pembelajaran di sekolah dan aktiviti harian mereka supaya semua pihak mengetahui perkara yang sedang berlaku itu. Tindakan ini akan mempercepat penularan sesuatu berita atau perkara penting sesama remaja seperti pembatalan kelas di sekolah dan sebagainya. Ringkasnya, rangkaian sosial menjadikan remaja boleh berkongsi dengan sesiapa sahaja maklumat yang dirasakan perlu dalam mudah.

Bakat dan kebolehan remaja boleh ditonjolkan menerusi rangkaian sosial apabila digunakan dengan sebaik mungkin. Rangkaian sosial seperti facebook boleh memuat naik aksi remaja seperti menyanyi dan memasak lalu aksi ini akan diketahui oleh banyak pihak yang mempunyai rangkaian sosial yang serupa. Pendedahan sebegini bukan sahaja membuka peluang bakat remaja dikenali ramai tetapi peluang untuk menjadi lebih terkenal sehingga kebolehan itu menjadi kerjaya juga amat tinggi untuk berlaku.

Penggunaan rangkaian sosial yang ketara dalam kalangan remaja ialah rangkaian ini memudahkan mereka mencari atau memperoleh kawan baru. Perkenalan yang dibuat menerusi rangkaian sosial begitu mudah kerana tidak memerlukan interaksi bersemuka yang kadang kala boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada seseorang remaja. Apabila mereka berkenalan menerusi kaedah ini pelbagai perkara boleh dibincangkan seperti perbualan kawan dalam dunia nyata tetapi menggunakan telefon bimbit dan komputer sahaja. Lama-kelamaan remaja boleh meluahkan perasaan dan masalah mereka sehingga menjadikan kehidupan remaja yang penuh cabaran itu lebih tenang dan baik.

Remaja juga boleh menggunakan rangkaian sosial untuk mencari bahan bacaan yang diperlukan dalam kehidupan harian mereka. Banyak syarikat penerbitan dan akhbar  serta syarikat telah menggunakan rangkaian sosial untuk mempopularkan bahan mereka terutama apabila berita-berita sensasi berlaku. Remaja boleh membaca bahan ini dengan mudah tanpa perlu membeli bahan bacaan sebenar pula. Sesungguhnya, rangkaian sosial akan menjadi remaja kita lebih berinformasi lalu mampu untuk membuat tindakan yang betul dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya, rangkaian sosial begitu penting dalam kehidupan remaja lalu cara menggunakannya perlulah betul.  Kegagalan untuk menggunakannya dengan tepat akan membawa pelbagai impak seperti kes jenayah dan masa dihabiskan sia-sia pula. Kerajaan bersama-sama masyarakat perlu bersikap terbuka dalam isu ini kerana dunia remaja memang oenuh dengan internet terutamanya rangkaian sosial. Peribahasa ukur baju di badan sendiri seolah-olah menekankan kepentingan remaja menilai sendiri keperluan mereka dalam penggunaan rangkaian sosial itu.








No comments:

Post a Comment