Thursday, October 22, 2015

Karangan SPM 2015...Peranan ibu bapa dalam membentuk gaya hidup sihat anak


Gaya hidup sihat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam kehidupannya.
Jelaskan peranan ibu bapa untuk memastikan ahli keluarga mereka mengamalkan gaya hidup sihat ini.

Gaya hidup sihat bermaksud kehidupan yang berkualiti dalam menjalani aktiviti harian seseorang insan itu. Aspek gaya hidup itu meliputi perkara fizikal, emosi, mental, pergaulan harian, dan nilai murni serta sebagainya. Media massa telah menguar-uarkan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat kepada masyarakat negara ini menerusi pelbagai program mereka di televisyen, akhbar, dan internet. Namun, apakah peranan ibu bapa dalam menjamin ahli keluarga mereka menjalani gaya hidup yang sihat itu?

Fungsi utama yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa untuk melihat ahli keluarga mereka menjalani gaya hidup sihat ialah golongan tua ini menyediakan pemakanan yang seimbang untuk keluarga. Pemilihan jenis makanan hendaklah dilakukan secara teliti kerana fizikal anak-anak memerlukan khasiat yang betul untuk menjalani kehidupan moden itu. Jenis makanan yang lebih ke arah gentian seperti sayur dan buah-buahan mestilah diutamakan oleh ibu bapa yang prihatin dalam kehidupan yang sihat tersebut. Jadi, ibu bapa yang bijak akan menghidangkan makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk keperluan pemakanan ahli keluarga untuk jangka masa panjang itu.

Selain itu, aktiviti senaman hendaklah digalakkan oleh ibu bapa kepada ahli keluarga mereka setiap hari. Semua ahli keluarga boleh berjalan atau berlari di kawasan taman untuk tempoh tertentu agar tahap kecergasan mereka wujud. Peluh yang keluar ketika bersenam akan membantu ahli keluarga untuk menghakis semua toksik badan lalu menjadikan diri mereka lebih sihat dan bertenaga dalam kehidupan harian. Ringkasnya, senaman perlulah menjadi aktiviti utama ahli keluarga pada zaman ini kerana itulah asas untuk memperoleh satu gaya hidup yang sihat dan berkualiti pula.

Tambahan pula, ajaran berunsur keagamaan boleh diselitkan oleh ibu bapa dalam tindakan mereka untuk memastikan ahli keluarga menjalani gaya hidup sihat tersebut. Kajian sudah membuktikan bahawa ajaran agama menjadi makanan yang berguna untuk mengukuhkan emosi seseorang menjadi lebih baik dalam mengharungi cabaran kehidupan moden yang berubah secara drastik itu. Aktiviti bersembahyang di masjid, gereja, dan kuil perlulah menjadi sesuatu yang lazim dalam keluarga untuk melihat keberkesanan ajaran agama dalam menghasilkan gaya hidup yang sihat itu. Sesungguhnya, ajaran keagamaan menjadi unsur penting dalam melihat kebahagiaan kehidupan yang diharungi oleh mana-mana manusia di dunia ini.

Ibu bapa yang bijak akan menggunakan kaedah pemikiran positif dalam membantu ahli keluarga terutamanya anak untuk memiliki gaya hidup yang sihat. Mereka akan mendidik anak supaya melihat sesuatu cabaran atau musibah yang melanda kehidupan mereka sebagai satu takdir yang boleh diatasi pada masa hadapan. Anak yang dididik oleh ibu bapa sebegini akan berupaya menyelesaikan sebarang kemelut yang berlaku kerana sedar masalah itu tidak akan berkekalan dalam kehidupan mereka. Maka, semua masalah yang melanda akan dilihat daripada sudut positif sehingga jalan penyelesaiannya terbentang luas ditemukan.

Akhir sekali, ibu bapa yang berpengalaman akan memastikan anak mereka mampu bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat tanpa sebarang masalah. Ciri gaya hidup yang sihat turut melibatkan kebolehan seseorang untuk berinteraksi dengan individu lain dalam kehidupan harian yang mencabar itu. Konsep kera sumbang tidak sesuai diamalkan kerana sikap manusia yang memerlukan orang lain untuk menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna. Lantaran itu, ibu bapa yang bijaksana akan mengajak anak mereka untuk terlibat dalam sebarang aktiviti yang menjurus ke arah interaksi dengan individu yang lain pula.

Kesimpulannya, ibu bapa yang berpandangan jauh akan melakukan semua tindakan tadi untuk menjamin ahli keluarga mereka menjalani gaya hidup yang sihat. Mereka sedar bahawa gaya hidup sebegini akan memberikan kekuatan kepada fizikal dan emosi anak mereka lalu memperoleh kejayaan dalam hidup pada masa depan. Namun, ada ahli keluarga yang memandang enteng aspek kehidupan sihat ini lalu enggan mematuhi arahan ibu bapa mereka. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna membuktikan bahawa gaya hidup sihat penting diamalkan sebelum sebarang penyakit mental dan fizikal melanda diri seseorang tersebut.

No comments:

Post a Comment