Friday, May 20, 2016

Karangan SPM 2016...Punca wabak penyakit berlaku?

Penularan penyakit dikaitkan dengan sikap seseorang itu.
Jelaskan isu ini.

Penularan wabak penyakit dikaitkan sebagai merebaknya sesuatu penyakit dalam kalangan masyarakat sehingga menimbulkan kegawatan yang melampau pula. Wabak penyakit yang sering melanda negara ini meliputi penyakit taun, malaria, denggi dan selesema babi yang mengorbankan nyawa penduduk Malaysia. Masalah wabak ini sering mendapat liputan pihak media massa dan pelbagai pihak mula menuding jari dalam usaha menyalahkan satu sama lain. Sebenarnya, wabak penyakit ini merebak disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak mengutamakan aspek kesihatan dalam kehidupan harian mereka.

Amalan negatif masyarakat kita yang menyebabkan penyebaran wabak penyakit dikaitkan dengan sikap masyarakat yang tidak membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka. Ada pihak yang membiarkan sahaja kawasan longkang mereka bertakung untuk beberapa bulan sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang berbahaya itu. Pembiakan nyamuk ini telah membawa penyebaran demam denggi yang boleh meragut nyawa manusia apabila tidak menerima rawatan segera itu. Akibatnya, wabak penyakit seperti demam denggi akan terus merebak kerana masyarakat kita tidak membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka tersebut.

Selain itu, sikap sebahagian kecil ahli masyarakat yang hanya membersihkan kawasan rumah mereka sedangkan kawasan berhampiran kotor turut menyumbang merebaknya penyakit di Malaysia. Mereka begitu serius membersihkan halaman rumah dan memastikan tidak ada sebarang tempat yang boleh menjadi pembiakan vektor penyakit tanpa menyedari kawasan taman permainan dan kawasan balai serba guna begitu kotor. Peribahasa kerana seekor kerbau membawa lumpur habis terpalit semuanya telah menyebabkan kesilapan seorang di kawasan kejiranan telah membawa musibah kepada semua penduduk pula. Sesungguhnya, wabak penyakit tidak akan berlaku apabila semua pihak memahami tugas mereka dalam memastikan kebersihan kawasan satu keutamaan penting.

Bukan sahaja keengganan menjaga kawasan persekitaran dan kediaman menjadi bersih yang mendorong penularan penyakit tetapi amalan membuang sampah merata-rata atau bukan ke dalam tong sampah telah menjadi kemelut ini meruncing. Sikap buruk ini menyukarkan pihak majlis perbandaran untuk mengutip sampah lalu menjadikan kawasan persekitaran lebih bersih begitu sukar.  Apabila perkara ini berlanjutan sudah pasti terdapat longgokan sampah di kawasan perumahan yang menjadi tempat pembiakan tikus dan lalat yang menyebarkan wabak penyakit itu. Jelaslah, sikap membuang sampah tanpa kawalan ini menyebabkan negara kita terus mengalami pelbagai jenis wabak penyakit yang berbahaya.

Kekurangan ilmu kesihatan atau maklumat tentang penyakit turut menjadikan risiko penyebaran penyakit di negara ini terus meningkat saban tahun. Penduduk negara ini seolah-olah tidak mahu memahami amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tentang sesuatu penyakit yang melanda negara. Golongan sebegini berpendapat mereka tidak akan menerima penyakit berbahaya itu kerana tidak memahami kesan atau cara penyakit tertentu berjangkit kepada orang lain. Sikap tidak peduli masyarakat ini bolehlah disamakan dengan peribahasa sudah terhantuk baru tengadah kerana hanya mengambil langkah pencegahan setelah penyakit itu merebak atau berlaku dalam kalangan keluarga sendiri.

Penyebaran wabak penyakit di Malaysia boleh disebabkan oleh sikap pengusaha premis makanan yang mengabaikan aspek kebersihan terutamanya dalam penyediaan makanan. Mereka tidak memastikan pekerja sihat dan bersih serta kawasan premis makanan mereka dibiarkan begitu sahaja sehingga menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis virus penyakit berbahaya. Kejadian keracunan makanan kerap berlaku di kawasan premis makanan bersama-sama wabak taun kerana semua ini dikaitkan dengan tahap kebersihan yang rendah. Ringkasnya, penyakit berjangkit akan berlaku selagi pihak pengusaha makanan tidak mahu berubah sikap dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam penyediaan makanan mereka.

Kesimpulannya, wabak penyakit berlaku akibat kesilapan manusia sendiri dalam menjalani kehidupan harian mereka. Jika kita masih enggan mengakui perkara ini semakin mudahlah masyarakat kita dilanda pelbagai wabak penyakit pada masa depan. Pihak kerajaan hendaklah mengambil langkah tegas dalam mengekang penularan wabak penyakit tanpa kompromi itu. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang menekankan pentingnya usaha gigih kerajaan dalam menyelesaikan kemelut ini.

No comments:

Post a Comment