Monday, August 29, 2016

Cara-cara melestarikan alam sekitar

Kemusnahan alam sekitar di negara ini terus berlaku. Banyak kawasan hutan, bukit, dan sungai serta tasik dimusnahkan begitu sahaja.

Jelaskan cara-cara untuk melestarikan alam sekitar.

Oleh: Muhammad Firdaus

Mutakhir ini, secara sedar atau tidak sedar lantaran dihidangkan dengan sains dan teknologi, watan menghadapi kepincangan tentang alam sekitar yang makin teruk. Dalam milenium ini, tatkala tanah air kita rancak menari mengikut rentak arus modenasi dan globalisasi dalam konteks pembangunan fizikal yang diibaratkan cendawan yang tumbuh selepas hujan onak dan kelangan sebagai tamsilan, kemusnahan alam sekitar dan seumpamanya lagi makin membarah dan menjadi polemik yang meniti dari bibir ke bibir masyarakat. Kalau ditanya siapa dalangnya atau dari manakah akar umbinya masing - masing akan menuding jari sesama sendiri. Tambahan pula, kancah yang rumit ini memberi pelbagai impak. Justeru, ingin saya lontarkan usaha-usaha untuk melestarikan alam sekitar untuk kegunaan masa hadapan.
     
     Kaedah pertama yang boleh dilakukan ialah melalui penguatkuasaan undang-undang mengenai pembalakan pokok dan pembuangan sampah. Hal ini demikian kerana punca utama berlakunya kemusnahan alam sekitar ialah melalui aktiviti pembalakan dan pembuangan sampah yang tidak bermoral secara berleluasa. Sebagai contoh, aktiviti pembalakan dilakukan oleh pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab kerana ingin membina kediaman atau perumahan bertaraf jutaan ringgit. Hasil pembalakan itu telah menyebabkan pokok-pokok yang ditebang musnah dan kesannya boleh kita terima apabila kekurangan bekalan oksigen melalui pokok-pokok ini. Jadi, pelaksanaan undang- undang yang ketat harus dilakukan agar pihak-pihak sebegini takut untuk merosakkan alam sekitar sewenang-wenangnya. Oleh itu, pelaksanaan undang-undang yang ketat merupakan cara yang baik untuk melestarikan alam sekitar.

  Selain itu, peranan pihak sekolah juga penting dalam mengharmonikan alam sekitar di negara kita melalui kempen-kempen "Sayangi Alam Sekitar" di sekolah. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan pelajar sekolah lebih peka tentang alam sekitar dan mereka seharusnya menjaga khazanah Allah ini dengan sebaik- baiknya. Kempen- kempen ini juga dapat membuka minda pelajar bahawa tanpa alam sekitar, kehidupan manusia sejagat akan menjadi kronik dan susah. Sebagai pelajar, mereka harus bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjaga alam sekitar ini seperti membuang sampah di tempat yang betul dan menanam lebih banyak tanaman di kawasan persekolan. Jadi, kempen-kempen di sekolah juga sangat penting dalam menjamin kestabilan alam sekitar di Malaysia.

    Seterusnya, media massa amat berperanan dalam usaha melestarikan alam sekitar. Hal ini kerana mereka mampu memaparkan tentang akibat kemusnahan alam sekitar kepada seluruh masyarakat melalui iklan-iklan di televisyen, laman sesawang dan radio. Cara ini sememangnya berkesan kerana pada abad ke -21 ini, manusia lebih meluangkan masa bersama alat- alat elektronik mereka  , jadi mereka akan mendapati kesan-kesan sekiranya alam sekitar tidak dipelihara hanya melalui internet.  Oleh itu, Masyarakat akan berganding bahu menyelesaikan polemik ini sebaik mungkin dan landskap alam sekitar akan menjadi baik. Oleh yang demikian, peranan media massa merupakan peranan yang penting dan efektif bagi melestarikan alam sekitar.

    Di samping itu, amalan kitar semula perlulah dilakukan. Hal ini kerana kitar semula memainkan peranan yang penting dalam pengurusan alam sekitar dan alam semulajadi yang mapan. Sebagai contoh, jika kertas dapat dikitar semula secara maksimum, kita dapat mengurangkan beribu tan sampah sehari yang bersamaan berpuluh ribu pokok. Impaknya, kita dapat menyelamatkan alam sekitar dan mengurangkan kos sumber tenaga serta menambahkan pendapatan keluarga bak kata peribahasa sambil menyelam minum air. Pendek kata, amalan kitar semula harus dipraktikkan oleh semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum supaya generasi akan datang dapat menikmati keindahan alam sekitar di negara kita ini. Jadi, amalan kitar semula juga amatlah penting untuk menjamin dan melestarikan alam.


   Intihannya, potongan kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri kita yang ke-4 bahawa rakyat Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki minda kelas ketiga sewajarnya kita hayati. Lantas, semua pihak harus menjalinkan sinergi persis isi dengan kuku dalam usaha melestarikan alam sekitar. Ironinya, jika kita tiada kata sepakat tiadanya ukhwah dalam ummah, maka runtuhlah harapan yang tinggi menggunung kerana bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat. Oleh itu, sekiranya harapan tersebut menjadi realiti dan bukan sekadar ilusi hasrat dan aspirasi negara-negara maju yang lain mampu digamit dan direalisasi.

2 comments:

  1. izinkan saya copy ilmu ni utk rujukan dn pmbljrn saya yer..^_^tq

    ReplyDelete
  2. terima kasih. ada sesetengah info yang saya guna untuk karangan saya

    ReplyDelete