Monday, August 1, 2016

Karangan SPM... Kesan harga beras naik


Beras merupakan makanan ruji masyarakat Malaysia. Peningkatan harga makanan ini baru-baru ini telah mengejutkan masyarakat.

Huraikan kesan kenaikan harga beras mahal itu.

Kenaikan harga beras bermaksud harga jualan untuk produk beras melambung tinggi disebabkan oleh pelbagai faktor itu. Ada pihak yang mengaitkan kenaikan harga beras ini disebabkan oleh serangan penyakit terhadap tanaman padi dan juga kos baja untuk padi serta sikap orang tengah yang mengaut keuntungan tinggi. Isu kenaikan harga beras ini telah mendapat tempat utama dalam semua penyiaran media massa negara terutamanya televisyen sehingga menimbulkan sedikit kekecohan yang menakutkan itu. Jelaslah, isu kenaikan harga beras telah menimbulkan banyak impak buruk terhadap kehidupan masyarakat kita.

Akibat yang berlaku apabila harga beras melambung tinggi ialah kes-kes kebuluran dalam kalangan rakyat akan menjadi-jadi. Kejadian ini boleh berlaku kerana ada rakyat yang miskin tidak berupaya untuk membayar harga sekampit beras yang mahal itu dalam kehidupan mereka. Lama-kelamaan akan berlaku kes-kes manusia mati kerana tidak mempunyai makanan untuk satu tempoh yang lama itu. Jadi, kenaikan harga beras memang akan membawa berlakunya kes kebuluran dalam kalangan masyarakat di Malaysia tersebut.

Selain itu, sejarah telah membuktikan bahawa kenaikan harga barang berupaya menimbulkan kekacauan sosial di sesebuah negara itu. Sebarang tindakan menaikkan harga beras sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam jiwa rakyat yang bangun untuk menentang tindakan kerajaan itu. Apabila kekacauan sosial yang bermula sebagai tunjuk perasaan ini tidak dikawal sudah pasti kemarahan itu bertukar corak menjadi keganasan yang boleh menghancurkan kestabilan politik negara. Lantaran itu, kekacauan sosial yang tidak terkawal akan menjadikan situasi lebih kronik seperti kematian manusia gara-gara harga beras melambung tinggi.

Tambahan pula, tindakan menaikkan harga beras boleh menyebabkan pengeluar makanan lain turut berhasrat untuk meninggikan harga keluaran mereka. Langkah ini diambil oleh pengeluar gandum, gula, dan garam kerana melihat produk mereka turut perlu diberi kenaikan harga yang baru. Kerajaan tidak ada pilihan selain bersetuju dengan permintaan pengeluar bahan makanan ini kerana tidak mahu dilihat sebagai bersikap pilih kasih pula. Maka, harga beras yang mahal akan membawa kenaikan harga bahan makanan lain di Malaysia pada masa yang sama.

Pada masa yang sama, kemelut harga beras yang mahal ini turut menjejaskan perjalanan sektor makanan negara terutamanya pengusaha kedai makan. Mereka akan mengalami dilema kerana terpaksa meninggikan harga makanan tetapi akan menerima pelbagai kritikan daripada pengguna yang mendakwa tindakan itu keterlaluan pula. Jika isu ini gagal ditangani secara efektif sudah pasti perniagaan mereka akan mengalami kemerosotan daripada segi keuntungan lalu peluang mereka memecat pekerja pasti akan menjadi tinggi. Ringkasnya, perniagaan di negara ini akan mengalami kemelesetan yang ketara jika masalah kenaikan harga beras tidak diselesaikan secara rasional.

Kesimpulannya, harga beras yang tinggi boleh menyebabkan kehidupan rakyat negara ini menderita umpama kais pagi makan pagi kais petang makan petang itu. Kerajaan perlulah bertindak segera dalam menyelesaikan kemelut ini dengan memperkenalkan pelbagai langkah pengawalan yang efektif. Kegagalan untuk bertindak segera bakal menyaksikan harga beras akan terus melambung kerana aspek mengaut keuntungan berlipat kali ganda menjadi keutamaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Sudah sampai masanya semua pihak duduk semeja untuk memastikan nasib rakyat terbela.

2 comments: