Tuesday, August 23, 2016

Kepentingan konsep bandar dalam taman terhadap negara dan rakyat Malaysia

Kita perlu berbangga kerana negara kita merupakan negara yang mengutamakan pembangunan mesra alam berkonsepkan bandar dalam taman.
Huraikan kepentingan konsep bandar dalam taman terhadap rakyat dan negara kita.

Kemajuan dalam aspek pembangunan dan perancangan bandar telah menemukan satu formula baharu untuk mengekalkan kelestarian warisan alam. Konsep mengutamakan pembangunan negara yang mesra alam telah menjadi satu unsur penting dalam pembangunan negara. Lihat sahaja pembanggunan di Shah Alam dan Putrajaya yang membuktikan kesungguhan negara ini dalam mengetengahkan konsep bandar dalam taman tersebut. Sebenarnya, konsep bandar dalam taman ini membawa banyak kepentingannya terhadap rakyat dan negara.

Faedah utama yang dibawa oleh konsep bandar dalam taman ini melibatkan keupayaan negara menjaga keseimbangan alam dan eskosistem dengan efektif. Keseimbangan ini berlaku kerana faktor kadar penebangan hutan dengan kadar pertumbuhan hutan dijaga dengan baik oleh mana-mana pihak yang membangunkan sesuatu projek pembangunan itu. Situasi ini menjamin kewujudan kehijauan alam sekitar untuk satu tempoh yang lama buat sesuatu kawasan yang dibangunkan oleh kerajaan itu. Ringkasnya, pelan pembangunan sesuatu kawasan dirancang dengan teliti kerana setiap pembangunan mengutamakan alam sekitar.

Selain itu, pembangunan berteraskan konsep ini berupaya mengurangkan pencemaran alam dengan begitu mudah. Semua pembangunan terutama yang melibatkan sistem pengangkutan awam mengutamakan istilah mesra alam itu. Penggunaan bahan api dikurangkan untuk menjaga kualiti udara menerusi pembinaan sistem transit aliran ringan yang berupaya menghubungkan mana-mana destinasi di sesuatu bandar itu dalam tempoh yang pantas. Alam juga tidak tercemar kerana pembangunan mesra alam turut mengutamakan pembinaan sistem pembetungan yang berkualiti untuk memastikan sumber air terutama untuk kegunaan penduduk tidak tercemar.

Tambahan pula, pembangunan berteraskan bandar dalam taman akan menyediakan suasana kehidupan yang berkualiti buat penduduk setempat. Semua aktiviti pembangunan dilakukan tanpa mengabaikan keindahan alam sekitar yang sudah lama wujud tersebut. Landskap yang menarik dihasilkan oleh pihak pemaju untuk menggantikan binaan hutan batu yang menjadi amalan utama dalam pembangunan sebelum ini. Akibatnya, rakyat dapat menikmati keindahan alam di depan mata mereka tanoa perlu kembali ke kampung halaman untuk melihat keindahan tersebut.

Kehidupan moden telah menyebabkan manusia semakin tertekan lalu usaha menjadikan konsep bandar dalam taman satu realiti akan membantu rakyat negara ini menenangkan fikiran dan menghilangkan tekanan kehidupan tersebut. Pelbagai kawasan riadah dengan kemudahan yang mesra pengguna dibina sehingga menarik minat rakyat untuk beriadah sepanjang masa. Tindakan ini akan menjadikan kualiti kesihatan diri dan mental rakyat menjadi bertambah baik untuk satu tempoh tertentu.  Lama-kelamaan, kehidupan masyarakat di negara ini akan menjadi lebih tenang dan harmoni kerana negara mengutamakan pembangunan yang seimbang dalam perancangan pemodenan itu.

Impak terakhir pelaksanaan konsep bandar dalam taman ialah negara ini akan menarik lebih banyak pelancong terutama pelancong asing untuk melawat Malaysia. Golongan pelancong ini pastinya akan mudah terpesona dengan keindahan dan kekreatifan perancang bandar negara ini dalam merancang sebarang pembangunan tersebut. Pelancong akan memuji sikap rakyat negara ini yang begitu mengutamakan kemodenan tetapi masih mengekalkan kehijauan dan keaslian alam sekitar yang sukar untuk diperoleh di negara asal mereka itu. Sudah pasti apabila mereka kembali ke negara asal pelbagai cerita tentang keindahan negara terutama kesungguhan rakyat Malaysia mengekalkan keseimbangan pemodenan dan alam sekitar akan menjadi buah mulut masyarakat di sana.

Kesimpulannya, konsep bandar dalam taman perlu diwujudkan di negara ini dengan lebih banyak. Pelbagai faedah timbul sama ada daripada segi ekologi dan ekonomi kepada rakyat serta negara ini secara tidak langsung. Pembangunan negara ini hendaklah mengikut acuan kita sendiri kerana langkah sebegini beruoaya menaikkan nama negara pada mata masyarakat dunia pula. Namun, sokongan rakyat amat diperlukan untuk menjayakan pelaksanaan konsep sebegini bak kata pepatah bersatu teguh bercerai roboh yang menekankan peri pentingnya kerjasama masyarakat dalam kehidupan moden ini.

1 comment: