Wednesday, September 7, 2016

Masalah yang ditimbulkan oleh mat rempit di Malaysia?

Budaya mat rempit semakin menjadi-jadi di negara ini terutama di kawasan bandar.
Jelaskan masalah-masalah yang timbul ekoran menukarnya budaya ini.

Mat rempit dikategorikan sebagai golongan yang suka menunggang motosikal secara berbahaya di jalan raya. Sudah banyak pihak menyuarakan rasa meluat mereka melihat gelagat ngeri mat rempit di jalanan itu. Kemelut ini dirumitkan pula oleh kejadian kematian yang bertambah saban tahun akibat kemalangan yang berlaku itu. Jadi, apakah masalah yang ditimbulkan oleh golongan ini pada mata masyarakat umum di negara ini?

Perkara buruk yang berlaku apabila mat rempit bermaharajalela di jalanan ialah mereka menimbulkan kemalangan di jalan raya. Gaya atau aksi menunggang yang berbahaya boleh memberikan tekanan kepada pengguna lain sehingga kemalangan berlaku dalam sekelip mata. Ada pengguna jalan raya lain yang tidak boleh mengawal kenderaan mereka apabila mat rempit secara tiba-tiba muncul di sebelah mereka itu kerana berasa terkejut atau tahap penguasaan memandu mereka tidak semahir orang lain.  Akibatnya, risiko kemalangan tinggi jika mat rempit menunggang di jalan raya terutama di kawasan yang sesak dengan pengguna lainnya.

Selain itu, kajian telah membuktikan kumpulan mat rempit menjadi dalang kegiatan jenayah terutama aktiviti jenayah jalanan. Mereka melakukan banyak kes ragut, mencuri, dan mengedar dadah yang menjadi punca pihak polis memandang rendah golongan ini. Aktiviti jenayah ini berlaku kerana mat rempit memerlukan sumber kewangan untuk menyara kehidupan harian mereka terutamanya untuk menyelenggarakan motosikal yang istimewa itu. Lama-kelamaan, mat rempit menjadi kumpulan samseng yang menjalankan aktiviti jenayah pula sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.

Gejala sosial turut menjadi-jadi apabila budaya mat rempit berlaku di sesuatu kawasan itu. Aktiviti bergaul berbeza jantina, pulang lewat malam, dan membuat bising telah menimbulkan kemarahan penduduk setempat terhadap mat rempit. Golongan pelajar yang melihat budaya mat rempit ini mungkin terpengaruh lalu mereka turut menyertainya setelah menamatkan alam persekolahan kerana melihat budaya sosial yang berlaku itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan pula. Jelaslah, mat rempit menjadikan gejala sosial sebahagian daripada aktiviti harian mereka sehingga menimbulkan satu budaya baharu pula di sesuatu kawasan.

Akhir sekali, masalah yang ditimbulkan oleh mat rempit ialah sikap sebegini akan menambah beban kepada keluarga tersayang. Bayangkan mat rempit yang terlibat dalam kemalangan itu pastinya cacat anggota yang memerlukan kos rawatan yang tinggi di hospital. Ibu bapa terpaksa mencari wang untuk keperluan kos rawatan anak mereka walaupun mereka sudsh tua atau bersara. Wang simpanan yang seharudnya digunakan untuk keperluan menyara hidup ibu bapa ketika mereka pencen itu akan hilang begitu sahaja kerana kos perubatan begitu tinggi. Sudah sampai masanya mat rempit memikirkan sama ada hobi mereka itu harus diteruskan atau tidak jika mereka benar-benar menghargai ibu bapa yang selama ini menyara mereka.

Mat rempit juga berupaya menjejaskan imej diri dan maruah keluarga pada jangka masa panjang umpama menconteng arang ke muka sendiri. Kelakuan sebegini akan menimbulkan kesan mendalam pada jiwa ibu bapa yang mungkin terkilan kerana anak mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan budaya tempatan. Rasa terkilan itu kemudiannya akan bertukar menjadi malu kerana masyarakat akan memandang anak dan keluarga itu dengan satu pandangan serong pula. Hubungan sesama ahli keluarga akan menjadi renggang kerana perselisihan faham pasti berlaku jika anak mereka menyertai kumpulan mat rempit.

Kesimpulannya, budaya mat rempit ini bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan. Jika mat rempit benar-benar meminati dunia motosikal, mereka seharusnya memaduki pertandingan menunggang motosikal secara sah untuk membuktikan kemahiran mereka itu. Langkah ini bukan sahaja meninggikan imej sendiri tetapi berupaya mencungkil bakat baru dalam dunia lumba motosikal buat negara. Bak kata pepatah malang tidak berbau yang mengingatkan kita betapa bahayanya amalan menunggang motosikal secara berbahaya ini terutama kepada pengguna lain.

No comments:

Post a Comment