Friday, September 30, 2016

Perpaduan penting bersama-sama langkah mencapainya

Perpaduan merupakan perkara yang penting di negara ini kerana Malaysia mempunyai pelbagai kaum. Ada pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan meningkatkan perpaduan kaum.
Huraikan kepentingan perpaduan dan kaedah-kaedah mencapainya.

Peribahasa Melayu bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat jelas menggambarkan perpaduan kaum di negara ini yang unik kerana penduduknya yang berbilang kaum itu. Sejak dahulu lagi, penduduk negara ini hidup dalam suasana yang aman damai tanpa sebarang perselisihan pula. Semua kaum yang hidup di negara ini saling menghormati adat resam dan agama masing-masing tanpa sebarang prejudis serta unsur perkauman itu. Dalam konteks kepelbagaian ini, kepentingan perpaduan rakyat sememangnya mempunyai keperluannya tetapi langkah yang proaktif perlu diaplikasikan demi menjayakannya.

Sehubungan dengan hal itu, perpaduan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman sentosa tanpa sebarang masalah. Ketika negara jiran seperti Indonesia mengalami kegawatan ekonomi yang menyaksikan penduduk negara itu bergaduh dan berbunuhan sesama mereka, negara kita pula terus aman untuk menghadapi krisis ekonomi dunia itu. Kejadian yang melanda negara jiran itu mengejutkan semua pihak terutamanya rakyat Malaysia kerana keganasan yang berlaku begitu sukar untuk difahami oleh sesiapa sahaja. Tuntasnya, perpaduan amat penting untuk mencapai satu tahap keamanan yang tinggi untuk masyarakat di sesebuah negara itu.

Selaras dengan itu, perpaduan membolehkan pembangunan negara berjalan dengan lancar lalu impian menjadi sebuah negara maju akan tercapai dengan mudah.  Hal ini berlaku kerana pembangunan pesat negara dan kenaikan taraf hidup rakyat banyak dikaitkan dengan kestabilan politik serta sosial sesebuah negara tersebut. Para pelabur beranggapan negara yang memiliki perpaduan lebih kurang risiko lalu bersedia melabur lebih banyak wang di sesebuah negara itu terutamanya Malaysia yang tidak mengalami sebarang peperangan itu. Jadi, negara ini akan mencapai kemajuan dalam segenap bidang lalu melangkah setapak lagi menjadi sebuah negara maju pada masa depan.

Seiring dengan itu, perpaduan yang kukuh antara rakyat negara ini dapat menjamin kedaulatan bangsa dan negara terus terpelihara selama-lamanya. Apabila semua rakyat bersatu sudah pasti negara ini mampu menangkis sebarang usaha atau dakyah negara luar yang mahu memusnahkan Malaysia.  Lihat sahaja situasi yang melanda negara Syria dan Afghanistan kerana rakyat negara itu berpecah-belah sehingga negara mereka menjadi tempat percaturan kuasa-kuasa besar dunia yang mahu menguasai politik antarabangsa. Rumusnya, kewujudan perpaduan dalam sesebuah negara itu akan menghalang bangsa negara itu daripada diperkotak-katikkan oleh bangsa atau negara lain untuk kepentingan tertentu.

Ramai orang berpendapat bahawa, salah satu cara untuk menyatukan tenaga dan jiwa bangsa rakyat negara ini adalah dengan menghapuskan jurang ekonomi antara kaum. Hal ini berlaku kerana kemiskinan di kawasan bandar dan desa berbeza bersama-sama pengagihan kekayaan yang tidak seimbang antara kaum. Situasi ini akan menimbulkan rasa tidak adil dalam kehidupan masyarakat lalu sikap cemburu kekayaan kaum lain akan  berlaku secara mendadak pula. Tamsilnya, penubuhan agensi seperti Risda, Felda, Felcra, dan program Dasar Ekonomi Baru bertujuan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat supaya kesejahteraan kehidupan berjaya dipupuk untuk membentuk sebuah negara yang maju pada masa depan.

Seiring dengan itu, sistem pendidikan juga penting untuk mencapai perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat negara ini. Hal ini menyatakan bahawa, melalui aktiviti kokurikulum, para pelajar dapat dipupuk dengan nilai-nilai murni terutamanya nilai yang berunsur perpaduan tersebut. Pada masa yang sama, sukatan pelajaran perlulah menekankan semangat kerjasama, patriotik, dan saling menghormati sesama kaum dijalankan oleh pihak sekolah. Hal ini menimbulkan semangat integrasi nasional di negara ini kerana golongan muda inilah yang bakal memerintah negara pada masa depan itu.

Kesimpulannya, perpaduan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sepi oleh sesiapa sahaja di negara ini. Jika ada pihak yang melihat persoalan ini satu persoalan yang mudah pastinya negara ini akan mengalami masa depan yang gelap terutama buat golongan mudanya. Bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing yang menekankan amalan bekerjasama bakal membawa suasana perpaduan yang sejati dalam kehidupan ini terutama di negara yang memiliki banyak kaum atau bangsa itu. Sikap alpa dalam mengukuhkan perpaduan akan menyaksikan negara ini boleh menjadi seperti negara Syria dan Iraq yang terus berbalah antara satu sama lain itu.

No comments:

Post a Comment