Saturday, December 24, 2016

Kebaikan negara peroleh apabila memiliki pengguna bijak?

Pengguna bijak merupakan satu program yang cuba direalisasikan oleh kerajaan di negara ini. Kewujudan pengguna sebegini penting dalam keadaan ekonomi yang meruncing.
Jelaskan kebaikan-kebaikan yang diperoleh negara apabila rakyatnya menjadi pengguna bijak.

Pengguna bijak merujuk sikap pengguna yang membeli berdasarkan rasional dan bukannya berlandaskan emosi sahaja. Golongan ini akan membeli pada masa jualan murah, ketika memerlukan barang itu dan membayar secara tunai. Akhbar tempatan turut menyiarkan pelbagai kemelut yang melanda pengguna di negara ini terutamanya isu hutang dan penipuan penjual. Jadi, wujud pelbagai kebaikan apabila negara ini mempunyai pengguna yang bijak dalam membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk itu.

Faedah utama yang timbul apabila negara ini mempunyai pengguna yang bijak ialah kadar simpanan kewangan rakyat Malaysia akan bertambah tinggi. Rakyat yang ingin menjadi pengguna bijak akan membuat perancangan dalam setiap pembeliannya berdasarkan jumlah wang yang diperoleh sebagai gaji setiap bulan tersebut. Perancangan yang teliti sebegini akan memastikan pengguna mempunyai sejumlah wang setiap bulan untuk disimpan oleh mereka.. Maka, pengguna bijak boleh membawa lebih banyak simpanan dibuat oleh rakyat di negara ini untuk keperluan masa depan bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.

Selain itu, pengguna yang bijak menjamin tidak berlaku sebarang pembaziran dalam aktiviti pembelian mereka tersebut. Aspek pembaziran ini boleh diatasi apabila pengguna mampu membezakan realiti keperluan barang tertentu daripada kehendak untuk memiliki produk tertentu itu pula. Setiap pembelian dilakukan berdasarkan keperluan yang harus dipenuhi untuk memastikan kehidupan manusia itu berjalan dengan lebih baik pula bak kata pepatah tepuk dada tanya selera. Jelaslah, pembaziran tidak akan berlaku dalam aspek kehidupan manusia itu apabila mereka menjadi pengguna yang bijak tersebut.

Tambahan pula, konsep pengguna bijak akan menyebabkan kualiti produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat negara ini menjadi lebih baik. Pengguna yang bijak akan membeli produk yang mempunyai kualiti dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik berbanding produk jenama tertentu tersebut. Penjual akan lebih berwaspada dalam memberikan layanan kepada pengguna dan menjual produk yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat sahaja. Akibatnya, semua produk yang dijual di negara kita akan mempunyai satu piawaian kualiti yang lebih tinggi berbanding negara jiran yang lain apabila mempunyai pengguna yang bijak itu.

Manfaat seterusnya melibatkan imej negara dan rakyat menjadi lebih cemerlang apabila pengguna di negara ini memaparkan kebijaksanaan mereka dalam kehidupan harian. Amalan membeli dengan bijak ini sudah pasti diperhatikan atau diketahui oleh pelancong asing ketika datang melawat negara ini pula. Situasi ini menyebabkan seluruh dunia akan mengetahui bahawa Malaysia mempunyai sekumpulan pengguna yang bijak dalam membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk itu. Maka, imej negara dan rakyat menjadi tersohor apabila masyarakat dunia mengetahui betapa hebatnya pengguna bijak di negara ini beraksi itu.


Kesimpulannya, pengguna bijak menjadi aspek yang penting dicapai oleh rakyat negara ini jika mahu kehidupan mereka menjadi lebih baik. Sikap rambang mata ketika berbelanja bukanlah satu perkara yang harus diketengahkan oleh masyarakat negara ini. Kerjasama semua pihak terutamanya rakyat diperlukan dalam usaha mewujudkan satu kelompok pengguna bijak di Malaysia. Bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis yang menekankan pentingnya rakyat kita membentuk diri mereka menjadi pengguna bijak pada masa depan.

No comments:

Post a Comment