Saturday, March 25, 2017

Faktor kejayaan remaja dalam hidup?

Kehidupan zaman moden memerlukan kelayakan sekeping kertas untuk memulakan kehidupan ini. Namun, ada pihak berpendapat masih ada beberapa faktor lain yang penting untuk berjaya dalam kehidupan terutama golongan muda.
Jelaskan.

Kejayaan dalam hidup merujuk perkara yang boleh dicapai oleh seseorang mengikut pemahaman masyarakat zaman ini. Ada yang mengukur kejayaan seseorang berdasarkan kekayaan yang dimiliki dan ada juga yang mengukur mengikut suasana kehidupan yang dialaminya itu. Media massa turut mempersoalkan definisi kejayaan individu menerusi pelbagai program yang disiarkan oleh mereka terutamanya menerusi televisyen. Sebenarnya, ada banyak perkara yang mampu menentukan berjaya atau gagal seseorang dalam kehidupannya.

Faktor penentu kejayaan seseorang banyak dikaitkan dengan sikap diri sendiri dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu. Individu yang gembira melakukan sesuatu pekerjaan walaupun ganjaran melakukan kerja itu agak rendah berbanding dengan kerjaya lain bolehlah dikatakan sudah berjaya. Kepuasan hanya akan wujud apabila melakukan sesuatu pekerjaan secara jujur tanpa mengharapkan sebarang balasan terutama yang berunsur kewangan selain gaji yang diperuntukkan itu. Jelaslah, rasa bangga melakukan sesuatu pekerjaan sudah membawa status berjaya kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, kejayaan dalam hidup turut ditentukan oleh kehidupan berkeluarga seseorang itu. Mereka yang dikelilingi oleh ahli keluarga yang memahami dan selalu menghulurkan sokongan moral bolehlah dikatakan sudah menjalani kehidupan yang berjaya. Setiap hari mereka dipenuhi dengan gelak ketawa ahli keluarga yang pastinya mencuit perasaan sesiapa sahaja yang melihat lalu semua kesusahan kehidupan boleh hilang begitu sahaja. Maka, kejayaan memiliki satu keluarga yang bahagia dan hidup harmoni merupakan satu bentuk kejayaan yang boleh dimiliki oleh semua.

Tambahan pula, kejayaan yang diperoleh menerusi kerja-kerja amal yang dilakukan oleh seseorang itu turut menjadi pengukur kejayaan. Ada individu yang sanggup menghulurkan bantuan kewangan dan tenaga kepada mana-mana badan kebajikan yang menguruskan sesuatu kumpulan manusia yang serba kedaifan itu. Golongan ini berasa gembira kerana usaha mereka boleh membantu pihak yang tidak berkeupayaan untuk menikmati kehidupan dengan lebih baik itu. Sesungguhnya, berjaya dalam hidup boleh dicapai apabila seseorang itu menghabiskan banyak masanya dengan berusaha membantu pihak lain yang memerlukan bantuan tersebut.

Kejayaan dalam hidup boleh diukur menerusi kemampuan seseorang melakukan perkara-perkara yang ingin dicapai dalam hidup mereka. Ada individu yang mempunyai senarai perkara yang ingin dilakukan sebelum mereka menamatkan kehidupan di alam ini. Semua tenaga dan usaha mereka difokuskan untuk merealisasikan perkara-perkara yang hendak dicapai tanpa hilang fokus tersebut. Sebenarnya, golongan sebegini begitu fokus dalam kehidupannya sehingga mereka tidak memikirkan sebarang cabaran yang bakal timbul untuk memperoleh impian yang diharapkan itu.

Faktor terakhir yang menentukan definisi kejayaan dalam hidup ialah aspek kesihatan diri seseorang itu terjaga sepanjang usia. Mereka menjaga kesihatan kerana sedar bahawa kesihatan yang baik akan menjamin kehidupan yang lebih sempurna dan menarik sepanjang masa. Kos perubatan diri mereka tidak akan mengambil sebahagian besar daripada nilai simpanan kerana kesihatan yang baik akan menghalang diri mereka pergi ke hospital dengan kerap. Jadi, mereka yang memiliki tahap kesihatan yang sempurna seharusnya diberi pengiktirafan sebagai golongan yang berjaya dalam mengharungi cabaran kehidupan ini.

Kesimpulannya, takrifan kejayaan seharusnya ditukar daripada aspek kebendaan kepada unsur-unsur yang dihuraikan tadi. Semua pihak harus menerima hakikat bahawa wang tidak boleh membeli semua perkara penting dalam kehidupan ini terutama yang berkaitan dengan kepuasan kehidupan. Bak kata pepatah tepuk dada tanya selera yang membuktikan bahawa kepuasaan dalam menjalani kehidupan bergantung pada keperluan diri seseorang itu. Sudah sampai masanya kita melihat erti kejayaan seseorang di luar batas-batas kebendaan seperti pemilikan rumah dan kereta besar itu.