Saturday, May 27, 2017

Kesan globalisasi terhadap budaya?

Globalisasi menjadi satu ungkapan yang penting dalam kehidupan moden ini. Banyak pihak melihat proses ini membawa banyak kesan buruk terhadap budaya tempatan.
Huraikan pandangan anda.

Maksud globalisasi merujuk satu proses yang menjadikan dunia ini semakin kecil tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Proses ini banyak dibantu oleh kewujudan teknologi terutama teknologi satelit, televisyen, dan komunikasi yang semakin canggih itu. Situasi ini menyebabkan globalisasi tidak boleh dikawal begitu sahaja lalu meresapi semua aspek kehidupan masyarakat di dunia ini tanpa mengenal usia dan keturunan pula. Akibatnya, globalisasi telah mewujudkan pelbagai kesan buruk terhadap budaya masyarakat di dunia ini tanpa disedari oleh masyarakat.

Impak budaya yang ketara melibatkan perubahan dalam struktur kehidupan berkeluarga di negara ini apabila globalisasi berlaku. Golongan wanita di negara ini tidak mahu terperap di rumah sahaja lalu mereka akan menyertai tenaga kerja di luar sana malah ada yang menerajui syarikat sendiri pula. Apabila fenomena ini berlaku pastinya anak tidak lagi menerima didikan yang sempurna kerana ayah dan ibu bekerja sepanjang masa lalu tidak mempunyai masa untuk melaksanakan tugas mendidik mereka itu. Lama-kelamaan, ahli keluarga tidak lagi mesra sesama mereka sehingga menimbulkan persengketaan lalu menjejaskan institusi kekeluarga yang dipandang tinggi oleh masyarakat kita itu.

Selain itu, proses globalisasi ini turut memberikan impak terhadap media massa dan muzik tradisional. Masyarakat lebih terdedah pada muzik moden yang boleh merosakkan jati diri anak bangsa jika tidak dipantau dengan teliti. Apabila muzik luar yang didendangkan menerusi radio dan televisyen itu akan membawa jiwa masyarakat terpesong jauh daripada budaya timur yang mengutamakan kesopanan dan kelembutan muzik tersebut dalam aspek penghayatan kehidupan mereka. Lama-kelamaan, masyarakat negara ini akan dipengaruhi oleh muzik luar itu dalam setiap tingkah laku dan pemikiran mereka dalam menjalani kehidupan harian.

Tambahan pula, kepelbagaian fesyen akan muncul dalam kehidupan harian masyarakat kita apabila unsur globalisasi ini meresap perlahan-lahan dalam kehidupan. Pakaian tradisional hanya digayakan semasa musim perayaan dan ketika majlis rasmi sahaja terutama oleh golongan sudah berumur. Golongan muda lebih cenderung memakai pakaian yang kebaratan, lebih moden dan kasual kerana terpengaruh dengan fesyen dari luar negara. Jelaslah, globalisasi telah membawa masyarakat negara ini menjadi begitu fanatik terhadap fesyen terkini lalu mengabaikan budaya bangsa yang mengutamakan pemakaian pakaian yang sopan.

Globalisasi yang melanda negara ini turut membawa perubahan terhadap jenis makanan dan corak pemakanan masyarakat Malaysia. Makanan tradisional semakin terpinggir kerana makanan segera atau cepat saji dari budaya luar mula mendapat tempat dalam jiwa masyarakat kita. Bersesuaian dengan kehidupan masyarakat era globalisasi yang setiap sibuk itu menyebabkan makanan segera menjadi hidangan utama setiap kali masyarakat kita menjamu selera. Maka, semakin kuat pengaruh globalisasi ini semakin hilanglah minat rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan tradisional yang sudah sekian lama terkenal tersebut.

Akhir sekali, penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat kita menjadi celaru atau rojak kerana globalisasi yang berlaku. Penggunaan bahasa rojak berlaku kerana masyarakat kita melihat bahasa asing terutama bahasa Inggeris apabila digunakan boleh meninggikan status seseorang itu pada mata orang lain. Penggunaan bahasa rojak yang kerap bukan sahaja menjejaskan imej bahasa kebangsaan tetapi turut menjadikan penuturnya tidak mampu menguasai bahasa yang tepat tatabahasanya apabila dituturkan pula. Lantaran itu, kualiti penggunaan bahasa kebangsaan akan menurun sehingga menjadikan bahasa ini tidak lagi dikuasai oleh rakyat tempatan itu sendiri. Maka, globalisasi yang semakin berpengaruh itu bakal menghapuskan penggunaan bahasa kebangsaan di negara ini jika masalah ini dibiarkan tanpa kawalan.


Kesimpulannya, globalisasi memang membawa kesan buruk terhadap budaya tempatan terutama jika masalah ini tidak dikaji secara mendalam. Ada pihak yang melihat globalisasi sebagai satu perkara yang baik terutama dalam aspek ekonomi dan sosial tetapi proses ini harus dikawal supaya kesan yang berlaku tidak terjadi secara drastik itu. Masyarakat pula hendaklah bijak menapis lalu menerima kesan globalisasi yang baik berbanding menerima sahaja tanpa sekatan tertentu. Sesungguhnya, globalisasi menjadi fenomena global yang tidak boleh dibiarkan kerana kita tidak mahu menjadi seperti katak di dalam gelas pula.