Tuesday, June 13, 2017

Bukti pelajar sayang akan sekolah mereka?

Perasaan sayang akan sekolah harus dimiliki oleh pelajar semua. 
Jelaskan bukti-bukti pelajar itu menyayangi sekolah mereka.

Sikap sayang akan sekolah bermaksud amalan menyayangi sekolah tanpa melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej sekolah. Amalan ini perlu disematkan dalam jiwa pelajar sebagai tanda penghargaan menerima pendidikan yang sempurna ketika belajar di sekolah itu. Pihak media massa turut memaparkan pelbagai artikel yang menyentuh hubungan baik pelajar dengan sekolah yang banyak mendidik mereka itu. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh pelajar untuk membuktikan bahawa diri mereka menyayangi sekolah itu.

Langkah yang paling mudah diambil oleh pelajar sebagai bukti mereka menghargai sekolah sendiri ialah pelajar itu belajar dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam peperiksaan. Mereka akan memberikan tumpuan yang padu ketika guru mengajar di dalam kelas tanpa bercakap kosong dengan rakan di sebelah atau melihat skrin telefon bimbit mereka itu. Pemahaman yang mendalam ini akan memudahkan pelajar untuk menjawab sebarang soalan dalam peperiksaan yang bakal menentukan kejayaan mereka pada masa depan. Akibatnya, nama sekolah akan tersohor apabila pelajar-pelajar di sekolah itu mendapat prestasi yang baik dalam keputusan peperiksaan umum negara.

Selain itu, pelajar yang menyayangi sekolah mereka akan menjauhi semua perkara yang boleh menjurus ke arah gejala sosial seperti melepak, ponteng sekolah, dan merokok serta terlibat dalam pergaduhan itu. Mereka tidak akan terpengaruh dengan ajakan rakan yang mahu terlibat dalam gejala sosial ini kerana sedar tindakan mereka akan menconteng arang ke muka sendiri lalu menjejaskan imej sekolah pula. Sekolah yang bebas daripada gejala sosial akan menjadi sekolah pilihan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah pada masa akan datang. Ringkasnya, sekolah yang bebas daripada gejala sosial akan menjadi sekolah pilihan ramai apabila pelajar mereka mematuhi disiplin sekolah dengan sepenuh hati tersebut.

Tambahan pula, kesungguhan pelajar melibatkan diri dalam semua aktiviti anjuran sekolah mereka menjadi bukti sahih bahawa pelajar itu menyayangi sekolah. Acara yang dianjurkan oleh sekolah seperti hari sukan, hari guru, dan majlis persaraan guru boleh disertai oleh pelajar sebagai tanda penghargaan kepada penghuni sekolah yang banyak berjasa itu. Apabila pelajar menyertai acara-acara sebegini sudah pasti dalam jiwa mereka tersimpan satu memori indah tentang kehidupan zaman mereka bersekolah di sekolah tersebut. Jelaslah, pelajar yang bertanggungjawab terhadap sekolahnya akan memastikan diri mereka terlibat dalam semua program yang boleh memberikan manfaat kepada sekolah dan pelajar serta guru di sekolah itu.

Kajian juga telah membuktikan bahawa pelajar yang menyayangi sekolah mereka sanggup berkorban demi maruah sekolah itu. Amalan mengutip derma yang boleh digunakan oleh pihak sekolah untuk memodenkan suasana atau kawasan sekolah menjadi bukti pengorbanan pelajar itu. Pengorbanan sebegini boleh menjadikan pendidikan di sekolah itu menjadi lebih lancar dengan pembinaan bangunan baharu, pendingin hawa yang banyak serta kewujudan padang bola. Lama-kelamaan, pengorbanan itu akan menjadikan rasa sayang terhadap sekolah semakin mendalam kerana pelajar sudah berusaha sedaya yang mungkin untuk memajukan sekolah mereka.

Bukti terakhir yang mengesahkan bahawa pelajar menyayangi sekolah mereka ialah pelajar itu mengekalkan hubungan dengan guru, pelajar, dan pekerja sekolah selepas mereka meninggalkan alam persekolahan itu. Apabila sesuatu majlis perjumpaan semula diadakan sudah pasti pelajar boleh berkumpul lalu berbual tentang peristiwa lalu yang mengusik jiwa mereka ketika berada dalam alam persekolahan tersebut. Semua memori yang diingat semula itu akan mencetuskan semula kenangan terindah yang dialami oleh pelajar ketika bersekolah tersebut. Ringkasnya, usaha mengekalkan hubungan dengan penghuni sekolah lama mengesahkan rasa sayang itu wujud dalam diri pelajar tertentu itu.

Kesimpulannya, rasa sayang akan sekolah memang penting dimiliki oleh pelajar zaman ini. Perasaan ini apabila dipupuk dengan sempurna akan menjauhkan diri pelajar daripada pelbagai gejala buruk yang mampu menjejaskan imej sekolah. Namun, ada sebilangan pelajar yang melihat rasa sayang ini sesuatu yang bercirikan sentimental lalu tidak penting diamalkan dalam kehidupan. Peribahasa tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain yang mengingatkan kita semua supaya menghargai sekolah yang sudah banyak berjasa dalam membentuk diri kita menjadi insan yang mulia.


No comments:

Post a Comment