Tuesday, July 4, 2017

Usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam negara memberikan banyak manfaat kepada masyarakat.

Huraikan langkah-langkah menjadikan sistem pengangkutan awam sebagai pilihan utama masyarakat Malaysia.

Oleh: noor azman mahat

Pengangkutan awam merujuk sistem pengangkutan yang disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat sendiri. Kemudahan ini meliputi perkhidmatan bas, LRT, teksi, dan kereta api yang boleh mengangkut ribuan penumpang saban hari. Pelbagai kritikan dan tohmahan telah dilemparkan kepada pengusaha sistem pengangkutan awam kerana dikatakan gagal memenuhi keperluan harian rakyat sendiri. Lantaran itu, pelbagai inisiatif boleh dilakukan untuk memastikan imej sistem pengangkutan awam negara menjadi lebih baik pada mata masyarakat.

Langkah yang boleh dilaksanakan untuk menjadikan sistem pengangkutan awam negara sebagai pilihan utama masyarakat ialah satu integrasi sistem pengangkutan yang sedia ada itu diwujudkan pula. Pihak kerajaan perlulah membina rangkaian pengangkutan awam yang boleh diakses dengan mudah oleh penumpang pada bila-bila masa. Maknanya, penumpang yang menggunakan LRT boleh memperoleh teksi atau bas apabila sampai ke sesuatu destinasi dengan mudah tanpa sebarang masalah. Jelaslah, kewujudan sistem pengangkutan awam yang bersepadu akan menjadikan sistem pengangkutan itu digunakan oleh ribuan rakyat pada masa akan datang.

Selain itu, tambang yang murah boleh menarik lebih banyak rakyat beralih menggunakan pengangkutan awam berbanding menaiki kenderaan sendiri. Pihak kerajaan boleh menawarkan pelbagai pakej tambang mengikut kategori seperti pakej pelajar, pakej keluarga dan pakej bulanan yang menarik untuk dipilih oleh pengguna. Kepelbagaian pakej yang murah ini akan membuka mata pengguna tentang keistimewaan menggunakan pengangkutan awam lalu mereka akan berasa lebih tertarik untuk beralih menggunakannya. Lama-kelamaan, pengguna pengangkutan awam  akan bertambah kerana mereka sedar penggunaan pengangkutan ini akan meringankan beban kewangan kehidupan harian.

Tambahan pula, aspek ketepatan masa atau jadual dipatuhi amat penting untuk memajukan sistem pengangkutan awam negara ke tahap yang lebih baik. Pekerja pengangkutan awam terutamanya pemandu bas dan LRT perlulah melihat konsep masa sebagai satu perkara yang penting kepada pengguna pengangkutan awam ini. Apabila pengguna melihat ketepatan masa menjadi ukuran utama pekerja pengangkutan awam sudah pasti mereka akan berasa yakin lalu menggunakan pengangkutan ini untuk menjalani kehidupan harian. Sesungguhnya, pengangkutan awam yang menepati masa perjalanan mereka akan dilihat sebagai sesuatu membanggakan buat mana-mana pengguna yang menggunakan perkhidmatan sedemikian. 

Usaha memajukan sistem pengangkutan awam turut melibatkan kewujudan sistem internet atau wifi dalam pengangkutan awam itu. Banyak pengguna pengangkutan awam terutamanya remaja yang begitu mementingkan internet dalam kehidupan akan melihat pemasangan wifi di dalam bas atau LRT akan menjadikan hidup mereka lebih ceria. Kemudahan internet sebegini turut menjadikan jumlah pengguna pengangkutan awam akan bertambah banyak dalam sekelip mata sahaja. Pihak yang menguruskan pengangkutan awam perlulah bijak dan memahami keperluan semasa bak kata pepatah sekali air bah sekali pantai berubah.

Kejayaan mempopularkan sistem pengangkutan awam turut dikaitkan dengan pengambilan pekerja terutamanya pemandu yang beretika. Pekerja sistem pengangkutan awam perlulah ada sikap rajin bekerja, ramah, dan mengutamakan pengguna dalam memastikan keselesaan pengguna terjamin ketika menggunakan bas atau LRT itu. Apabila pemandu bas dan teksi serta LRT memiliki kaliber sebegini sudah pasti perjalanan pengguna akan menjadi lebih mudah dan lancar serta bermakna daripada dimarahi oleh pemandu tanpa sebarang alasan. Sesungguhnya, sikap pekerja sistem pengangkutan awam itu perlulah berubah terlebih dahulu sebelum berjaya memujuk rakyat biasa untuk menggunakan pengangkutan awam di negara ini. 

Kesimpulannya, semua tindakan yang dihuraikan tadi berupaya untuk mengubah persepsi terhadap sistem pengangkutan awam di negara ini menjadi lebih baik. Semua pihak hendaklah melihat kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara ini sebagai penting lalu berusaha untuk melakukan sesuatu dengan segera. Jika masalah yang berlaku ini terus dibiarkan tanpa sebarang penyelesaian sudah pasti kemajuan sistem pengangkutan awam negara akan terbantut. Peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya yang membuktikan bahawa sesuatu perkara itu hanya boleh berlaku jika kita berusaha untuk mengubahnya.


No comments:

Post a Comment