Sunday, August 27, 2017

Pencemaran sungai...cara atasinya?

Pencemaran alam terutama pencemaran sungai semakin menjadi-jadi di negara ini. Banyak pihak mahu masalah ini diselesaikan segera tetapi jalan penyelesaiaannya masih tidak kelihatan.
Huraikan cara-cara mengatasi pencemaran sungai di negara ini.

Pencemaran sungai merujuk kemusnahan yang dialami oleh sungai disebabkan oleh pelbagai faktor yang dicetuskan oleh pihak manusia itu. Bentuk pencemaran yang dialami oleh sungai biasanya meliputi kualiti air yang menjadi keruh, aliran sungai yang perlahan dan tersekat-sekat, kepupusan hidupan akuatik sungai serta hakisan tebing sungai yang berleluasa tersebut. Pihak media massa ada mengetengahkan kemelut yang melanda sungai ini sehingga isu ini menjadi buah mulut masyarakat di Malaysia pula. Lantaran itu, banyak kaedah yang boleh diambil untuk menjamin sungai di negara ini terus bebas daripada pencemaran alam yang memalukan ini.

Tindakan yang berkesan dalam menangani pencemaran sungai ialah pihak berkuasa menggubal peruntukan perundangan yang lebih baik untuk pengekalan kualiti sungai. Penggubalan akta berkaitan dengan sungai boleh dibuat apabila semua pihak duduk semeja untuk mencari jalan penyelesaian yang konkrit terhadap masalah yang sedang melanda itu. Masyarakat akan berfikir dua kali sebelum membuang sampah atau sisa toksik ke dalam sungai kerana mereka tahu negara ini ada peruntukan perundangan yang boleh menyebabkan mereka dipenjarakan atas kesalahan mencemarkan sungai itu. Jelaslah, usaha memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat tentang isu pencemaran sungai akan menjamin kualiti sungai baik
sepanjang masa.

Selain itu, pihak berkuasa seperti pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar perlu membuat rondaan yang lebih menyeluruh di kawasan sungai yang dikatakan berisiko tinggi untuk tercemar itu. Rondaan yang menyeluruh ini boleh dilaksanakan apabila lebih banyak anggota ditempatkan di kawasan sungai bersama-sama penggunaan teknologi moden seperti kamera litar tertutup dan “dron” yang boleh mengawasi kawasan sungai lebih baik untuk tempoh yang panjang. Semua tindakan ini akan memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai bahawa pergerakan aktiviti mereka sedang dipantau oleh pihak berkuasa sepanjang masa lalu mereka tidak berani untuk melakukan kerja-kerja jahat tersebut. Sesungguhnya, sungai di Malaysia akan terus selamat daripada unsur pencemaran jika pihak berkuasa melaksanakan rondaan bijak sebegini dengan kadar segera.

Tambahan pula, langkah untuk menjadikan sungai lebih bersih akan menjadi mudah apabila kawasan sungai itu ditukar sebahagiannya menjadi kawasan riadah untuk masyarakat. Pembinaan taman permainan kanak-kanak, laluan orang bersenam, dan lebih banyak tempat duduk disediakan menjadi sebahagian kaedah yang menukar sungai itu menjadi destinasi masyarakat pada waktu petang serta hujung minggu. Semua perkara ini akan menyebabkan suasana di kawasan sungai itu lebih ceria, menarik dan hidup lalu masyarakat melihat dengan mata mereka sendiri betapa pentingnya sungai dikekalkan dalam kehidupan manusia zaman moden ini. Lama-kelamaan, perasaan menyayangi sungai akan muncul dalam jiwa masyarakat sehingga mereka berusaha menjaga sungai daripada tercemar kerana sedar sungai yang tercemar akan menjejaskan kualiti kehidupan sempurna yang mereka capai sebelum ini.

Sungai yang tercemar di Malaysia boleh dipulihkan apabila pihak berkuasa menjemput saintis negara menggunakan kaedah semula jadi untuk membersihkan sungai itu. Para saintis yang dijemput itu sudah pasti pernah membuat kajian mengenai jenis-jenis tumbuh-tumbuhan yang berupaya untuk membersihkan sungai secara semula jadi tersebut. Apabila kajian mereka digunakan untuk membersihkan beberapa sungai yang sudah tercemar pasti lebih banyak peruntukan kewangan boleh diberikan kepada saintis itu untuk meluaskan projek mereka di seluruh negara pula. Akibatnya, saintis tersebut boleh mengaplikasikan teknik yang digunakannya untuk merawat sungai di negara ini yang telah tercemar dan kemungkinan besar berpeluang untuk menggunakan kaedah itu di luar negara apabila diberi kesempatan pula.

Langkah terakhir dalam usaha menjaga kualiti sungai negara ialah pihak berkuasa melancarkan kempen tentang isu ini di seluruh negara dengan menggunakan media massa terutamanya media internet. Kempen ini mengetengahkan punca-punca sungai tercemar dan cara-cara yang boleh diambil oleh masyarakat untuk mengurangkan kadar pencemaran itu daripada terus berleluasa pula. Sesiapa sahaja yang melihat kempen ini akan mula memahami lalu menyedari bahawa kemelut sungai yang tercemar di Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah lalu mereka akan berusaha bersama-sama untuk menghalangnya daripada terus berlaku itu. Sebenarnya, kemelut sungai tercemar ini hanya boleh ditangani menerusi kerjasama yang diberikan oleh setiap lapisan masyarakat negara seperti peribahasa berat sama dipikul ringan sama dijinjing itu.

Kesimpulannya, semua kaedah yang dijelaskan tadi apabila dilaksanakan tadi berupaya untuk menyelamatkan sungai di negara ini daripada terus tercemar teruk itu. Usaha menjaga sungai amat penting dan murni kerana sungai menjadi sumber kehidupan terutamanya dalam aspek memberikan air minuman yang amat diperlukan oleh semua makhluk Tuhan tersebut. Namun, banyak pihak di negara ini yang begitu mudah membazirkan penggunaan air dalam kehidupan mereka tanpa mempunyai perasaan bersalah pula. Peribahasa sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada guna harus menjadi peringatan kepada kita supaya menjaga sungai demi keseinambungan bekalan air untuk kegunaan harian pada masa akan datang itu.

Sunday, August 20, 2017

Nilai kemanusiaan sudah hilang?

Nilai kemanusiaan sudah hilang di dunia ini. Peperangan, jenayah, dan pergaduhan yang kerap berlaku membuktikan kenyataan ini.
Huraikan.

Nilai kemanusiaan bermaksud nilai-nilai yang mengutamakan kebaikan dalam kehidupan seseorang itu. Biasanya, nilai kemanusiaan ini meliputi sikap suka membantu, menderma sesuatu, dan melakukan kebaikan kepada orang lain tanpa ada pilih kasih. Kemelut nilai kemanusiaan yang semakin menghilang dalam jiwa masyarakat sudah menjadi bahan berita utama media massa di negara ini sejak sekian lama. Maka, ada banyak bukti yang menyokong kenyataan bahawa nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat kita sudah tiada lagi itu.

Bukti utama nilai kemanusiaan sudah hilang ialah kejadian mendera kanak-kanak semakin menjadi-jadi terutama dalam kalangan masyarakat di kota besar. Kejadian ini menunjukan bahawa manusia sudah tiada rasa kasihan kepada anak atau darah daging mereka sehingga berani mencederakan kanak-kanak itu. Mereka seolah-olah sudah dirasuk oleh kuasa ajaib sehingga terus menghukum anak sendiri tanpa ada sebarang pemikiran rasional pula. Jelaslah, masyarakat sudah memandang rendah nilai kemanusiaan kerana melihat penderaan anak sendiri sebagai satu jalan keluar daripada masalah yang menghantui mereka.

Selain itu, nilai kemanusiaan sudah pupus daripada jiwa masyarakat berdasarkan peningkatan kes pengabaian ibu bapa. Sudah wujud golongan tua yang dibiarkan hidup melarat dan bersendirian tanpa ditemani oleh anak mereka. Pelbagai alasan diberikan oleh golongan anak termasuklah kesempitan kewangan dan ketiadaan kesefahaman antara ibu bapa yang membawa mereka membiarkan sahaja orang tua sendiri itu. Ringkasnya, anak yang memiliki nilai kemanusiaan tidak akan sesekali membiarkan ibu bapa yang sudah banyak berjasa itu melarat begitu sahaja.

Tambahan pula, peningkatan kes jenayah di kawasan bandar besar menjadi bukti nyata bahawa masyarakat kita sudah lenyap nilai kemanusiaan tersebut. Golongan masyarakat yang sanggup meragut, membunuh, merompak, dan melakukan jenayah terhadap insan lain seolah-olah tidak lagi memiliki hati manusia sejati. Kekerapan kejadian jenayah bukan sahaja menakutkan penduduk setempat tetapi turut menjadikan persepsi masyarakat sudah hilang arah tuju dalam kehidupan mereka yang sebenarnya. Sesungguhnya, jenayah berlaku disebabkan insan tersebut sudah hilang nilai kemanusiaan yang membedakannya daripada haiwan lain.

Kehilangan nilai kemanusiaan dalam jiwa masyarakat turut dikaitkan dengan berlakunya penindasan terhadap golongan miskin oleh golongan atasan. Banyak kali kedengaran isu golongan miskin diusir dari tanah mereka atau tidak diberi pampasan yang betul jika pihak atasan mengambil sesuatu daripada mereka. Golongan kaya atau pihak berkuasa melakukan apa-apa tanpa dikenakan tindakan undang-undang yang disediakan oleh kerajaan itu. Lama-kelamaan, penindasan ini akan menjadi satu budaya yang diterima oleh masyarakat lalu membuktikan bahawa masyarakat itu sudah tiada nilai kemanusiaan sebenar.

Bukti terakhir yang membawa musnahnya nilai kemanusiaan dalam naluri masyarakat dikaitkan dengan golongan muda yang tiada peribadi mulia. Golongan muda ini tidak lagi menghormati orang tua, melakukan perkara yang tidak berfaedah dan suka meniru budaya asing yang tidak sesuai menjadikan minda mereka sudah tidak rasional lagi. Belia yang dipenuhi dengan tenaga yang banyak tidak lagi melihat usaha memajukan negara dan bangsa serta keluarga sebagai satu keutamaan sebaliknya lebih suka berlibur tanpa kawalan. Lantaran itu, belia memerlukan bimbingan ibu bapa yang benar-benar kukuh nilai kemanusiaannya untuk meneruskan cabaran kehidupan moden ini.

Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa rakyat negara ini sudah hilang nilai kemanusiaannya kerana terpengaruh dek kebendaan sahaja. Namun, masih ada segelintir rakyat negara ini yang mengutamakan kebendaan dalam menjalani kehidupan mereka sehingga melupakan aspek kemanusiaan tersebut. Ibu bapa perlulah menjadi tunjang utama dalam usaha mendidik remaja kita agar kembali semula ke jalan yang lurus lagi benar itu. Peribahasa biar mati anak, jangan mati adat membuktikan bahawa budaya yang mengutamakan kemanusiaan itu harus kekal dalam kehidupan manusia sejagat pada masa hadapan.