Monday, October 2, 2017

Peranan ibu bapa menjaga keselamatan anak


Kejadian jenayah kanak-kanak terus berlaku di negara ini terutama di kawasan kota.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam menjamin keselamatan anak mereka

Jenayah kanak-kanak bermaksud perkara buruk yang berlaku kepada golongan muda ini sehingga membawa kematian dan kecederaan itu. Perkara buruk itu meliputi jenayah penculikan, perkosaan, penderaan, pembunuhan, dan penipuan serta perhambaan yang melibatkan golongan kanak-kanak di Malaysia. Kejadian jenayah yang membabitkan kanak-kanak sering menjadi bahan berita utama media massa di negara ini sehingga menimbulkan rasa kecewa masyarakat atas peningkatan kes sebegini. Sebenarnya, jenayah kanak-kanak ini boleh diatasi jika ibu bapa mereka memainkan peranan yang lebih proaktif dalam kehidupan kanak-kanak itu.

Tugas utama ibu bapa dalam usaha membendung jenayah yang keji ini ialah mereka sering menemani anak apabila mereka keluar dari rumah. Apabila kanak-kanak yang dibawah umur 12 tahun hendak ke sekolah atau ke pusat tuisyen sudah pasti ibu bapa yang bertanggungjawab akan menemani mereka sehingga sampai ke destinasi dengan selamat. Jika perkara ini dilakukan dengan betul semua kanak-kanak akan selamat kerana penjenayah sukar untuk menghampiri mereka yang selalu ditemani oleh ibu bapa tersebut. Jelaslah, ibu bapa yang selalu menemani anak mereka ketika keluar rumah akan mampu mengurangkan risiko jenayah berlaku kepada anak kesayangan itu.

Selain itu, jenayah kanak-kanak ini boleh ditangani dengan lebih efektif apabila ibu bapa memasang alat penjejak pada anak mereka. Pemasangan alat ini boleh dibuat kerana sudah ada alat sebegini dalam bentuk jam tangan yang boleh dipakai oleh anak mereka sepanjang masa tanpa sebarang gangguan. Ibu bapa boleh memantau setiap pergerakan anak menerusi perisian tertentu yang ada di dalam telefon bimbit lalu perasaan selamat muncul dalam jiwa ibu bapa dan anak kerana sedar pergerakan mereka sedang diawasi oleh orang tersayang itu. Jadi, pemasangan penjejak ini boleh memberikan satu perasaan selamat dalam jiwa setiap ahli keluarga kerana sedar pergerakan mereka boleh dilihat semula jika berlaku sebarang perkara negatif.

Tambahan pula, ibu bapa yang prihatin dengan keselamatan anak mereka akan memberikan penerangan tentang kes jenayah yang melibatkan golongan muda itu. Ketika ahli keluarga sedang makan malam atau bersantai bersama-sama pelbagai informasi tentang kejadian jenayah ini boleh dikongsi bersama-sama pula. Perkongsian informasi tentang kes jenayah ini akan memberikan satu maklumat yang lebih tepat kepada anak-anak tentang cara-cara untuk menjaga keselamatan diri mereka apabila berada di luar rumah. Sesungguhnya, nasihat ibu bapa yang betul tentang jenayah ini akan menjadikan anak mereka lebih peka apabila berada di luar rumah sepanjang masa itu.

Jenayah kanak-kanak ini boleh dikekang apabila ibu bapa memantau kehidupan anak mereka dengan lebih baik. Semua perkara yang berlaku dalam kehidupan anak perlulah diketahui dan diselidiki oleh ibu bapa dengan baik seperti aktiviti yang dibuat, rakan anak, prestasi peperiksaan anak, dan perkara-perkara lain yang berlaku dalam kehidupan anak mereka. Semua pengetahuan ini akan memudahkan ibu bapa membuat keputusan tentang sesuatu perkara terutamanya apabila kelakuan anak berubah dengan begitu ketara yang disebabkan jenayah berbentuk seksual berlaku. Lantaran itu, ibu bapa yang positif akan memantau semua aktiviti dalam kehidupan anak mereka dengan lebih menyeluruh pula.

Ibu bapa yang prihatin terhadap masalah keselamatan anak mereka akan memberi peluang kepada anak itu untuk menyertai kelas seni pertahanan diri. Anak yang masih mentah itu diberi galakan supaya mendaftarkan diri dalam kelas silat atau judo di sekolah tanpa sebarang bantahan ibu bapa itu. Hari demi hari anak itu akan mempelajari teknik untuk mempertahankan diri daripada serangan penjenayah dengan mudah sahaja. Sesungguhnya, anak yang mempunyai kemahiran mempertahankan diri ini lebih sukar untuk diculik atau diserang oleh penjenayah yang tidak berhati perut itu.

Kesimpulannya, memang menjadi tugas ibu bapa dan ahli keluarga yang lain untuk memastikan keselamatan ahli mereka berada dalam situasi selamat sepanjang masa. Isu ini perlu diberi penekanan oleh ibu bapa di negara ini kerana generasi muda itu amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi cabaran masa depan yang penuh getir. Namun, ada ibu bapa yang bersikap lepas tangan dalam usaha menjaga keselamatan anak sendiri atas alasan terlalu sibuk dan mahu memberikan peluang kepada anak berdikari itu. Peribahasa nasi sudah menjadi bubur memberikan satu peringatan tegas kepada ibu bapa supaya berubah sikap sebelum kejadian buruk menimpa anak mereka atas kesilapan diri sendiri itu.

No comments:

Post a Comment