Sunday, February 25, 2018

Cara ibu bapa pupuk amalan membaca anak

Masyarakat Malaysia dikatakan tidak suka membaca. Kita lebih banyak menghabiskan masa melihat telefon bimbit daripada membaca. 
Berikan pendapat anda tentang tindakan-tindakan yang boleh dibuat oleh ibu bapa supaya anak mereka membaca.

Amalan membaca sering dikaitkan dengan aktiviti membaca bahan bacaan dalam kehidupan harian seseorang remaja tersebut. Sikap positif ini boleh diamalkan pada bila-bila masa terutamanya ketika remaja itu sedang berehat di rumah selepas penat menjalani kehidupan di sekolah pula. Pihak media massa terutamanya akhbar sering mengkritik tahap pembacaan rakyat tempatan yang begitu rendah berbanding tahap pembacaan masyarakat luar terutamanya di Jepun dan Korea Selatan itu. Sesungguhnya, ibu bapa memikul tugas berat untuk menyemai amalan yang murni ini supaya hidup subur dalam jiwa anak-anak mereka.

Strategi yang paling efektif dilaksanakan oleh ibu bapa dalam usaha mereka menyemai amalan membaca dalam sanubari anak ialah ibu bapa memberikan teladan kepada anak tentang membaca itu. Golongan tua ini boleh menghabiskan masa sejam dua selepas balik dari pejabat untuk membaca di ruang tamu supaya anak boleh melihat dengan mata kepala mereka sendiri. Apabila anak melihat sendiri sikap membaca yang dilakukan oleh ayah dan ibu itu pastinya mereka berasa bangga lalu bersedia untuk meniru tindakan yang serupa dalam kehidupan harian nanti. Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya membuktikan bahawa sikap positif ibu bapa akan ditiru oleh anak mereka terutamanya amalan membaca yang positif itu.

Selain itu, ibu bapa yang bertanggungjawab akan menghadiahkan buku kepada anak mereka dalam usaha menanam sikap membaca itu. Setiap kejayaan yang diperoleh oleh anak boleh diraikan oleh ibu bapa dengan memberikan hadiah buku atau bahan bacaan lain supaya kejayaan itu menjadi satu kenangan mendalam dalam jiwa anak. Pemberian hadiah berbentuk buku ini bukan sahaja memberikan rasa gembira dan dihargai tetapi turut menyuntik semangat dalam jiwa anak untuk mengamalkan amalan membaca yang baik itu. Akibatnya, minat untuk membaca akan berputik dalam diri anak kerana mereka diberi hadiah buku setiap kali memperoleh kejayaan dalam peperiksaan di sekolah itu.

Tambahan pula, satu ruang khas boleh disediakan oleh ibu bapa dalam usaha mereka mendidik anak supaya meminati amalan membaca itu. Pemilihan bilik atau ruang tamu dibuat mengikut keperluan semasa sesebuah keluarga lalu bahan-bahan bacaan disimpan di tempat itu untuk memudahkan ahli keluarga membaca sepanjang masa. Kewujudan ruang khas membaca ini sudah pasti menjadikan anak-anak lebih bersemangat untuk membaca kerana suasana yang menyegarkan dan mudah untuk mereka berdasarkan masa senggang masing-masing. Lantaran itu, minat membaca akan berakar umbi dalam diri anak apabila rumah mereka sendiri mempunyai tempat khas untuk membaca tersebut.

Tindakan ibu bapa yang suka membawa anak mereka ke pameran atau kedai buku turut mampu menyemai amalan murni ini dalam diri anak pada masa depan. Pada hujung minggu atau hari kelepasan am pastinya ibu bapa boleh membawa anak mereka mengunjungi kedai buku dan pameran buku sambil menghabiskan masa berfaedah bersama-sama keluarga. Aktiviti bersama-sama keluarga ini bukan sahaja menimbulkan rasa seronok untuk membaca tetapi menjadikan hubungan keluarga lebih mesra dan intim pula. Sesungguhnya, tindakan membawa anak ke pameran buku boleh diibaratkan sambil menyelam minum air kerana minat membaca boleh dipupuk bersama-sama hubungan kekeluargaan menjadi rapat.

Kajian turut mengesahkan bahawa tindakan ibu bapa mengadakan pertandingan membaca dalam kalangan ahli keluarga boleh menyemai amalan murni ini secara mendalam. Setiap bulan ahli keluarga perlu membaca beberapa bahan bacaan yang boleh dikongsi dengan ahli keluarga yang lain dalam satu diskusi yang menarik. Perbincangan tentang sesuatu topik bahan bacaan itu akan membuktikan kefahaman yang mendalam tentang sesuatu kemelut yang melanda negara dalam minda ahli keluarga. Jelaslah, pertandingan membaca sebegini bukan sahaja menajamkan minda dan persepsi ahli keluarga terhadap sesuatu isu tetapi turut membuka mata anak tentang kepentingan membaca tersebut.


Kesimpulannya, semua tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa tadi mampu untuk memastikan setiap anak di negara ini mengamalkan amalan membaca itu. Masyarakat yang suka membaca boleh menjana pertumbuhan ekonomi negara menjadi lebih maju dan makmur seperti rakyat Jepun yang dikatakan golongan yang suka membaca di dunia itu. Cuma masih banyak pihak di negara ini yang melihat amalan membaca sebagai satu aktiviti yang membazirkan masa dan tenaga mereka sahaja kerana informasi yang diperoleh menerusi membaca lebih lambat berbanding menggunakan komputer. Peribahasa membaca itu jambatan ilmu membuktikan keperluan membaca itu sangat besar dalam kehidupan masyarakat zaman moden yang memerlukan perubahan drastik dalam teknologi kehidupan harian.

No comments:

Post a Comment